Walaupun badan perakaunan di seluruh dunia masih bergelut untuk menarik bakat baru, Singapura berjaya mengubah keadaan tersebut.
Kini, industri perakaunan di sini juga berada dalam fasa kemajuan.
Dengan lebih ramai individu baru menyertai bidang kerjaya tersebut, firma perakaunan di Singapura berkemungkinan mengatasi kekurangan tenaga kerja, yang telah membelenggu sektor tersebut bertahun-tahun.
Memberikan contoh untuk perkembangan itu, Presiden Institut Akauntan Bertauliah Singapura (Isca), Encik Teo Ser Luck, menunjukkan peningkatan ketara dalam bilangan calon yang menyertai program latihan.
Setakat 31 Disember 2024, jumlah calon yang mendaftar dalam program Kelayakan Akauntan Bertauliah Singapura (SCAQ) telah melebihi 4,200 individu, lapor The Business Times (BT).
Ia satu peningkatan sebanyak 47 peratus berbanding angka pendaftaran keseluruhan pada 2023.
Isca kini menetapkan sasaran sendiri untuk mendapatkan lebih 7,000 calon SCAQ pada 2025, lonjakan tahunan sebanyak 75 peratus.
SCAQ, yang ditadbir oleh Isca sejak Januari 2024, merupakan satu-satunya laluan untuk mendapatkan kelayakan Akauntan Bertauliah Singapura.
Universiti di Singapura juga dilihat mencatat adanya peningkatan minat dalam bidang perakaunan, kata Encik Teo.
Secara anekdot, beberapa universiti memaklumkan bahawa 100 peratus daripada pengambilan terbaru mereka memilih perakaunan sebagai pilihan utama mereka – satu perkembangan berbeza berbanding beberapa tahun lalu.
Namun, Encik Teo tidak menamakan institusi tersebut. Daripada enam universiti autonomi di Singapura, lima daripadanya menawarkan kursus perakaunan, antaranya ialah Institut Teknologi Singapura (SIT).
Universiti tersebut mencatat peningkatan lebih 30 peratus dalam permohonan kursus perakaunannya sepanjang tiga tahun lalu.
Sepanjang dekad lalu, ia turut menyaksikan peningkatan 74.5 peratus dalam pengambilan pelajar untuk program tersebut, kata Pengarah Kluster bagi Bidang Perniagaan, Komunikasi dan Reka Bentuk, Profesor Madya Koh Sze Kee.
“Selari dengan permintaan yang semakin meningkat, kami terus menarik dan menerima pelajar berkelayakan tinggi dan menunjukkan minat serta bakat dalam bidang perakaunan,” ujar Prof Koh.
Jawatankuasa Semakan Tenaga Kerja Perakaunan (AWRC) ditubuhkan pada 2022 untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor itu.
Sejak itu, beberapa cadangan seperti menaikkan gaji permulaan dan mewujudkan lebih banyak laluan kelayakan yang pelbagai telah dilaksanakan.
Encik Teo berkata langkah itu serta usaha bersama – Isca, Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra), institusi pendidikan, dan pemain industri – telah membantu mengatasi penurunan minat terhadap bidang itu.
Minat terhadap perakaunan juga semakin meningkat di peringkat prauniversiti.
Seorang wakil daripada Politeknik Temasek (TP), ketika bercakap di acara Acra pada 27 Mei, berkongsi bahawa diploma dalam program perakaunan dan kewangan di TP telah menarik lebih banyak permohonan sebagai pilihan pertama.
“Dari segi skor agregat terakhir (keputusan Sijil Am Pelajaran GCE Peringkat ‘O’), ia juga menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun – daripada lima hingga 11, kepada empat hingga 11, dan kini tiga hingga 11 (pada 2025),” kata wakil TP itu.
Skor agregat itu merujuk kepada keputusan GCE ‘O’ pemohon yang berjaya, di mana skor lebih rendah menandakan prestasi yang lebih baik.
Kejayaan Singapura dalam mengisi semula bakat dalam bidang perakaunan turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa.
“Saya secara peribadi menggalakkan bahagian lain di dunia untuk belajar daripada apa yang telah dilakukan oleh Singapura,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Akauntan Antarabangsa, Encik Lee White, dalam satu wawancara bersama BT baru-baru ini.
Sebagai contoh, inisiatif terkini oleh Isca untuk mendekati pelajar prauniversiti di sekolah menengah, maktab rendah dan politeknik disifatkannya sebagai pendekatan “mudah dan kontemporari” untuk menangani cabaran tenaga kerja sektor itu.
“Cara Isca memasarkan semua usaha ini sangat berkesan,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg