Keyakinan terhadap pasaran karbon kini semakin pulih, kata Ketua Pegawai Kemampanan di Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Cik Gillian Tan, pada 5 Jun.
Perkembangan terkini seperti pengesahan akhir peraturan dagangan karbon sejagat yang dicapai dalam sidang perubahan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada akhir 2024, selain pelaksanaan skim pengurangan karbon bagi sektor seperti penerbangan, telah membantu membina semula keyakinan dalam pasaran karbon.
“Terdapat penumpuan semula terhadap peranan pasaran karbon dalam membiayai peralihan ekonomi yang mempunyai pelepasan karbon tinggi kepada ekonomi rendah karbon.
“Memang benar, pasaran karbon menghadapi pelbagai cabaran... namun secara bersama, kami berpendapat keyakinan mula pulih.
“Ia sedang berada di landasan yang betul,” kata Cik Tan ketika berucap dalam satu persidangan kemampanan anjuran Persekutuan Bursa Sedunia.
Persatuan tersebut kini dipengerusikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Bursa Singapura (SGX), Encik Loh Boon Chye.
Pasaran karbon menghadapi masalah ketelusan sejak beberapa tahun lalu, menyusuli pelbagai laporan mengenai skandal ‘greenwashing’ (dakwaan palsu oleh syarikat bahawa produk keluaran mereka mesra alam).
Ia menimbulkan keraguan sama ada kredit karbon yang dijual beli menggambarkan jumlah pelepasan karbon yang benar-benar telah berkurangan.
Harga dan jumlah kredit karbon yang dijual beli turut merosot akibat kontroversi tersebut, lapor The Business Times (BT).
Menurut Cik Tan, bursa saham boleh memainkan peranan penting dalam memperkukuh prasarana pasaran karbon kerana ia dapat menunjukkan harga yang jelas bagi urus niaga kredit karbon.
Bursa saham boleh membantu memupuk keyakinan pelabur, selain menyokong pembangunan instrumen kewangan yang dapat membantu peserta pasaran mengurus risiko dan pendedahan mereka dengan lebih baik, jika mereka ingin berdagang dalam kredit karbon, ujar beliau.
Namun, Cik Tan turut menegaskan bahawa kewujudan prasarana semata-mata tidak mencukupi.
Lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan permintaan dan bekalan kredit karbon bagi merangsang pertumbuhan pasaran karbon, walaupun keyakinan terhadap pasaran tersebut sedang pulih dengan perlahan.
Pemerintah Singapura sedang membangunkan satu panduan mengenai tuntutan dan penggunaan kredit karbon yang dipercayai dan boleh digunakan secara sukarela.
Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) turut memperkenalkan beberapa skim geran bagi menyokong syarikat dalam ekosistem pasaran karbon.
“Jadi, terdapat satu ekosistem yang sedang dibangunkan.
“Kami melihatnya dari segi permintaan dan bekalan, tetapi kami memerlukan prasarana yang kukuh dan tiada pihak yang dapat melaksanakannya dengan lebih baik (daripada bursa saham),” tambah Cik Tan.
Selain berupaya membangunkan prasarana bagi menyokong perdagangan karbon, bursa saham turut memainkan peranan penting dalam membantu syarikat memahami landskap pelaporan maklumat yang rumit, di samping memberikan akses kepada data kemampanan yang dipercayai melalui wadah digital, tambahnya.
Ia juga dapat membantu dalam mereka bentuk produk baru yang menyokong aliran modal kepada syarikat dan pelaburan yang memberi tumpuan kepada peralihan ke model perniagaan rendah karbon, katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg