Singapura berada di tiga laluan penerbangan antarabangsa tersibuk di dunia pada 2024, menurut satu laporan dikeluarkan platform data perjalanan global, OAG, pada 18 Disember.
Di peringkat global, laluan Kuala Lumpur ke Singapura ialah laluan penerbangan antarabangsa keempat tersibuk 2024
Kapasiti laluan ini meningkat 10 peratus pada 2024 berbanding 2023, dengan 5.4 juta tempat duduk, lapor The Business Times.
Singapura juga berada dalam dua lagi laluan daripada 10 laluan antarabangsa tersibuk untuk 2024, iaitu laluan Jakarta ke Singapura, yang menduduki tempat kelapan dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 4.1 juta, serta laluan Bangkok ke Singapura di tempat kesembilan, dengan kapasiti tempat duduk sebanyak empat juta.
Menurut laman web OAG, laluan udara tersibuk ditakrifkan sebagai laluan penerbangan yang mempunyai jumlah terbesar tiket penerbangan yang ditempah, dan data itu merangkumi penerbangan kedua-dua arah pada semua laluan.
Kapasiti tempat duduk untuk beberapa laluan melonjak pada 2024 berbanding 2023 dan tahap prapandemik pada 2019.
Di tempat pertama ialah laluan Hong Kong ke Taipei dengan kapasiti tempat duduk 6.8 juta, naik daripada kedudukan tempat ketiga pada 2023.
Kapasiti laluan Seoul ke Tokyo, di tempat ketiga, naik 30 peratus berbanding 2023, dan 68 peratus lebih tinggi berbanding 2019.
Laluan Bangkok ke Hong Kong naik ke tempat ketujuh dengan peningkatan kapasiti sebanyak 29 peratus berbanding 2023.
“Semua laluan merentasi Asia Pasifik menyaksikan pertumbuhan ketara pada 2024, ketika rantau ini meneruskan pemulihan pascapandemik, dengan laluan Hong Kong ke Taipei menunjukkan peningkatan paling ketara,” menurut OAG dalam laporan itu.
Laluan penerbangan tersibuk 2024 sekali lagi dikuasai rantau Asia-Pasifik, dengan tujuh daripada 10 laluan antarabangsa paling sibuk.
Ketua penganalisis OAG, Encik John Grant, berkata: “Dengan kawasan Asia-Pasifik yang hampir pulih sepenuhnya (daripada pandemik), laluan paling sibuk tertumpu di hab utama seperti Hong Kong, Seoul Incheon dan Singapura.
“Namun, komposisi bekalan penerbangan di laluan tersebut sentiasa berubah dengan penerbangan tambang rendah meneruskan pertumbuhannya pada kadar yang lebih pantas berbanding penerbangan dengan perkhidmatan penuh.”
Laluan Kahirah ke Jeddah menduduki tempat kedua dengan kapasiti tempat duduk sebanyak 5.5 juta – satu daripada dua laluan yang beroperasi di Timur Tengah yang telah memasuki kedudukan 10 laluan paling sibuk sejak 2019.
“Salah satu perkembangan paling menarik ialah pertumbuhan kawasan Timur Tengah dengan penekanan khusus pada Arab Saudi, di mana projek Wawasan 2030 terus memacu permintaan perniagaan dan hiburan,” kata Encik Grant.
Wawasan 2030 merujuk kepada inisiatif kerajaan Arab Saudi untuk mempelbagaikan ekonominya selain daripada minyak, dan mengubah negara itu menjadi destinasi pelaburan dan pelancongan.
Laporan terbaru oleh penyedia risikan pasaran global BMI meramalkan ketibaan pelancong ke Asia dijangka pulih ke tahap prapandemik pada 2025, dengan peningkatan sebanyak 4.7 peratus daripada 2019.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg