Sekatan yang dikenakan bank tempatan terhadap akses Antara Muka Pengaturcaraan Aplikasi (API) bagi data kewangan pelanggan syarikat kecil dan sederhana (SME) didapati menghalang perkembangan perkhidmatan kewangan bagi syarikat pemula teknologi kewangan (fintech), menurut laporan badan pemikir, Fintech Nation.
API, atau application programming interface, adalah protokol yang membolehkan dua sistem perisian berkomunikasi dan berkongsi data.
Pada masa ini, bank-bank utama di Singapura hanya membenarkan akses API kepada platform tertentu.
Hanya satu platform perakaunan SME, iaitu Xero, yang berjaya disenaraikan secara terbuka di ketiga-tiga bank tempatan.
Sekatan ini turut melibatkan Biro Kredit Singapura, di mana syarikat fintech tidak dapat mengakses maklumat kredit pelanggan mereka sendiri.
Disebabkan sekatan ini, syarikat fintech seperti pemberi pinjaman alternatif kepada SME dan juga setiausaha korporat terpaksa memproses sendiri fail spreadsheet dan dokumen pdf pelanggan mereka, berbanding mengambil terus data tersebut daripada bank pelanggan.
Ketiadaan akses ini boleh dilihat bertentangan dengan Pelan Perubahan Industri Perkhidmatan Kewangan oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), yang bertujuan mewujudkan sektor kewangan yang lebih cekap, lapor The Business Times (BT).
Sekatan terhadap API ini turut memberi beberapa kesan terhadap industri.
Sekurang-kurangnya enam pemberi pinjaman alternatif kepada SME telah menamatkan operasi mereka di Singapura, termasuk Capital Match dan Validus.
Langkah penjualan perniagaan Validus turut menyerlahkan cabaran yang dihadapi pemberi pinjaman seperti ini dalam mengakses maklumat kewangan pelanggan mereka sendiri.
“Jika (akses API) itu wujud dan telah diberikan kepada sesetengah pihak, maka syarikat lain juga sepatutnya mendapat akses yang adil dan saksama kepada API itu – apa yang berlaku sekarang ialah syarikat besar boleh membuat perjanjian dengan syarat istimewa, tetapi syarikat kecil tidak dapat peluang yang sama,” kata jurucakap Fintech Nation.
Menurut badan pemikir itu, isu ini bukan berpunca daripada kebenaran yang diberikan pelanggan, kerana para pelanggan SME sebenarnya telah memberi kebenaran untuk data kewangan mereka diakses, sama ada bagi tujuan pendaftaran atau penilaian kredit.
Laporan itu juga memaparkan dua kajian kes, iaitu syarikat pemberi pinjaman alternatif SME, Funding Societies, dan setiausaha korporat, Sleek.
Kedua-dua syarikat meramalkan peningkatan kecekapan operasi sekiranya akses API daripada bank dibenarkan.
Funding Societies menjangkakan masa yang diambil dari proses permohonan hingga keputusan kredit dapat dikurangkan sebanyak 60 peratus.
Selain itu, kadar pelanggan yang membatalkan permohonan dijangka turun 40 peratus, kos pemprosesan data bagi setiap permohonan akan turun sebanyak 40 peratus, serta peningkatan 20 peratus dijangkakan dalam jumlah SME yang dapat dibiayai setiap tahun.
Di Sleek, proses memuat turun, memformat, dan memuat naik penyata untuk setiap pelanggan mengambil masa sehingga 15 minit.
Dengan 10,000 pelanggan, ini bermakna sebanyak 2,500 jam kerja manual setiap bulan dan 30,000 jam setahun terbuang kerana ketidakcekapan proses yang disebabkan oleh sekatan akses API.
Walaupun bank-bank di Singapura menunjukkan keterbukaan untuk meneroka kerjasama berkaitan akses API, realitinya terdapat jurang antara hasrat dan pelaksanaannya.
“Daripada pengalaman kami, perbincangan sebenar terhad disebabkan pertimbangan dalam aspek keselamatan, pematuhan, keutamaan komersial, dan sifat kerjasama industri yang sentiasa berubah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengasas bersama Funding Societies, Encik Kelvin Teo.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg