Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singtel, Hitachi jalin kerjasama buka pusat data di Jepun

Aug 26, 2024 | 4:26 PM
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital InfraCo, Encik Bill Chang (kiri), dan Naib Presiden Eksekutif dan Pegawai Eksekutif Hitachi, Encik Toshiaki Tokunaga, semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital InfraCo, Encik Bill Chang (kiri), dan Naib Presiden Eksekutif dan Pegawai Eksekutif Hitachi, Encik Toshiaki Tokunaga, semasa majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU). - Foto SINGTEL

Sebuah syarikat pengendali pusat data serantau milik Singtel, Nxera, menjalin kerjasama dengan syarikat Jepun, Hitachi, untuk meneroka peluang membangun pusat data di seluruh Jepun dan rantau Asia-Pasifik.

Nxera adalah cabang pusat data serantau daripada unit Digital InfraCo Singtel.

Kerjasama itu dijalin melalui satu Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara Singtel dengan Hitachi, menurut kededua syarikat dalam satu kenyataan bersama pada 26 Ogos.

Selain Nxera, perniagaan Digital InfraCo termasuk khidmat awan unit pemprosesan grafik (GPU), dan khidmat “pengagregatan digital” melalui wadah Paragon Singtel.

Menurut kededua syarikat, perjanjian terkini itu meluaskan kerjasama yang diumumkan pada Jun 2024 untuk mencuba dan menyepadukan khidmat Paragon dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) Hitachi.

Di bawah MOU pada Ogos 2024, Hitachi juga akan meneroka menggunakan GPU-sebagai-Perkhidmatan (GPUaaS) bagi aplikasi AI dan beban kerja syarikat itu.

Ini akan membolehkan Hitachi memanfaatkan faedah yang ditawarkan Singtel bagi menambah baik teknologi dan huraian digitalnya, seperti pembelajaran mesin berprestasi tinggi dan AI generatif, lapor The Business Times (BT).

Di samping itu, kededua syarikat mungkin meneroka untuk mencipta secara bersama pelbagai aplikasi bagi perniagaan yang menggabungkan teknologi dan wadah Hitachi dan Singtel.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital InfraCo, Encik Bill Chang, berkata kerjasama dengan Hitachi “membuka peluang baru dalam pasaran Jepun yang penting dari segi strategik dan kian berkembang”.

“Kami ingin sekali membawa kepakaran kolektif, aset dan huraian digital kami untuk membantu lebih banyak syarikat berinovasi dan mengubah perniagaan dan operasi mereka melalui khidmat awan dan AI,” ujar beliau.

Laporan media sebelum ini menyatakan pusat data hari ini disediakan bagi memenuhi keperluan pengiraan yang semakin sengit.

GPU, yang pada asalnya direka untuk memproses imej dan data visual, kini merupakan aplikasi penting untuk meningkatkan proses menangani data besar, dan berguna dalam bidang seperti pembelajaran mesin dan pengeluaran kreatif.

Menurut Singtel, syarikat boleh memanfaatkan GPUaaS untuk mempercepat pembangunan AI generatif, model bahasa besar dan beban kerja AI lain tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar dalam memperoleh ruang AI pusat data dan GPU.

Saiz pasaran GPUaaS sedunia dijangka meningkat kepada AS$25.53 bilion ($33.2 bilion) menjelang 2030 berbanding AS$3.16 bilion pada 2023.

Pasaran Asia-Pasifik pula boleh menyaksikan kadar pertumbuhan tertinggi dalam tempoh itu, memandangkan minat tinggi dalam AI di rantau ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg