Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syarikat pembayar cukai karbon boleh bawa had offset tidak digunakan ke 2025

May 30, 2025 | 8:06 PM
Singapura semakin maju dalam usahanya mendapatkan kredit karbon daripada rakan-rakan antarabangsanya.
Singapura semakin maju dalam usahanya mendapatkan kredit karbon daripada rakan-rakan antarabangsanya. - Foto ST

Syarikat di Singapura yang tertakluk kepada cukai karbon — sekitar 50 fasiliti utama dalam sektor pembuatan, tenaga, sisa dan air — kini dibenarkan membawa ke hadapan baki had imbangan karbon yang tidak digunakan pada 2024 ke 2025. 

Ini bermakna mereka boleh mengimbangi sehingga 10 peratus pelepasan mereka pada 2025 jika ia tidak digunakan pada 2024.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengumumkan langkah itu kerana bekalan kredit karbon antarabangsa bagi 2024 adalah terhad.

Setakat ini, Singapura telah memeterai perjanjian perdagangan karbon dengan tujuh negara, termasuk Paraguay, Bhutan dan Ghana sejak 2023, namun belum ada kredit karbon yang tersedia secara rasmi, lapor The Straits Times (ST).

Cukai karbon Singapura kini meliputi sekitar 70 peratus pelepasan gas rumah hijau negara, melibatkan fasiliti yang mengeluarkan lebih 25,000 tan gas setahun. 

Bermula 2024, kadar cukai adalah $25 bagi setiap tan, naik daripada $5 setiap tan antara 2019 dengan 2023.

Ia akan meningkat kepada $45 setiap tan pada 2026 hingga 2027, dan dijangka mencapai $50 hingga $80 setiap tan menjelang 2030.

Masih belum jelas sama ada had yang dibawa ke 2025 akan berdasarkan jumlah pelepasan 2024 atau 2025.

Langkah itu menyusul selepas pemerintah memperkenalkan “pelepasan cukai karbon” kepada pengeluar emisi terbesar negara pada 2024.

Pada 2024, Reuters melaporkan bahawa syarikat penapis minyak dan petrokimia ditawarkan rebat cukai karbon sehingga 76 peratus bagi 2024 dan 2025, bagi membantu mereka menangani kenaikan kos dan kekal berdaya saing. 

Pemerintah berkata langkah itu adalah sementara dan bertujuan membantu peralihan kepada cukai karbon yang lebih tinggi.

Bermula 2024, syarikat yang tertakluk kepada cukai karbon boleh mengimbangi sehingga 5 peratus pelepasan dikenakan cukai dengan membeli kredit karbon yang layak. 

Kredit itu lazimnya lebih murah daripada kadar cukai $25 setiap tan, sekali gus menawarkan penjimatan kos seperti “diskaun” cukai.

Singapura juga sedang berunding tentang  perjanjian perdagangan karbon dengan lebih 15 negara lain, termasuk Malaysia, Filipina dan Sri Lanka.

Kredit karbon yang dihasilkan daripada projek-projek di negara tersebut boleh dibeli oleh syarikat pembayar cukai karbon atau pemerintah Singapura sendiri untuk memenuhi sasaran iklim negara.

Satu kredit karbon mewakili satu tan karbon dioksida yang sama ada dikeluarkan dari atmosfera (contoh: pemulihan hutan) atau dihalang daripada dilepaskan (contoh: pemeliharaan hutan).

Terdapat dua jenis utama kredit karbon:

  1. Berasaskan alam semula jadi – seperti pemulihan hutan dan pertanian mampan.
  2. Berasaskan teknologi – seperti penggunaan dapur memasak bersih menggantikan kayu api yang menyebabkan pencemaran.

Daripada semua perjanjian negara, kemajuan paling ketara dibuat bersama Ghana. Pada September 2024, Singapura dan Ghana mula menerima permohonan projek kredit karbon untuk mendapat kelulusan rasmi. 

Projek berpotensi di Ghana termasuk bekalan air bersih dan dapur memasak bersih.

Selain itu, pada September 2024, pemerintah Singapura menyeru pembekal projek karbon supaya mencadangkan projek berasaskan alam semula jadi yang boleh menyediakan sekurang-kurangnya 500,000 kredit setiap satu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg