Pengendali rangkaian telekomunikasi, M1, akan memperoleh 70 peratus kepentingan dalam penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) yang berpangkalan di Vietnam, ADG National Investment and Technology Development, dengan jumlah pertimbangan pembelian sebanyak 719.9 bilion dong ($37.7 juta).
Langkah memperoleh ADG akan menandakan kemasukan strategik M1 ke pasaran Vietnam, kata syarikat induk M1, Keppel.
Kumpulan itu menyatakan rekod prestasi penyedia penyelesaian IT tersebut selama 18 tahun dalam rantaian nilai; rangkaiannya yang merangkumi lebih daripada 2,000 ejen dan rakan kongsi tempatan; dan operasi syarikat itu di empat bandar utama: Hanoi, Ho Chi Minh City, Da Nang dan Can Tho.
“Secara ketara, ADG membawa penyelesaian pengkomputeran dan penyimpanan termaju, penyelesaian rangkaian berprestasi tinggi, serta pengkomputeran dan perkhidmatan IT inovatif ke pasaran melalui rangkaian teguhnya yang terdiri daripada lebih 20 rakan kongsi teknologi global,” kata Keppel, lapor The Business Times.
Dell Technologies, Hewlett Packard dan Nvidia dikira sebagai beberapa nama dalam kalangan rakan kongsi teknologi tersebut.
Ketua eksekutif M1 dan ketua eksekutif Keppel bagi keterhubungan, Encik Manjot Singh Mann, percaya pelaburan M1 dalam ADG akan menambah rangkaian tawaran sambungan Keppel untuk perusahaan itu.
“Melalui pengambilalihan ini, M1 akan dapat memanfaatkan kepakaran dan kehadiran tempatan ADG di Vietnam untuk meningkatkan lagi keupayaan kami menyampaikan penyelesaian yang inovatif dan komprehensif kepada pelanggan di negara itu,” katanya.
M1 akan melanggan saham biasa baru yang akan diterbitkan oleh ADG, serta membeli saham biasa daripada semua pemegang saham sedia ada, termasuk ahli lembaga pengarah ADG.
Pertimbangan pembelian itu akan dibayar melalui anak syarikat milik penuh M1, AP Tech.
Urus niaga itu dijadualkan selesai pada suku pertama 2025, tertakluk kepada kelulusan dan pelepasan pemfailan penggabungan oleh pihak berkuasa Vietnam.
Ia tidak dijangka akan memberi kesan ketara kepada Keppel untuk tahun kewangan semasa.
Selepas pemerolehan selesai, baki 30 peratus kepentingan dalam ADG akan dipegang oleh pemegang saham sedia ada, termasuk pengerusi dan pengasasnya, Encik Vu Minh Tuan.
Keppel berkata Encik Tuan, bersama ahli lembaga ADG yang lain, akan terus memainkan peranan aktif sebagai pengurusan kanan syarikat.
Pada akhir September 2024, ADG mempunyai nilai aset bersih dan nilai buku yang belum diaudit sebanyak 151 bilion dong.
Saham Keppel ditutup dua sen lebih tinggi pada $6.50 pada 29 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg