Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelapkan $470,000 wang bakal jemaah umrah: Lelaki ketahui hukuman pada Okt

Sep 3, 2025 | 6:27 PM
Suwandi Marchuke, umrah, mahkamah
Warga Singapura, Suwandi Marchuke, didakwa menggelapkan sekitar $470,000 daripada lebih 200 anggota jemaah yang mendaftar untuk pakej umrah pada 2015. Pada awalnya dia bakal dijatuhkan hukuman pada 3 September, namun kini dijadual pada 16 Oktober. - Foto fail

Seorang lelaki yang diisytiharkan muflis telah menggelapkan sekitar $470,000 daripada lebih 200 anggota jemaah yang mendaftar untuk pakej umrah.

Jemaah tidak menerima sebarang perincian mengenai aturan perjalanan itu, dan diberitahu pada November 2015 bahawa perjalanan tersebut tidak akan berlaku.

Warga Singapura, Suwandi Marchuke, 58 tahun, pada awalnya dijangka dijatuhkan hukuman pada 3 September, namun proses tersebut ditunda pada 16 Oktober.

Selepas perbicaraan, Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan, mengekalkan sabitan terhadap Suwandi pada Julai atas dua pertuduhan – satu pertuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan menjadi pengurus syarikat ketika muflis, dari sekitar September 2014 hingga Mac 2016.

Hakim turut mendapati Suwandi bersalah atas lima pertuduhan sengaja membantu syarikat menjalankan perniagaan sebagai ejen pelancongan tanpa lesen.

Dalam perbicaraan terdahulu, mahkamah mendengar bahawa Suwandi, yang juga dikenali sebagai Andy Martiin dan Datuk Andy Martiin, telah diisytiharkan muflis pada 22 Ogos 2013.

Syarikat Bil Hikmah Consultants didaftarkan di Singapura pada 13 Februari 2014. 

Pada atau sebelum September 2014, syarikat itu mula menawarkan Pakej Umrah Mampu Pergi (Pump) 2015, yang perjalanannya dijadual berlangsung dari 12 hingga 22 Disember 2015.

Harga asas setiap pakej termasuk penerbangan dan penginapan ialah $1,998, dengan yuran pendaftaran $150.

Ini jauh lebih rendah daripada harga pasaran, yang biasanya berharga antara $3,000 dengan $3,500 atau lebih, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ryan Lim dan Penolong Pendakwa Raya (APP) Chye Jer Yuan, rakan kongsi syarikat itu ialah Cik Siti Rohani Kusno, dan abang ipar Suwandi, Encik Abdul Sulaiman Hussain.

“Kedua-duanya mengesahkan bahawa peranan itu dipegang atas nama sahaja, setelah bersetuju untuk ‘meminjamkan nama’ kepada tertuduh,” kata para pendakwa tersebut.

“Sebenarnya, operasi syarikat dikendalikan oleh Suwandi,” tambah mereka.

Para pendakwa menekankan bahawa walaupun Bil Hikmah tidak pernah mempunyai lesen menjalankan perniagaan sebagai ejen pelancongan, lebih 200 jemaah telah mendaftar untuk Pump 2015.

Mahkamah dimaklumkan bahawa sehingga November 2015, Bil Hikmah masih belum menempah hotel dan penerbangan, serta tiada persiapan untuk visa, vaksinasi atau kursus umrah.

“Jemaah tidak menerima sebarang maklumat mengenai aturan perjalanan.

“Pada mesyuarat 7 November 2015, tiba-tiba diumumkan bahawa perjalanan itu tidak akan berlaku,” jelas para pendakwa kepada Hakim Shaiffudin.

Polis menahan Suwandi pada 9 November 2015.

Semasa perbicaraan, Suwandi yang tidak diwakili peguam, mengaku bahawa perjalanan umrah itu tidak boleh diteruskan tanpa dana tambahan. 

Suwandi mendakwa dia mempunyai beberapa pilihan, termasuk menggunakan wang sendiri atau mencari penaja.

Namun, pendakwa menekankan bahawa ketika itu dia muflis dan sedang menghadapi masalah kewangan.

Suwandi mendakwa penaja utama Pump 2015 ialah seorang individu bernama ‘Pengiran’ yang dikatakan ditemui di Labuan, Malaysia, namun gagal mengemukakan sebarang bukti kukuh bagi menyokong dakwaan tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg