Pelabur runcit di Singapura kini boleh melabur dalam emas melalui dana emas fizikal pertama negara yang diinsuranskan dan disimpan dengan selamat di Singapura.
LionGlobal Singapore Physical Gold Fund dilancarkan pada 25 November oleh Lion Global Investors, pengurus aset milik penuh OCBC Bank.
Dana itu akan diedarkan melalui OCBC, MariBank Singapore, iFast, Great Eastern, POEMS dan Kumpulan Singlife, dengan Standard Chartered Bank Singapore bertindak sebagai penjaga aset, lapor The Straits Times (ST).
Ketua pegawai eksekutif Lion Global Investors, Encik Teo Joo Wah, berkata terdapat rancangan untuk menyenaraikan dana tersebut di Bursa Singapura (SGX) menjelang suku pertama 2026.
Pada masa ini, hanya terdapat satu dana dagangan bursa (ETF) emas yang tersenarai di SGX – SPDR Gold Shares ETF, yang diuruskan oleh State Street Global Advisors dalam dolar Amerika Syarikat dan dolar Singapura.
LionGlobal Singapore Physical Gold Fund buat masa ini belum layak untuk Skim Pelaburan Tabung Simpanan Pekerja (CPFIS), yang membenarkan ahli melaburkan sebahagian simpanan CPF mereka ke dalam dana yang diluluskan oleh Lembaga CPF.
Encik Teo berkata dana pasif itu berharap dapat kelulusan CPFIS lebih cepat daripada tempoh tiga tahun yang biasanya diperlukan untuk dana aktif.
Apabila ditanya mengapa dana itu dilancarkan sekarang, Encik Teo berkata terdapat beberapa isu peraturan yang perlu diselesaikan.
“Kami tidak melancarkannya kerana harga emas telah meningkat. Kami sebenarnya merancang untuk melancarkan dana ini sejak awal tahun,” katanya.
Harga emas telah melonjak sejak tiga tahun lalu daripada sekitar AS$2,000 setiap auns (28.3 gram) kepada paras tertinggi AS$4,380 pada pertengahan Oktober.
Kini harganya sekitar AS$4,100 satu auns.
Lion Global Investors berkata dana itu akan menjejak LBMA Gold Price AM, penanda aras harga emas pagi yang ditetapkan pada 10.30 pagi waktu London (6.30 petang waktu Singapura).
LBMA ialah pihak berkuasa global yang menetapkan piawaian untuk emas tulen (refined gold).
Dana ini disokong sepenuhnya oleh jongkong emas berkualiti tinggi dengan ketulenan sekurang-kurangnya 99.5 peratus, mengikut piawaian LBMA.
Ketua perkhidmatan pembiayaan dan sekuriti Standard Chartered, Encik Francois Verlaine, kebanyakan emas dana ini adalah jongkong fizikal yang boleh dijejaki melalui nombor siri unik.
Sehingga 5 peratus dipegang dalam bentuk kredit emas tidak terperuntuk supaya pelabur lebih mudah menambah atau menebus unit dana.
Emas tersebut disimpan di Le Freeport Singapura, sebuah fasiliti keselamatan tinggi dengan pemantauan 24 jam, dan diinsuranskan sepenuhnya terhadap kehilangan, kecurian atau kerosakan ketika dalam jagaan atau transit.
Pelabur boleh membeli dana ini dalam dolar Singapura atau dolar Amerika, bergantung pada kelas saham dana. Pelaburan permulaan minimum ialah $1,000 atau AS$1,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg