Pemilik rumah di Singapura kian memanfaatkan rumah mereka dan skim lain bagi menambah simpanan untuk persaraan.
Ini dapat dilihat, sebagai contoh, daripada peningkatan mantap pada jumlah pemilik rumah yang menjual semula sebahagian pajakan flat mereka kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk menambah pendapatan persaraan, dengan kebanyakan pemilik ini mendapat pulangan antara $100,000 dengan $300,000.
Sehingga 31 Dec 2024, 13,734 pemilik rumah telah menyertai Skim Beli Balik Pajakan, kata jurucakap HDB sebagai respons terhadap pertanyaan akhbar The Straits Times (ST).
Jumlah ini meningkat daripada 12,656 keluarga sehingga 30 Jun 2024, iaitu peningkatan sebanyak 8.5 peratus dalam tempoh enam bulan.
Profesor Sing Tien Foo, profesor pengerusi provos hartanah di Sekolah Perniagaan Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata minat terhadap skim ini akan terus meningkat kerana lebih ramai akan memenuhi syarat umur 65 tahun dan ke atas menjelang 2030.
Kadar peratusan warganegara ini dijangka meningkat kepada 24.1 peratus pada waktu itu, berbanding 19.9 peratus pada Jun 2024.
Skim Beli Balik Pajakan diperkenalkan pada 2009, membolehkan mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas menjual sebahagian daripada baki pajakan rumah mereka kepada HDB, dan terus tinggal di rumah berkenaan.
Jurucakap HDB menambah bahawa sekitar 52 peratus, atau 7,182 isi rumah yang menyertai skim ini tinggal di rumah tiga bilik atau lebih kecil, kira-kira 34 peratus atau 4,263 isi rumah pula tinggal di rumah empat bilik dan baki 14 peratus atau 1,929 tinggal di rumah lima bilik atau lebih besar.
Kebanyakan, atau kira-kira sembilan dalam 10 isi rumah, menerima antara $100,000 dengan $300,000 hasil daripada skim ini, kata jurucakap tersebut.
Wang ini dimasukkan ke dalam Akaun Persaraan (RA) mereka untuk meningkatkan bayaran bulanan di bawah skim anuiti CPF Life (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia), dan sebarang bakinya dikembalikan kepada pemilik rumah dalam bentuk tunai.
Pemilik rumah layak mendapat bonus tunai selagi ada tokokan ke dalam RA mereka. Mereka yang tinggal di flat tiga bilik atau lebih kecil boleh mendapatkan bonus tunai maksimum sebanyak $30,000 jika mereka membuat tokokan sekurang-kurangnya $60,000 ke dalam Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka; jika mereka menokok kurang daripada $60,000, mereka akan menerima bonus $1 bagi setiap $2 yang ditambah.
Mereka yang tinggal di flat empat bilik pula boleh mendapatkan sehingga $15,000, dan bonus mereka akan dikira mengikut kadar yang diprorata bagi tokokan kurang daripada $60,000 pada nisbah $1 bagi setiap $4 tokokan CPF.
Bagi pemilik rumah yang tinggal di flat lima bilik atau lebih besar, bonus maksimum yang boleh mereka terima adalah $7,500 bagi tokokan sebanyak $60,000 atau lebih ke dalam CPF mereka. Mereka akan menerima bonus $1 bagi setiap tokokan CPF sebanyak $8 bagi jumlah kurang daripada $60,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg