Lulusan poly boleh teroka 16 latihan sebagai perantis dalam pelbagai bidang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lulusan poly boleh teroka 16 latihan sebagai perantis dalam pelbagai bidang

Feb 11, 2026 | 4:49 PM

Lulusan poly boleh teroka 16 latihan sebagai perantis dalam pelbagai bidang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, apprenticeship, program perantisan, polytechnic, politeknik
Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan, berucap di majlis pelancaran program perantisan, Access Apprenticeship, pada 11 Februari yang diadakan Scape, Orchard Link. - Foto ST

Lulusan politeknik yang mencari laluan baru selepas tamat pengajian kini boleh meneroka 16 latihan sebagai perantis dalam bidang seperti layanan tamu, pengauditan, penglibatan masyarakat dan tenaga.

Program perantisan 18 bulan itu, yang dilancarkan badan amal mobiliti sosial, Access Singapore, pada 11 Februari, membuka peluang kepada lulusan untuk menjalani latihan sambil bekerja.

Peserta program akan menerima gaji bulanan daripada $2,700 hingga $3,800 – setara dengan pendapatan pemegang diploma – selain faedah perubatan dan bonus pekerja sepenuh masa.

Program itu bermula dengan latihan di bilik darjah selama dua minggu di Access, bagi mengasah kemahiran profesional mereka sebelum beralih ke latihan selama 18 bulan di tempat kerja.

Kemudian, mereka akan dinilai untuk kemungkinan dilantik sebagai pekerja sepenuh masa.

Program tersebut direka untuk memberi peserta latihan lebih berstruktur sambil mereka bekerja di syarikat industri besar, termasuk syarikat minyak dan gas, BP Singapore, serta firma perunding EY Singapore dan Pontiac Land Group, yang mengendalikan hotel mewah seperti The Ritz-Carlton dan Capella.

Program itu akan bermula pada Julai 2026 dan permohonan kini dibuka kepada pelajar politeknik yang bakal menamatkan pengajian pada 2026, serta mereka yang telah menamatkan pengajian pada 2024 dan 2025.

Permohonan dibuka dari 5 Januari hingga 8 Mac 2026.

Program tersebut menawarkan 16 tempat kosong merangkumi semua disiplin dan setakat ini sekitar 100 permohonan telah diterima.

Pelancaran program itu dibuat menyusuli dapatan Tinjauan Pekerjaan Lulusan Politeknik (GES) terkini yang dikeluarkan pada Januari, kata badan amal berkenaan.

Tinjauan itu mendapati 54.2 peratus lulusan politeknik bekerja sepenuh masa enam bulan selepas tamat pengajian, dengan gaji purata $3,000.

Sebanyak 28.2 peratus lulusan bekerja secara sambilan atau sementara; 4.8 peratus bekerja secara bebas; 2.3 peratus telah menerima tawaran pekerjaan tetapi belum mula bekerja; manakala 0.6 peratus sedang mengambil langkah aktif memulakan perniagaan sendiri.

Access Singapore turut menjalankan tinjauan berasingan pada 2025, yang disertai 400 lulusan politeknik dengan pengalaman pekerjaan sepenuh masa kurang tiga tahun.

Sebanyak 44 peratus responden menyatakan keraguan terhadap peluang maju dalam jawatan yang disandang.

Tinjauan itu turut menyenaraikan tiga cabaran utama yang dihadapi para lulusan apabila memasuki alam pekerjaan iaitu menyesuaikan diri dengan budaya tempat kerja; mempelajari alat, sistem dan proses baru; serta menguruskan beban kerja, tarikh akhir dan rentak kepantasan kerja.

“Ekonomi sejagat tidak menentu dan gangguan teknologi memerlukan lulusan politeknik kita untuk kekal tangkas dan sentiasa menyesuaikan diri,” kata Pengasas Access, Encik Clarence Ching.

Beliau menambah bahawa adalah sukar bagi para lulusan mencapai pergerakan kerjaya tanpa sokongan yang baik dan pembangunan kemahiran.

Justeru, program itu bertujuan menyediakan laluan alternatif kepada lulusan politeknik bagi membantu mereka membina kerjaya bermakna dan mampan, kata Encik Ching.

Sepanjang program perantisan itu, lulusan akan menghadiri kursus profesional di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), mendapat keahlian dan bimbingan percuma LinkedIn Premium, serta peluang mengembangkan jaringan profesional, menghadiri program sokongan rakan setara dan sesi pemantauan setiap dua bulan.

Program itu dibiayai cabang impak sosial firma pelaburan, Macquarie Group.

Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Cik Goh Hanyan, dalam ucapan di majlis pelancaran program perantisan itu menekankan landskap yang berubah bagi belia Singapura.

Beliau mengakui belia hari ini memasuki pasaran kerja yang dibentuk oleh keadaan pascapandemik, kemunculan pesat kecerdasan buatan (AI), serta perubahan aturan dunia.

“Bagi ramai belia Singapura, Impian Singapura bermula dengan memiliki pekerjaan yang bermakna.

“Pekerjaan yang bermakna kini bukan sekadar cita-cita; ia tentang tujuan dan berada di tempat di mana budaya selari dengan nilai yang mereka pegang.

“Pembangunan belia mesti menjadi visi bersama,” kata Cik Goh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg