Lelaki gelapkan $470,000 wang bakal jemaah umrah dijel lebih 3 tahun
Lelaki gelapkan $470,000 wang bakal jemaah umrah dijel lebih 3 tahun
Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara tiga setengah tahun dan empat minggu pada 27 Januari selepas dia menyalahgunakan sekitar $470,000 yang dibayar oleh lebih 200 bakal jemaah umrah.
Kesemua mangsa tidak menerima sebarang maklumat terkini mengenai ibadah umrah kelolaan firma Bil Hikmah Consultants yang dijadualkan pada Disember 2015, dan akhirnya berputih mata apabila hasrat mereka itu tidak kesampaian.
Pengurus firma itu, Suwandi Marchuke, 58 tahun, disabitkan kesalahan pada Julai 2025 atas setiap satu tuduhan pecah amanah ketika bertindak sebagai pengurus dari September 2014 hingga Mac 2016.
Ketika itu, Suwandi sebenarnya telah diisytiharkan muflis.
Hakim Daerah, Encik Shaiffudin Saruwan, juga mendapati Suwandi bersalah atas lima tuduhan sengaja membantu firma berkenaan menjalankan perniagaan ejen pelancongan tanpa lesen.
Sebelum menjatuhkan hukuman pada 27 Januari, hakim menyatakan bahawa sejumlah besar pelanggan terjejas sedang mereka berhasrat melakukan ibadah tersebut.
Tidak dinyatakan dalam dokumen mahkamah apa yang berlaku kepada wang tersebut atau sama ada Suwandi telah membuat sebarang ganti rugi kepada mangsa.
Firma Bil Hikmah telah didaftarkan di Singapura pada 13 Februari 2014 dan pada atau sebelum September 2014, dan ia mula menawarkan Pakej Umrah Mampu Pergi pada 2015.
Mereka dijanjikan pakej umrah berserta penerbangan dan penginapan dari 12 hingga 22 Disember 2015. Harga pakej ialah $1,998 seorang, tidak termasuk yuran pendaftaran sebanyak $150.
Pakej itu lebih murah daripada harga pasaran iaitu antara $3,000 dengan $3,500 atau lebih.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ryan Lim dan Penolong Pendakwa Raya Chye Jer Yuan menyatakan rakan kongsi berdaftar firma itu ialah abang ipar Suwandi, Encik Abdul Sulaiman Hussain, dan Cik Siti Rohani Kusno.
DPP berkata: “Kedua-duanya mengesahkan bahawa mereka memegang jawatan tersebut atas nama sahaja setelah bersetuju untuk ‘meminjamkan nama mereka’ kepada tertuduh.”
Bil Hikmah tidak mempunyai lesen ejen pelancongan tetapi lebih 200 pelanggan telah mendaftar bagi pakej umrah yang ditawarkannya.
Mahkamah diberitahu sehingga November 2015, Bil Hikmah tidak menempah sebarang hotel atau penerbangan. Ia juga tidak menguruskan visa, vaksinasi atau kelas bimbingan umrah.
Pihak pendakwa raya memberitahu Hakim Shaiffudin bahawa pelanggan hanya diberitahu pada 7 November 2015 bahawa ibadah itu tidak akan diteruskan. Polis menahan Suwandi dua hari kemudian.
Ikat jaminnya ditetapkan pada $20,000, dan dia dijangka memulakan hukuman penjaranya pada 23 Mac, selepas Hari Raya Aidilfitri.

