Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Pusat data dijangka pacu kenaikan hampir tiga kali ganda pekerjaan di S’pura

Sep 5, 2025 | 3:26 PM
Laporan Persatuan Pusat Data Asia-Pasifik (APDCA) memetik kajian oleh Amazon Web Services pada 2023 yang mendapati pusat data menyumbang lebih $2 bilion setahun kepada ekonomi Singapura.
Laporan Persatuan Pusat Data Asia-Pasifik (APDCA) memetik kajian oleh Amazon Web Services pada 2023 yang mendapati pusat data menyumbang lebih $2 bilion setahun kepada ekonomi Singapura. - Foto fail

Sektor pusat data menyumbang secara “luar biasa” kepada ekonomi Singapura dan mewujudkan ribuan pekerjaan yang berkaitan secara langsung dengan sektor tersebut, di samping gaji melebihi purata, menurut laporan Persatuan Pusat Data Asia-Pasifik (APDCA).

Laporan itu memetik kajian oleh Amazon Web Services pada 2023 yang mendapati pusat data menyumbang lebih $2 bilion setahun kepada ekonomi Singapura – hampir separuh daripada nilai keseluruhan sektor runcit dan lebih besar daripada seluruh sektor hospitaliti.

Kajian Amazon itu juga menganggarkan bahawa pusat data menyokong hingga 1.6 juta pekerjaan di serata negara, mewakili sekitar 70 peratus daripada tenaga pekerja penduduk Singapura.

Sekitar 25,000 pekerjaan berkait langsung dengan kehadiran pusat data fizikal. Daripada jumlah itu, sekitar 7,000 pekerjaan berada di dalam pusat data, manakala baki 17,000 pekerjaan terlibat dalam rantaian bekalan pusat data.

Dalam pada itu, 7,000 pekerjaan langsung di pusat data itu menawarkan gaji serta produktiviti tinggi, dengan pendapatan 35 peratus lebih tinggi daripada purata nasional dan produktiviti buruh 2.6 kali ganda lebih tinggi.

Pada masa akan datang, pusat data di Singapura dijangka memacu peningkatan 2.8 kali ganda dalam pekerjaan dan pertumbuhan 8.9 kali ganda dalam sumbangan ekonomi menjelang 2030 berbanding paras yang dicatatkan pada 2022, menurut laporan APDCA.

Laporan itu mendapati bahawa sektor pusat data menunjukkan kecekapan luar biasa, jika kekangan tanah di Singapura diambil kira. 

Ia menghasilkan produktiviti tanah 85 peratus lebih tinggi berbanding purata penggunaan tanah di negara ini.

Bagi setiap hektar, pusat data menyumbang $59.9 juta nilai ekonomi, hampir dua kali ganda purata nasional, lapor The Business Times (BT).

Laporan itu mendapati bahawa pusat data juga memainkan peranan penting dalam membantu Singapura mengekalkan kedudukannya sebagai hab digital serantau.

Pusat data membantu mengurangkan kos perniagaan dengan membolehkan pendaman rendah yang diperlukan bagi perkhidmatan berasaskan data. 

Pendaman rendah merujuk kepada penghantaran data dari satu tempat ke tempat lain dalam rangkaian komputer dengan kadar sangat pantas dan hampir tiada penundaan. 

Dengan pengurangan kos perniagaan, ia dapat menarik sekitar 7,000 syarikat berbilang negara untuk menubuhkan operasi di Singapura – 4,200 daripadanya berperanan sebagai ibu pejabat serantau yang banyak bergantung kepada pusat data tempatan.

Laporan APDCA, yang meneliti pusat data di lima negara Asia-Pasifik, turut meneliti pertumbuhan kukuh industri ini di Malaysia.

Pendapatan daripada pusat data di Malaysia dijangka mencapai RM3.6 bilion ($1.1 bilion) menjelang 2025, meningkat daripada RM2.1 bilion pada 2022. 

Pertumbuhan itu dipacu oleh sokongan kukuh kerajaan, dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) meluluskan 12 projek pusat data utama bernilai keseluruhan AS$20.9 bilion ($26.9 bilion).

Sektor itu mencatatkan nilai AS$4 bilion pada 2024, dan dijangka melonjak kepada AS$13.6 bilion menjelang 2030, berkembang pada kadar tahunan yang kukuh sebanyak 22.4 peratus.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg