Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS tubuh firma baru untuk sokong sektor teknologi kewangan

Rangkaian Kewangan dan Teknologi Global (GFTN), punya empat barisan niaga dalam usaha kembangkan jejak global
Oct 30, 2024 | 5:14 PM
Encik Ravi Menon, pengerusi Rangkaian Kewangan & Teknologi Global, berkata firma tanpa untung baru itu akan mengembangkan jejak global MAS dalam teknologi kewangan.
Encik Ravi Menon, pengerusi Rangkaian Kewangan & Teknologi Global, berkata firma tanpa untung baru itu akan mengembangkan jejak global MAS dalam teknologi kewangan. - Foto GFTN

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah menubuhkan firma bukan mencari untung baru yang memberi tumpuan kepada teknologi kewangan (fintech) ketika ia mengembangkan rangkaiannya ke peringkat global.

Syarikat baru itu, yang dikenali sebagai Rangkaian Kewangan dan Teknologi Global (GFTN), mempunyai empat barisan perniagaan – untuk menganjurkan persidangan fintech, menyediakan khidmat nasihat dan penyelidikan, menawarkan perkhidmatan platform digital kepada syarikat kecil dan sederhana, dan mengembangkan dana pelaburan untuk syarikat pemula teknologi.

Entiti tanpa untung MAS, Elevandi, yang ditubuhkan pada 2021 untuk memajukan fintech dalam ekonomi digital global, akan digabungkan dengan syarikat baru itu, lapor The Straits Times.

Pengerusi GFTN, Encik Ravi Menon, yang juga merupakan mantan ketua MAS berkata:

“Pada mulanya, Elevandi hanya menjalankan perniagaan forum. Kini, kami mempunyai empat perniagaan berbeza yang ingin kami kembangkan. Kami mahu mengembangkan dan melipatgandakan jejak global kami.”

Firma baru itu ingin menjadi hab besar yang menawarkan penyelesaian inovasi teknologi dan kewangan ke bahagian lain di dunia.

“Melalui ketersambungan ke Singapura kerana kami berpangkalan di Singapura... semua hubungan kami akan datang ke Singapura.

“Ia memberikan manfaat kepada ekosistem fintech Singapura,” kata Encik Menon, yang kini merupakan Duta Tindakan Iklim Singapura dan penasihat kanan kepada Sekretariat Perubahan Iklim Nasional di Pejabat Perdana Menteri.

Menurutnya, GFTN akan berusaha untuk berdikari, seperti Elevandi, sambil menambah bahawa beliau menjangkakan GFTN akan pulang modal dalam masa tiga hingga lima tahun.

Namun, sebelum GFTN dapat berdikari, MAS akan menyediakan pembiayaan dalam jumlah yang tidak didedahkan.

Tugas pertama pasukan itu memerlukan lembaga pengarahnya menggunakan beberapa bulan akan datang memperhalusi strategi dan menetapkan matlamat untuk setiap tahun bagi lima tahun akan datang.

Bagi perniagaan dana pelaburannya, ia akan menjadi anak syarikat kepada syarikat baru itu.

Dana itu akan datang daripada beberapa rakan kongsi atau sumber pihak ketiga. Anak syarikat itu akan memohon lesen daripada MAS.

Encik Menon berkata beliau menjadi pengerusi GFTN kerana “minatnya dalam teknologi berterusan”.

Kedua-dua timbalan pengarah urusan MAS, Encik Leong Sing Chiong dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Neil Parekh, yang juga pengerusi bukan eksekutif di Tikehau Capital, telah dilantik sebagai timbalan pengerusi GFTN.

Ketua eksekutif kumpulan GFTN ialah ketua pegawai fintech MAS, Encik Sopnendu Mohanty, yang akan melepaskan jawatan di MAS mulai 1 Februari 2025.

Beliau akan terus memberi nasihat berkaitan fintech kepada MAS.

Encik Kenneth Gay, kini pengarah eksekutif yang mengetuai jabatan pengetahuan perusahaan MAS, akan mengambil alih sebagai ketua fintech baru pada 1 Februrari 2025.

“Melalui ketersambungan ke Singapura kerana kami berpangkalan di Singapura... semua hubungan kami akan datang ke Singapura. Ia memberikan manfaat kepada ekosistem fintech Singapura.”
Encik Ravi Menon, pengerusi Rangkaian Kewangan dan Teknologi Global (GFTN).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg