Mantan pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Ravi Menon, berhasrat “mempertingkatkan sinergi dalam komuniti kewangan dan teknologi global”, dalam peranan barunya sebagai pengerusi Rangkaian Kewangan dan Teknologi Global (GFTN).
Anggota pasukan yang akan membantunya dalam memacu organisasi bukan berasaskan keuntungan (NGO) itu ke hadapan terdiri daripada para pemimpin yang cemerlang dalam bidang masing-masing.
“GFTN bukan sahaja menandakan fasa baru dalam perjalanan fintech (teknologi kewangan) Singapura, tetapi juga satu kemajuan penting dalam pergerakan fintech global,” katanya dalam ucaptama di Pesta Fintech Singapura (SFF) yang kesembilan, pada 6 November.
“Kita namakannya Pesta Fintech Singapura, tetapi kisah fintech ini bukan hanya (tertumpu) mengenai Singapura sahaja.
“Ia mengenai bagaimana masyarakat fintech global – firma fintech, institusi kewangan dan ‘Big Tech’ – bersatu untuk memajukan inovasi dalam perkhidmatan kewangan,” jelas Encik Menon.
Minggu lalu, MAS mengumumkan penubuhan rangkaian itu, yang dijangka dapat mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai hab teknologi kewangan global dan menyokong usaha bank pusat itu memajukan SFF.
GFTN menggantikan Elevandi, sebuah entiti NGO yang ditubuhkan oleh MAS pada 2021 untuk menganjurkan pesta itu, jelas The Business Times.
Pada 6 November, Encik Menon telah memperincikan lebih banyak butiran mengenai anggota lembaga pengarah GFTN, yang terdiri daripada “individu yang sangat berpengalaman dan dihormati” dan “pemimpin berkaliber dari pelbagai latar belakang”.
Lembaga itu akan dianggotai Encik Leong Sing Chiong, timbalan pengarah urusan di MAS; dan Encik Neil Parekh, pengerusi bukan eksekutif Tikehau Capital. Mereka akan berganding bahu sebagai timbalan pengerusi.
Ketua pegawai fintech MAS, Encik Sopnendu Mohanty, akan mengambil peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan GFTN dan akan berundur daripada MAS pada 1 Februari 2025.
Anggota lain termasuk CEO ProsperCap, Encik Iqbal Jumabhoy; Naib Presiden Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Lam Khin Yong; rakan kongsi Allen & Gledhill, Encik Andrew Lim; dan eksekutif Sun Life Canada, Cik Jessica Tan.
Pasukan GFTN juga akan disokong oleh lembaga penasihat antarabangsa yang terdiri daripada pengerusi LeapFrog Investments, Encik Dominic Barton; CEO Ant Group, Encik Eric Jing; bekas gabenor bank pusat, Dr Patrick Njoroge (Kenya) dan Dr Veerathai Santiprabhob (Thailand); menteri Rwanda, Cik Paula Ingabire; serta bekas pengerusi UBS, Encik Axel Weber.
Pada pelancaran GFTN, Encik Menon berkongsi bahawa lembaga pengarah yang baru ditubuhkan itu akan menetapkan matlamat khusus tahunan, selama lima tahun akan datang.
Sebagai sebuah NGO, GFTN menyasarkan untuk mencapai kemampanan kewangan dan mendapat pulangan modal dalam tempoh tiga hingga lima tahun, dengan sokongan geran awal daripada MAS.
GFTN akan bekerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk pihak berkuasa, institusi kewangan, ahli akademik dan perunding, untuk memperluaskan perkhidmatannya.
Kerjasama rapat dengan MAS juga akan mengukuhkan ekosistem teknologi kewangan Singapura dan hubungan global yang luas.
Tujuan GFTN adalah untuk memanfaatkan teknologi dalam sistem kewangan yang berdaya tahan, perkhidmatan kewangan yang inklusif, peluang ekonomi yang lebih luas dan masa depan yang mampan, jelas Encik Menon.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg