Lebih ramai pengarah syarikat tersenarai di Bursa Singapura (SGX) berpendapatan kurang $50,000 pada 2025 berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Demikian menurut laporan kajian pada 4 November, menandakan tekanan dalam mengurangkan pendapatan lembaga pengarah.
Laporan dwitahunan oleh Institut Pengarah Singapura, dengan kerjasama Deloitte dan Handshakes, mendapati 29 peratus pengarah bebas menerima bawah $50,000 pada 2025, berbanding hanya 16 peratus pada 2023.
Bilangan yang memperoleh antara $100,001 dengan $150,000 turut merosot dengan ketara, iaitu daripada 42 peratus pada 2023 kepada 20.6 peratus pada 2025.
Trend serupa dilihat dalam kalangan pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif: Hanya 17.4 peratus memperoleh antara $100,001 dengan $150,000, turun berbanding 35 peratus pada 2023.
Manakala mereka yang berpendapatan bawah $50,000 melonjak kepada 34.7 peratus berbanding 18.1 peratus pada 2023.
“Data ini seakan menunjukkan terdapat peralihan ke arah yuran pengarah yang lebih rendah sedikit,” ujar Profesor Ho Yew Kee daripada City University of Hong Kong, pengarang bersama laporan itu.
Bagaimanapun, sekitar 13 peratus pengarah bebas dan 14 peratus pengarah bukan bebas masih belum mendedahkan pendapatan mereka.
Laporan itu menekankan pendedahan pendapatan di Singapura semakin baik, namun masih kurang jelas bagaimana ia disusun dan dipadukan dengan prestasi pekerjaan.
Ia menggesa lembaga pengarah agar menjelaskan pecahan pendapatan tetap, boleh berubah, berasaskan ekuiti, faedah dan pencen.
Kajian itu turut melibatkan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Institut Teknologi Singapura (SIT), disokong Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) dan SGX.
Laporan tersebut menyatakan firma besar menempatkan paling ramai pengarah bebas dalam julat imbuhan $100,001 hingga $150,000, sejajar dengan tanggungjawab dan kerumitan operasi mereka.
Firma sederhana pula mencatat bahagian tertinggi dalam julat $50,001 hingga $100,000, manakala firma kecil kebanyakannya membayar bawah $50,000.
Dalam kalangan Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), lebih satu perempat (26.5 peratus) memperoleh lebih $1 juta, menjadikan mereka kumpulan paling tinggi digaji.
Laporan itu juga mendapati pendedahan imbuhan CEO meningkat dengan ketara, daripada 26 peratus pada 2023 kepada lebih 69 peratus pada 2025, berikutan pindaan peraturan SGX serta tuntutan terhadap ketelusan gaji di peringkat kepimpinan.
Menurut laporan The Straits Times (ST), kajian itu turut menyorot kemajuan dalam kepelbagaian jantina.
Peratusan wanita dalam lembaga hampir dua kali ganda dalam sedekad, namun lebih 85 peratus daripada 3,796 kerusi lembaga masih diisi kaum lelaki.
Namun, bilangan syarikat tanpa pengarah wanita langsung telah berkurangan.
Sekitar 30 peratus syarikat masih tiada pengarah wanita, turun secara ketara daripada 56 peratus pada 2014.
Secara keseluruhan, hanya 29 peratus lembaga mempunyai lebih daripada seorang pengarah wanita, dan hanya empat syarikat mempunyai lima pengarah wanita dalam lembaga mereka.
Kajian itu menyatakan: “Trend peningkatan kepelbagaian jantina ini sejajar dengan perkembangan di beberapa bursa saham serantau, walaupun perwakilan wanita dalam lembaga di Singapura masih agak rendah.”
Umur median pengarah kekal 60 tahun, dengan 64 peratus pelantikan baru berusia bawah 60 tahun, menunjukkan kecenderungan terhadap pengarah lebih muda.
Namun, purata usia dijangka tidak akan menurun kerana penduduk Singapura yang semakin menua, kata Profesor Madya Victor Yeo daripada NTU, pengarang bersama laporan tersebut.
Peraturan sembilan tahun SGX pula mendorong gelombang pembaharuan besar.
Peraturan tersebut mengehadkan tempoh perkhidmatan pengarah bebas kepada sembilan tahun, selepas itu mereka tidak lagi dianggap bebas.
Hampir separuh pengarah bebas pada 2025 adalah pelantikan baru.
Daripada 800 pelantikan pengarah bebas pada 2023 dan 2024, hampir separuh merupakan pengarah kali pertama di lembaga syarikat tersenarai SGX.
SGX kini menuntut syarikat melaporkan sasaran dan kemajuan dasar kepelbagaian lembaga.
Laporan itu menggesa pendedahan yang lebih bermakna dengan merangkumi kemahiran lembaga serta jurang yang perlu ditangani bagi memastikan keberkesanan dan lebih telus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg