Syarikat insurans Manulife telah melantik Encik Benoit Meslet, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) semasa di Jepun, untuk mengetuai divisyen Singapura mulai 1 Jun.
Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, Encik Meslet akan menggantikan Encik Khoo Kah Siang pada tarikh tersebut, apabila Encik Khoo beralih mengetuai unit perniagaan pasaran berkembang Manulife – yang menyelia operasi di Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar dan Filipina.
Sejak menyertai syarikat insurans itu pada 2020, Encik Meslet telah memimpin perniagaan untuk mencapai pertumbuhan selama empat tahun berturut-turut, serta meningkatkan nilai perniagaan baru sebanyak dua kali ganda berbanding 2022, kata Manulife pada 10 Februari.
Beliau juga menyokong langkah transformasi digital syarikat itu, yang membawa kepada kepuasan pelanggan pada tahap tertinggi.
“Dengan pengalaman kepimpinan lebih 20 tahun dalam industri insurans hayat di Asia, beliau amat bersedia mengambil peranan baru ini,” ujar syarikat insurans itu.
Menurut Manulife, Encik Khoo menyertai syarikat itu pada 2018 dan membantu memacu pertumbuhan mampan syarikat itu serta menjadikan Singapura sebagai pemain utama di Asia.
“Khoo membawa kepakaran luas dalam perkhidmatan kewangan dan pernah berkhidmat sebagai presiden Persatuan Insurans Hayat Singapura,” kata Manulife.
Pelantikan Encik Meslet dan peralihan Encik Khoo ke unit lain adalah antara beberapa perubahan kepimpinan yang diumumkan syarikat insurans itu pada 10 Februari.
Encik Phil Witherington, Presiden merangkap CEO Manulife Asia, berkata perubahan itu “menunjukkan kekuatan kepimpinan kami di seluruh Asia serta meletakkan kami di kedudukan untuk terus menyediakan pertumbuhan mampan bermutu tinggi”.
“Kami berada di landasan yang betul bagi mencapai matlamat kami untuk menyumbang separuh daripada pendapatan teras Manulife menjelang 2027, dan para pemimpin ini telah secara konsisten melaksanakan strategi kami (dengan baik).
“Kepimpinan mereka dalam peranan baru ini akan membantu menentukan langkah seterusnya untuk Manulife Asia,” tambahnya.
Encik Witherington juga akan mengambil peranan baru sebagai Presiden dan CEO Manulife mulai 9 Mei, menggantikan Encik Roy Gori, yang akan bersara, lapor The Business Times (BT).
Pengganti Encik Witherington sebagai CEO Manulife Asia belum diumumkan.
Perubahan kepimpinan kanan dalam perniagaan Manulife Asia termasuk Encik Ryan Charland, CEO Indonesia, menggantikan Encik Meslet di pejabat Jepun mulai 1 Mei.
Cik Lauren Sulistiawati pula akan menggantikan Encik Charland sebagai ketua operasi Manulife Indonesia pada 24 Februari.
Cik Adrienne O’Neill, Pengawal Kewangan Global merangkap Ketua Pegawai Perakaunan kumpulan, dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan Asia, menggantikan Encik Michael Thomssen, yang akan meninggalkan Manulife.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg