Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Allianz batal perjanjian dengan Income Insurance

Keputusan dibuat dua bulan selepas pemerintah batalkan perjanjian berikutan keprihatinan atas struktur perjanjian, keupayaan Income teruskan misi sosialnya
Dec 16, 2024 | 4:58 PM
Syarikat insurans Jerman, Allianz, dalam satu kenyataan pada 16 Disember, berkata ia akan menarik balik tawarannya untuk memperolehi pegangan 51 peratus saham dalam Income Insurance dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion.
Syarikat insurans Jerman, Allianz, dalam satu kenyataan pada 16 Disember, berkata ia akan menarik balik tawarannya untuk memperolehi pegangan 51 peratus saham dalam Income Insurance dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion. - Foto ST

Rancangan Allianz bergabung dengan Income Insurance tidak menjadi, lima bulan selepas syarikat insurans Jerman itu membuat tawaran untuk membeli pegangan majoriti dalam syarikat insurans tempatan tersebut.

Syarikat insurans Jerman itu, dalam satu kenyataan pada 16 Disember, menyatakan ia akan menarik balik tawaran yang dibuat pada 17 Julai untuk memperolehi pegangan 51 peratus saham dalam Income, dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion.

Keputusan itu dibuat dua bulan selepas pemerintah pada 14 Oktober membatalkan perjanjian tersebut dek keprihatinan atas struktur perjanjian dan keupayaan Income meneruskan misi sosialnya, lapor The Straits Times.

“Allianz terus yakin ia adalah rakan sesuai untuk menyokong pertumbuhan berterusan Income Insurance dan misi strategiknya demi manfaat rakyat Singapura, namun keputusan menarik balik tawarannya pada masa ini menekankan disiplin kewangan Allianz,” kata syarikat insurans Jerman itu.

Anggota lembaga Allianz SE yang bertanggungjawab bagi rantau Asia-Pasifik, Cik Renate Wagner, berkata:

“Kami menghormati keputusan pemerintah Singapura.”

Beliau menambah bahawa kumpulan itu tetap percaya gabungan Allianz dan Income akan menghasilkan dua perniagaan kukuh yang disatukan demi manfaat pemegang polisi Income dan sebahagian besar pelanggan Singapura yang semakin meningkat.

Pada Oktober, Allianz berkata ia akan mempertimbangkan semakan kepada struktur perjanjian yang disarankan.

Dalam beberapa minggu sebelum perjanjian itu dibatalkan, pemain industri berkata Allianz masih tetap mencari jalan untuk menghidupkan semula rancangan menggabungkan dua syarikat insurans itu.

Rancangan Allianz membeli pegangan majoriti dalam Income Insurance terjejas apabila satu maklumat penting terbongkar.

Antara rancangan tersebut, yang ketika itu tidak dikemukakan kepada Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), adalah bagi Income menjalankan perniagaan insuransnya dengan lebih cekap, tanpa perlu memegang modal sebanyak yang ia lakukan sekarang.

Ia juga menunjukkan bahawa Allianz mengunjurkan bahawa Income boleh memulangkan kira-kira $1.85 bilion tunai kepada para pemegang sahamnya dalam tempoh tiga tahun pertama selepas selesai transaksi.

Isu perjanjian itu dibahaskan di Parlimen, dengan pindaan kepada Akta Insurans diluluskan, yang antara lain, akan memperkukuh daya pemerintah melindungi kepentingan awam berkaitan penanggung insurans yang merupakan koperasi.

Langkah itu akan membolehkan pembatalan cadangan perjanjian antara Allianz dengan Income atas keprihatinan mengenai struktur perjanjian dan keupayaan Income meneruskan misi sosialnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg