Singapura akan mengumumkan lebih banyak butiran mengenai program ‘Value Unlock’ pada November, menurut Menteri Pembangunan Negara dan Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat.
Ini merupakan langkah untuk membantu syarikat tersenarai menjana nilai lebih tinggi untuk pemegang saham serta melibatkan pemegang saham secara aktif dalam rancangan perniagaan mereka, kata Encik Chee sewaktu satu acara DBS pada 22 Oktober.
Pada September, beliau berkata Singapura sedang meneroka untuk memperkenalkan program bagi menyokong syarikat membuka nilai pemegang saham dan meningkatkan keupayaan penglibatan pelabur.
Langkah-langkah itu akan merangkumi geran pemerintah, set peralatan, serta pelbagai wadah penglibatan yang diperluaskan, lapor akhbar The Business Times.
MAS juga akan mengadakan rundingan “segera” mengenai usulan untuk meningkatkan saluran bantuan pelabur dengan perlindungan sewajarnya, “supaya kita tidak menjadi masyarakat yang terlalu suka mengambil tindakan undang-undang, menurut Encik Chee.
Dalam beberapa minggu akan datang, MAS dan Penguasa Bursa Saham Singapura (SGX RegCo) juga akan mengeluarkan perundingan awam yang bakal menggariskan usulan untuk memperkemas proses penyenaraian yang melibatkan kedua-dua pihak itu.
Encik Chee turut berkata MAS “mengikut jadual” untuk membuat pelantikan kumpulan kedua pengurus di bawah Program Pembangunan Pasaran Ekuiti bernilai $5 bilion menjelang akhir 2025.
Kumpulan kedua ini merangkumi gabungan pengurus global, serantau dan tempatan yang mempunyai keupayaan kukuh dalam ekuiti Singapura, seperti rekod prestasi yang terbukti dalam menarik aliran institusi dan meluaskan kecairan pasaran, tambah Encik Chee.
Avanda Investment Management, Fullerton Fund Management, dan JP Morgan Asset Management, dilantik sebagai sebahagian daripada kumpulan pertama pengurus itu pada Julai.
Kumpulan semakan ekuiti MAS dijangka menyiapkan semakan mereka menjelang akhir 2025.
Usulan yang dicadangkan dalam semakan ekuiti itu telah menunjukkan “beberapa tanda positif”, dengan purata dagangan harian dalam ekuiti Singapura meningkat 16 peratus kepada $1.53 bilion pada suku ketiga 2025 – tahap tertinggi sejak suku ketiga 2021, jelas Encik Chee.
Beliau berkata Singapura akan memberi tumpuan kepada empat keutamaan strategik untuk memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kewangan antarabangsa di Asia.
Singapura akan membina kelebihan daya saingnya dalam bidang utama termasuk pengurusan aset dan kekayaan, insurans, tukaran asing dan pasaran modal, serta menubuhkan tonggak pertumbuhan baru, seperti dalam kecerdasan buatan (AI).
Ia juga akan mengukuhkan keterhubungan serantau dan sejagat dengan memperdalam hubungan perdagangan, pembayaran dan kewangan, serta mengekalkan aliran bakat.
“Singapura berada dalam kedudukan baik untuk menjadi hab dan pintu masuk yang dipercayai di Asean bagi menyokong pertumbuhan di rantau ini.
“Untuk memainkan peranan penting ini, kita perlu mengekalkan daya saing ekonomi, kekal terbuka kepada bakat dan modal global, serta terus berhubung dengan dunia,” jelas Encik Chee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg