Resort mesra alam, Mandai Rainforest Resort by Banyan Tree, akan menjalinkan kerjasama dengan Kesatuan Gabungan Pekerja-Pekerja Minuman dan Makanan (FDAWU) serta Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bagi menyokong pengambilan pekerja warga emas dan memudahkan proses peralihan kerjaya.
Pengurus Besar Mandai Rainforest Resort by Banyan Tree, Encik Glen Cook, telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MOU) dalam satu majlis yang diadakan di Meranti Ballroom resort tersebut, pada 27 Oktober.
Majlis menandatangani MOU itu turut disaksikan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, lapor The Straits Times (ST).
MOU pertama ditandatangani bersama Setiausaha Agung FDAWU, Encik Sankaradass S Chami, bagi kedua-dua pihak menubuhkan Jawatankuasa Latihan Syarikat dan menyokong peningkatan kemahiran pekerja resort.
Melalui kerjasama ini, lebih 200 pekerja resort – iaitu sekitar 80 peratus daripada tenaga kerjanya – berpeluang mendapat latihan dan transformasi yang akan meningkatkan kemahiran serta prospek pekerjaan mereka, kata Encik Ng.
Menurut Encik Sankaradass, FDAWU akan bekerjasama dengan pihak pengurusan resort untuk menyelaras transformasi dengan mereka bentuk semula pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.
Ia bagi “memastikan setiap pekerja, terutama kakitangan warga emas, bersedia menghadapi keperluan landskap layanan tamu yang kian berubah”, jelas Encik Sankaradass.
Dalam majlis tersebut, Encik Ng memuji Mandai Rainforest Resort – yang membuka tempahan pelanggan yang ingin menetap di situ pada April 2025 – kerana menerima kerjasama ini “pada awal perjalanannya”.
Beliau turut menambah kerjasama tersebut adalah contoh bagaimana NTUC, kesatuannya dan rakan kongsi menyokong syarikat dalam membina tenaga kerja yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan.
MOU kedua pula ditandatangani Encik Cook dan Timbalan Ketua Eksekutif e2i, Encik Gary Goh.
MOU tersebut menegaskan komitmen resort tersebut dan e2i untuk memperkukuh pembangunan tenaga kerja dan daya kerja, dengan meningkatkan keselamatan pekerjaan, perkembangan kerjaya dan pembangunan kemahiran, sambil membina tenaga kerja yang kukuh dan terangkum.
Ketua Pegawai Eksekutif e2i, Cik Caryn Lim, berkata kerjasama itu membolehkan e2i membawa aktiviti pengambilan pekerja dan kesedaran pekerjaan, seperti lawatan pengalaman kerja, lebih dekat dengan pelbagai kumpulan bakat.
Bagi melengkapkan kerjasama ini, Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) turut bergabung dengan Mandai Rainforest Resort untuk memperkukuh kesihatan kerjaya tenaga kerja melalui pembangunan kerjaya dan kemahiran, menyokong daya penghasilan perniagaan serta meningkatkan daya tarikan dan pengekalan bakat.
“Kedua-dua MOU dengan FDAWU dan e2i mencerminkan komitmen kami untuk memastikan rakan sekerja mempunyai peluang untuk berkembang, menyumbang dan membina kejayaan jangka panjang dalam sektor layanan tamu,” kata Encik Cook.
Pengurus besar resort itu turut menambah mereka berhasrat untuk membekalkan tenaga kerja dengan kemahiran baru serta mewujudkan laluan kerjaya untuk warga emas dan kumpulan lain yang kurang mendapat perhatian.
“Sebagai hartanah pertama Banyan Group di Singapura, daya usaha ini menggabungkan layanan tamu bertaraf dunia kami dengan huraian kerja yang tertumpu kepada masyarakat,” jelas Encik Cook.
MOU tersebut melengkapkan proses peningkatan operasi Mandai Rainforest Resort by Banyan Tree menjelang pembukaan rasminya pada 26 November.
Menurut resort itu, perjanjian berkenaan akan menjadi asas bagi rangka kerja pengambilan pekerja dan peluang penempatan berkaitan resort, dengan pelan pelaksanaan lebih terperinci akan diputuskan secara bersama oleh pihak-pihak yang terlibat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg