Sedang ekonomi global berkembang pada kadar pantas, didorong oleh inovasi seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan ekonomi digital, terdapat keperluan untuk mempertingkatkan pendekatan terhadap mendakap ilmu dan pengetahuan.
“Perubahan ini mampu mempertingkatkan produktiviti, mewujudkan industri baru dan meningkatkan kualiti hidup kita,” kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.
Justeru, teras utama Raikan Ilmu – iaitu mendakap ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat – akan menjadi lebih penting pada tahun-tahun akan datang, tambah beliau.
Dalam ucapannya pada acara pelancaran Raikan Ilmu@Heartlands 2024 anjuran Yayasan Mendaki di Our Tampines Hub (OTH) pada 29 Jun, Encik Heng menggariskan beberapa cara untuk menangani perubahan besar ini dengan lebih baik.
Beliau menggesa masyarakat untuk memperluaskan pembelajaran mereka melebihi sekadar meraih markah, malah memberi tumpuan juga terhadap memupuk kemahiran serta pembelajaran sepanjang hayat.
“Apabila ekonomi kita berubah, pelbagai jenis pekerjaan akan diwujudkan. Sesetengah akan memerlukan kelayakan akademik tradisional, tetapi akan ada banyak lagi yang memerlukan kemahiran lain.
“Dan dalam industri yang mantap seperti industri pembuatan atau bioperubatan, dan sebenarnya banyak pekerjaan lain, kami memerlukan pelbagai kemahiran teknikal dan insani, dan untuk berinovasi dan menyelesaikan masalah dunia sebenar,” katanya.
Pelajar terutamanya, digalakkan untuk meneroka laluan berbeza dalam pendidikan yang memenuhi pelbagai minat dan kebolehan.
Encik Heng berkata sistem pendidikan Singapura telah direka bentuk dengan menyediakan banyak laluan, untuk membolehkan pelajar belajar dengan cara yang berlainan, dan memperoleh kemahiran yang berbeza.
Beliau memberi contoh pelbagai laluan yang terdapat di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), politeknik dan universiti setempat, termasuk Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), yang menawarkan program ijazah yang menggabungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman dunia sebenar.
Selain memperluaskan cara mendakap ilmu, Encik Heng juga menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat, bukan sahaja di sekolah malah di tempat kerja dan seterusnya, untuk kekal relevan dan berguna dalam dunia yang sentiasa berubah.
Sejajar dengan perkembangan ini, Encik Heng berkata pemerintah juga akan akan terus bekerjasama dengan syarikat, pekerja, dan persatuan perdagangan untuk menyediakan peluang bagi meningkatkan kemahiran selain menyediakan pekerjaan yang baik.
“Kita kini mempunyai beberapa inisiatif tiga pihak baru seperti Peta Transformasi Pekerjaan (JTM) sektoral dan Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) yang ditubuhkan oleh NTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan),” kata Encik Heng.
“Kita juga telah meningkatkan sokongan untuk peningkatan kemahiran sepanjang hayat, seperti tambah nilai terhadap Kredit SkillsFuture (Pertengahan Kerjaya).
“Saya ingin menggalak orang ramai untuk memanfaatkan peluang ini untuk menyokong pembelajaran dan pertumbuhan diri anda sendiri.”
Acara Raikan Ilmu@Heartlands di OTH yang berlangsung dari 29 Jun hingga 30 Jun itu, menjadi pembuka tirai kepada acara tahunan Mendaki yang dijadual berlangsung sepanjang Julai.
Selain di OTH, edisi acara 2024 juga bakal diadakan di Jurong Point (20 dan 21 Julai) dan Kampung Admiralty (27 dan 28 Julai).
Pengunjung berpeluang menikmati lebih daripada 80 kegiatan dan program menarik seperti yang berkaitan kecerdasan buatan (AI), peraduan robotik, seni kraftangan, serta peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Dalam pada itu, Encik Heng meluahkan keyakinan bahawa Mendaki dan pertubuhan Melayu/Islam lain akan meneruskan kerja baik mereka dalam menyokong masyarakat dalam pembelajaran sepanjang hayat, dengan kerjasama rapat dengan rakan kongsi tiga pihak.
Beliau memberi contoh inisiatif asas, termasuk rangkaian belia, celik digital, dan kemahiran keusahawanan, sebagai contoh usaha untuk menyokong keperluan pembelajaran dan pekerjaan masyarakat.
Mengakhiri ucapannya, Encik Heng menukil pepatah Melayu untuk menggambarkan kepentingan mengambil langkah pertama dalam perjalanan pembelajaran sepanjang hayat: ‘pengayuh sudah di tangan, perahu sudah di air’.
“Langkah pertama ialah untuk mulakan mendayung. Semua orang perlu mendayung dengan cara anda sendiri, dan sesetengah mungkin mempunyai destinasi yang berbeza daripada yang lain.
“Namun kuncinya adalah untuk terus bergerak ke hadapan dalam perjalanan anda sendiri,” ujar Encik Heng.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg