Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 2,300 jawatankuasa latihan firma dibentuk NTUC sepanjang lima tahun lalu

Aug 1, 2024 | 2:38 PM
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, menekankan latihan kekal sebagai “keutamaan penting” bagi pergerakan pekerja.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, menekankan latihan kekal sebagai “keutamaan penting” bagi pergerakan pekerja. - Foto ZAOBAO

Lebih 2,300 jawatankuasa latihan syarikat dibentuk oleh pergerakan pekerja sepanjang lima tahun lalu untuk membantu firma meningkatkan kemahiran pekerja mereka, kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, pada 1 Ogos.

Beliau memberi maklumat terkini itu dalam perutusan Hari Kebangsaannya, sambil menekankan bahawa latihan kekal sebagai “keutamaan penting” bagi pergerakan pekerja, lapor akhbar The Business Times.

Inisiatif itu dilancarkan pada April 2019 untuk membantu majikan meningkatkan produktiviti dengan mereka bentuk semula pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja. NTUC sebelum ini berkata ia merancang mempunyai sekurang-kurangnya 2,500 jawatankuasa sedemikian menjelang 2025.

“Dengan set kemahiran yang relevan, pekerja boleh mengekalkan kelebihan daya saing mereka, kekal tangkas dan boleh menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan di tempat kerja, lantas memajukan kerjaya mereka,” kata Encik NG.

“Ini adalah cara terbaik untuk menangani isu kos sara hidup yang berterusan, yang menjejaskan banyak bahagian dunia.”

Singapura terus menghadapi cabaran baru dalam landskap global yang semakin tidak menentu, kata Encik Ng dalam mesejnya. Berlatarbelakangkan perkara ini, kesatuan sekerja “tetap teguh dalam komitmen kami untuk memperjuangkan kepentingan pekerja kami”, katanya.

NTUC bekerjasama dengan pemerintah dan majikan untuk menggubal dasar bagi mengekalkan tempat kerja harmoni, memastikan pekerja dapat mengimbangi keperluan keluarga mereka sambil menyumbang secara produktif, melindungi pekerja ekonomi ‘gig’ dengan lebih baik, serta menyokong pertumbuhan perniagaan.

Beliau memetik undang-undang keadilan tempat kerja yang akan datang, serta Permintaan Garis Panduan Tiga Pihak bagi Pengaturan Kerja Fleksibel, sebagai inisiatif yang berjaya diperjuangkan oleh pergerakan pekerja.

Pemerintah juga telah mengumumkan rancangan memperkenalkan skim sokongan kewangan sementara bagi pekerja yang diberhentikan, kata Encik Ng.

“Pencapaian ini mencerminkan usaha kolektif kita dan kekuatan perkongsian tiga pihak kita dalam membantu pekerja kami.”

Ketua kesatuan itu menyatakan tidak seperti negara lain, dengan keanggotaan kesatuan semakin berkurang, NTUC telah “berterusan meningkatkan asas keahlian kami”, dengan kesatuan mempunyai lebih 1.3 juta anggota.

“Dalam kita memperingati Hari Kebangsaan, marilah kita melihat ke hadapan dengan optimis dan tekad,” kata Encik Ng.

“Bersama-sama, kita akan membina Singapura yang lebih inklusif, berdaya tahan, dan makmur, dengan rakyat Singapura boleh menikmati bahagian yang saksama daripada hasil kejayaan, dan pekerja mempunyai gaji, kebajikan dan prospek kerja lebih baik.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg