Seorang suri rumah, Cik Rosnah Sulaiman, mengalami kesukaran menghadapi kehilangan suami pada 2017.
Namun, pada 2023, wanita berusia 77 tahun itu memulakan ‘pekerjaan mikro’ selepas seorang pengurus di Pusat Penuaan Aktif (AAC) Thye Hua Kwan @ Bedok mencadangkan langkah itu bagi membantu beliau mengatasi kesedihan.
Beliau menghantar makanan kepada warga emas yang lemah di bloknya tiga kali seminggu untuk makan tengah hari dan makan malam, dan dibayar elaun kecil sebanyak $1 untuk setiap hidangan yang dihantar, lapor The Straits Times (ST).
“Saya rasa ini cara yang sangat baik untuk meningkatkan semangat, menghilangkan kemurungan dan kesepian saya. Saya dapat mengenali ramai orang,” kata Cik Rosnah, yang tidak mempunyai anak.
Beliau merupakan antara 700 warga emas daripada 18 AAC yang menyertai program pekerjaan mikro oleh Thye Hua Kwan Moral Charities (THKMC) sepanjang dua setengah tahun lalu.
Sebagai lanjutan daripada program tersebut, satu inisiatif pekerjaan mikro yang lebih besar telah dilancarkan pada 13 Oktober, dengan sumbangan $1.47 juta daripada Yayasan DBS.
Sumbangan itu sebahagiannya akan digunakan untuk pembangunan aplikasi baru oleh THKMC dan Yayasan DBS untuk membolehkan warga emas mencari, memohon dan menerima pembayaran bagi pekerjaan mikro dengan mudah.
Aplikasi tersebut dijangka siap pada separuh pertama 2026.
Inisiatif pekerjaan mikro itu akan dilaksanakan di 100 AAC sepanjang empat tahun, memberi manfaat kepada 5,000 warga emas.
Kerjasama itu bertujuan membantu lebih ramai warga emas mengambil peluang pekerjaan yang fleksibel berdasarkan tugas, membolehkan mereka menyumbang kepada masyarakat dan memperkukuh hubungan sosial.
Untuk memperluas bekalan dan kepelbagaian tugas mikro, THKMC dan Yayasan DBS akan melibatkan rangkaian mereka dalam sektor swasta, awam dan masyarakat.
Mereka juga merancang menawarkan lebih banyak tugas berkemahiran seperti mengetuai program masyarakat, membimbing dan menyokong operasi perniagaan runcit, selain tugas biasa seperti menemani warga emas ke janji temu perubatan.
Berucap semasa acara pelancaran di Galeri Nasional Singapura, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata program pekerjaan mikro membantu warga emas mengembalikan rasa tujuan selepas bersara.
Menurutnya, beliau membangkitkan idea mengenai masyarakat sangat menua atau ‘super-aged’ – apabila seorang daripada lima orang di sini akan berusia 65 tahun ke atas pada 2026 – di Parlimen untuk menyedarkan orang ramai tentang realiti ini.
“Setelah sedar (bahawa Singapura) akan menjadi masyarakat sangat menua pada 2026, mungkin kita perlu berhenti bercakap mengenainya.
“Satu-satunya cara untuk tidak berasa tua adalah dengan menganggap 65 itu masih muda,” katanya.
Encik Ong, yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, berkata Singapura boleh belajar dari negara dengan penduduk menua seperti Jepun, yang mencapai status sangat menua pada 2006.
Menurut beliau, Singapura telah mencontohi AAC di Jepun yang dipanggil ‘rumah Ibasho’ – pusat warga emas berkumpul dan saling menjaga.
Seorang lagi warga emas yang mengambil peluang bekerja dalam pekerjaan mikro adalah Cik Kong Mei Lin, 71 tahun.
Beliau mengetuai senaman Zumba menggunakan kerusi setiap minggu dan membantu dalam kelas tarian warga emas di AAC Thye Hua Kwan @ Kaki Bukit.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg