Program MOM, WSG tawar pengalaman kerja kepada 350 siswazah baru
Program MOM, WSG tawar pengalaman kerja kepada 350 siswazah baru
Lebih 50 syarikat pelbagai sektor buka peluang latihan praktikal, bolehkan siswazah timba pengalaman
Sekitar 350 pelatih kini bekerja di pelbagai organisasi di bawah program anjuran Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).
Program itu bertujuan memberi pengalaman kerja kepada siswazah baru daripada pelbagai industri.
Lebih 50 syarikat terlibat, merangkumi sektor perkilangan, perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), serta perkhidmatan profesional.
Antaranya ialah DBS Bank, LinkedIn Singapore, OCBC Bank, Razer Asia-Pacific, UOB, Sats dan ST Engineering.
Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit) dilancarkan pada Oktober 2025 oleh MOM dan WSG, membantu siswazah menimba pengalaman melalui latihan terancang selama tiga hingga enam bulan, memudahkan peralihan ke pekerjaan sepenuh masa.
Pelatih akan menerima elaun sepanjang tempoh itu.
Jawatan latihan merangkumi peranan teknikal khusus dan merentas fungsi yang lebih luas, mencerminkan spektrum kemahiran yang pelbagai.
Satu cabang program, GRIT@Gov, menawarkan latihan di sektor awam, melibatkan 60 agensi dengan penyelarasan oleh Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD).
Agensi termasuk Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Politeknik Singapura (SP), serta kementerian seperti MOM, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Pendidikan (MOE).
Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, menyatakan pemerintah memahami kebimbangan golongan muda mengenai pekerjaan pertama mereka, namun menegaskan peluang kerjaya melimpah bagi mereka yang bersedia.
Kenyataan itu dibuat semasa lawatan beliau ke Thales Solutions Asia pada 6 Februari, sebuah syarikat teknologi mendalam yang mengambil lima pelatih di bawah program tersebut.
Syarikat tersebut pakar dalam teknologi canggih bagi sektor pertahanan, aeroangkasa, keselamatan, pengangkutan dan identiti digital.
Menurut Dr Tan, kekosongan jawatan peringkat permulaan (profesional, pengurusan, eksekutif dan teknikal) meningkat daripada 31,000 pada Jun 2025 kepada 39,000 pada September.
Beliau optimis pasaran tenaga kerja Singapura kekal kukuh pada 2025, dengan pertumbuhan pekerjaan dijangka berterusan pada 2026.
Menjelang September 2025, hampir tujuh daripada 10 lulusan universiti kohort 2025 telah mendapat pekerjaan, dan angka itu dijangka meningkat.
“Kami akan terus menyokong lulusan dalam pencarian kerja dan mengutamakan usaha mendapatkan pekerjaan tetap,” kata Dr Tan.
Dr Tan berkata institusi pengajian tinggi telah menganjurkan sekurang-kurangnya 14 pameran kerjaya bagi kohort lulusan 2025, manakala WSG turut mengadakan acara kerjaya untuk lulusan baru sepanjang 2025.
Dr Tan turut berinteraksi dengan para peserta latihan di Thales Solutions Asia, yang telah menjalani program selama lima minggu.
Mereka menjalankan peranan seperti automasi sistem perkilangan, analisis data serta peningkatan kecekapan proses pengeluaran.
Encik Skyler Teo, 26 tahun, seorang peserta latihan dalam bidang kejuruteraan industri, berkata beliau menghantar sekitar 200 permohonan pekerjaan dan 60 permohonan latihan sebelum diterima di Thales.
Siswazah Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) menyifatkan pencarian kerja dalam sektor kejuruteraan amat mencabar, khususnya bagi peranan yang menuntut aspek praktikal.
Beliau menambah, latihan itu membuka ruang untuk menimba pengalaman kerja sebenar dan menggunakan kemahiran dalam dunia nyata.
“Banyak syarikat lebih memilih pemegang diploma bagi pekerjaan teknikal kerana mereka lebih terlatih, manakala bagi jawatan peringkat lebih tinggi, syarikat mengutamakan pengalaman kerja.
“Oleh itu, latihan ini lebih mudah dimasuki lulusan baru,” kata Encik Teo.
Beliau menambah Thales turut menyediakan faedah syarikat seperti cuti.
Di bawah program Grit, peserta akan menerima elaun bulanan antara $1,800 dengan $2,400, dengan 70 peratus dibiayai pemerintah dan selebihnya oleh organisasi terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Thales Solutions Asia, Cik Emily Tan, menyatakan komitmen syarikatnya melatih bakat baru dan akan mempertimbangkan untuk menawarkan peserta latihan jawatan sepenuh masa, bergantung pada kesesuaian peranan dan aspirasi mereka.
“Program ini bertujuan membangunkan bakat aeroangkasa sejajar dengan pertumbuhan industri di Asia Pasifik dan peningkatan permintaan di Singapura susulan pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi,” kata Cik Emily Tan.
Untuk memohon program Grit, peserta perlu merupakan warganegara atau Penduduk Tetap (PR) Singapura.
Mereka juga perlu menamatkan pengajian pada 2024 atau 2025 daripada mana-mana universiti, politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE), atau institusi yang diiktiraf.
Mereka yang tamat pengajian lebih awal tetapi baru selesai Perkhidmatan Negara (NS) pada 2024 atau 2025, serta mereka yang menamatkan pengajian pada 2025 dan dijadual menerima ijazah pada 2026, juga dialu-alukan supaya memohon.

