The Singapore Mint telah melancarkan satu siri jongkong emas gred pelaburan baru, Lion Bullion, yang memaparkan motif singa unik, berikutan harga emas yang melonjak ke paras tertinggi.
Direka hasil kerjasama dengan kilang penapisan logam berharga Switzerland, Produits Artistiques Métaux Précieux (PAMP), siri pertama jongkong emas Lion Bullion itu dihasilkan mengikut “piawai ketulenan tertinggi”, menurut The Singapore Mint.
Kesemua jongkong emas itu dihasilkan mengikut tempahan, dan dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Tersedia seberat daripada satu gram hingga satu kilogram, harga terkini jongkong tersebut boleh disemak di laman web, lionbullion.com.sg, lapor The Straits Times (ST).
Setiap jongkong emas dilengkapi dengan lapisan pelindung, mempunyai nombor bersiri, dan didaftarkan secara digital untuk membolehkan pemeriksaan ketulenan dilakukan dengan pantas.
Pelancaran itu dilakukan ketika harga emas melonjak ke paras tertinggi menyusuli permintaan kukuh pelabur terhadap aset stabil tersebut, di tengah-tengah ketidaktentuan politik dan ekonomi sejagat.
Buat kali pertama, harga emas melonjak melebihi AS$3,800 (sekitar $4,908) setiap auns (28.3 gram) pada 29 September.
Kenaikan itu didorong oleh dolar Amerika Syarikat yang lemah serta jangkaan peningkatan pemotongan kadar faedah oleh negara tersebut.
Harga emas lazimnya bergerak bertentangan dengan dolar Amerika – harganya naik apabila dolar lemah dan turun apabila dolar kuat.
Lion Bullion boleh diambil sendiri, dihantar, atau disimpan dengan selamat di bilik besi The Singapore Mint.
Mereka yang membeli sekurang-kurangnya 10 auns produk Lion Bullion boleh menikmati penyimpanan percuma di bilik besi itu sehingga 30 Jun 2026.
Seribu pesanan pertama bagi produk dengan berat satu auns atau lebih dalam setiap urus niaga akan menerima medalion logam edisi terhad dengan corak singa.
The Singapore Mint turut menawarkan perkhidmatan beli balik bagi Lion Bullion dengan harga dinyatakan di laman web tersebut.
Bagi pelabur yang menyimpan jongkong emas mereka di bilik besi di The Singapore Mint, urus niaga boleh dilakukan terus melalui wadah dalam talian untuk pembelian lebih pantas.
Pada awal 2025, The Singapore Mint turut melancarkan dua siri koleksi SG60 sempena ulang tahun ke-60 Singapura.
Produk tersebut termasuk penanda buku bersadur emas dan medalion bersadur emas 24 karat.
Harga emas telah meningkat sekitar 45 peratus sejak awal 2025 dan secara tahun ke tahun, menurut data Trading Economics.
Penganalisis percaya lonjakan harga emas mungkin akan berterusan, dengan JP Morgan berkata ia boleh mencecah AS$4,250 menjelang akhir 2026, manakala Bank of America menetapkan unjuran pada AS$4,000.
Di Singapura, minat terhadap dana pertukaran dagangan (ETF) emas telah meningkat pada 2025.
Saham Emas SPDR ETF mencatat aliran masuk bersih sebanyak $309 juta dari awal 2025 hingga 13 Jun, jumlah tertinggi dalam kalangan ETF yang disenaraikan di Singapura.
Pelanggan berumur 35 tahun dan ke bawah turut menunjukkan minat lebih mendalam terhadap barang kemas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasil pemasaran bijak dan kesedaran meningkat mengenai nilai emas, ujar Persatuan Tukang Emas Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg