Tuntutan melibatkan pembuangan kerja secara tidak adil dan berhubung tuntutan gaji, naik pada 2024.
Namun, ia tidak mencerminkan kemerosotan dari segi piawaian pekerjaan.
Ini ditegaskan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Perikatan Tiga Pihak bagi Penyelesaian Pertikaian (TADM) pada 26 Ogos.
Menurutnya, peningkatan itu didorong oleh lebih banyak pemberhentian kerja – sama ada melalui pembuangan, pemecatan, atau penutupan perniagaan – serta kegagalan atau kelewatan dalam pembayaran gaji akibat masalah kewangan, kata mereka.
Kadar keseluruhan tuntutan dan rayuan melibatkan pekerjaan telah meningkat setiap tahun sejak 2021, lapor The Business Times (BT).
Kadar tersebut meningkat kepada 3.12 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2024, berbanding 2.53 pada 2023, menurut Laporan Piawaian Pekerjaan terkini.
Ia tinggi sedikit berbanding angka pra-Covid-19 iaitu 3.04 pada 2019.
Pada 2024, sekitar 11,685 tuntutan dan rayuan melibatkan pekerjaan dikemukakan kepada MOM dan TADM, dengan 46 peratus daripadanya adalah daripada pekerja setempat dan 54 peratus daripada pekerja asing.
Terdapat 9,848 tuntutan gaji dan 1,720 tuntutan melibatkan pembuangan kerja secara tidak adil.
Selebihnya adalah rayuan pemecatan yang dikemukakan di bawah Akta Persaraan dan Pengambilan Bekerja Semula dan Akta Perhubungan Perusahaan.
Ia melibatkan kes apabila TADM menawarkan pengantaraan sukarela bagi isu yang tidak dilindungi oleh undang-undang pekerjaan.
Lebih 80 peratus tuntutan pekerjaan diselesaikan di TADM melalui pengantaraan, tanpa perlu pergi ke Tribunal Tuntutan Pekerjaan (ECT).
Kadar tuntutan bagi pembuangan kerja secara tidak adil meningkat lebih banyak berbanding tuntutan gaji.
Kadar tuntutan itu meningkat kepada 0.46 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2024; berbanding 0.32 pada 2023.
Ia juga lebih tinggi berbanding 0.39 pada 2020, tahun pertama pandemik Covid-19.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, kadar tuntutan bagi pembuangan kerja secara tidak adil lebih tinggi bagi pekerja tempatan, iaitu 0.56 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2024, meningkat berbanding 0.39 pada 2023.
Daripada pembuangan kerja secara tidak adil yang dikemukakan pada 2024, sebanyak 71 peratus diselesaikan di TADM sementara 29 peratus lagi dirujuk ke ECT untuk keputusan lanjut.
Dalam 61 peratus kes yang diselesaikan di TADM, majikan didapati memenuhi kewajipan mereka atau kes ditarik balik selepas pengantaraan.
Selebihnya diselesaikan dengan pembayaran, sijil perkhidmatan, membenarkan pekerja meletak jawatan atau salah faham itu diselesaikan.
Sementara itu, kadar tuntutan gaji meningkat kepada 2.63 bagi setiap 1,000 pekerja pada 2024, berbanding 2.19 pada 2023, namun ia masih rendah berbanding 2.68 pada 2019.
Bagi pekerja tempatan, kadar tuntutan meningkat kepada 1.59 tuntutan bagi setiap 1,000 pekerja, berbanding 1.32 sebelum ini.
Isu tuntutan yang paling biasa bagi pekerja tempatan adalah gaji asas, gaji sebagai ganti notis pemberitahuan dan penukaran cuti tahunan yang tidak digunakan.
Tiga sektor utama dengan tuntutan gaji yang dikemukakan adalah dalam bidang perhubungan dan maklumat; perkhidmatan pentadbiran dan sokongan; serta perkhidmatan makanan dan minuman (F&B).
Kadar tuntutan gaji jauh lebih tinggi untuk pekerja asing, iaitu 4.64 bagi setiap 1,000 pekerja, meningkat berbanding 3.91 pada 2023.
Isu tuntutan yang paling lazim bagi pekerja asing adalah gaji asas, gaji untuk kerja lembur dan bayaran bagi tugas yang dilakukan pada hari rehat dan cuti umum.
“Sektor binaan terus menjadi penyumbang utama tuntutan gaji akibat kegagalan perniagaan, kesempitan (dari segi) kewangan, atau pembubaran,” tambah laporan itu.
Ini diikuti oleh sektor pengilangan dan perkhidmatan F&B.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg