Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS perjelas peranan dalam tawaran Allianz untuk peroleh Income Insurance

Jun 24, 2025 | 3:29 PM
Income Insurance, Allianz, NTUC, MAS
Tawaran syarikat insurans Jerman, Allianz, untuk memperoleh pegangan majoriti dalam syarikat insurans tempatan, Income Insurance, mendapat bantahan awam. Ini berikutan kebimbangan bahawa perjanjian itu akan menjejas keupayaan Income dalam melaksanakan misi sosialnya bagi menyediakan premium insurans mampu milik kepada rakyat Singapura.  - Foto ZAOBAO

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada 23 Jun menjelaskan mengenai isu berkaitan pengawasan kawal selianya semasa syarikat insurans Jerman, Allianz, membuat tawaran untuk membeli pegangan majoriti dalam syarikat insurans tempatan, Income Insurance, pada 2024.

Dalam satu kenyataan pada 23 Jun, MAS menjelaskan mengenai peristiwa dan perkara utama dalam isu tersebut, sebagai respons kepada surat terbuka oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC Income, Encik Tan Suee Chieh, berhubung cadangan pembelian tersebut.

Perjanjian pembelian itu tidak dapat diteruskan, selepas Allianz menarik balik tawarannya pada 16 Disember.

Kenyataan MAS dikeluarkan menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) Income yang dijadual berlangsung pada 24 Jun, lapor The Straits Times (ST).

Pada Julai 2024, Allianz mengumumkan rancangan memperoleh pegangan majoriti sekurang-kurangnya 51 peratus dalam Income pada harga $40.58 sesaham, dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion.

Bagaimanapun, tawaran tersebut mendapat bantahan awam berikutan kebimbangan bahawa perjanjian itu akan menjejas keupayaan Income dalam melaksanakan misi sosialnya bagi menyediakan premium insurans mampu milik kepada rakyat Singapura.

Pada masa itu, pemegang saham majoriti, NTUC Enterprise, dan Income memberi jaminan bahawa premium insurans mampu milik akan terus disediakan.

Beberapa soalan kemudian dikemukakan di Parlimen mengenai kesan perjanjian tersebut terhadap pemegang polisi insurans dan misi sosial syarikat itu, dengan para pegawai pemerintah menyatakan bahawa Allianz dan Income akan bertanggungjawab atas komitmen yang diberikan.

Kemudian, rancangan pengurangan modal yang dicadangkan dalam perjanjian Income-Allianz, mendapat perhatian umum.

Di bawah rancangan tersebut, Income akan mengembalikan $1.85 bilion kepada pemegang saham dalam masa tiga tahun.

Isu tersebut menimbulkan kebimbangan pemerintah, dan undang-undang kemudian dipinda bagi menyekat perjanjian pembelian itu.

Tiga surat terbuka daripada Encik Tan – dua daripadanya disiarkan pada Ogos 2024 dan satu lagi pada 28 April 2025 – mengandungi beberapa persoalan mengenai pengawasan kawal selia MAS terhadap urus niaga tersebut.

Surat tersebut ditulis kepada MAS dan pengerusi MAS, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong.

Encik Tan turut menulis kepada MAS pada 9 Jun 2025, meminta penjelasan dan memohon satu pertemuan dengan Encik Gan atau wakil kanan MAS.

Encik Tan merupakan CEO NTUC Income dari 2007 hingga 2013, sebelum menjadi CEO NTUC Enterprise dari 2013 hingga 2017.

MAS menyatakan pada 23 Jun bahawa Allianz dan NTUC Enterprise telah mendapat kelulusannya sebelum Allianz membuat tawaran umum prasyarat pada 17 Julai 2024 untuk membeli 51 peratus saham Income Insurance.

Kelulusan tersebut diberikan bagi membolehkan kededua pihak “memeterai perjanjian atau membuat pengaturan untuk bekerjasama dalam memperoleh kepentingan 5 peratus atau lebih saham dengan hak mengundi dalam Income,” seperti yang ditetapkan dalam Akta Insurans.

Namun, ia tidak bermakna MAS telah meluluskan perjanjian tersebut, katanya.

“Urus niaga tersebut tertakluk kepada kelulusan kawal selia selanjutnya daripada MAS untuk Allianz mendapatkan kawalan berkesan dan menjadi pemegang saham utama Income,” jelas MAS.

Pada masa ini, proses kelulusan kawal selia tersebut masih belum selesai dan ia memerlukan beberapa bulan lagi untuk MAS menyelesaikan penilaian, tambahnya.

Timbalan Pengerusi MAS, Encik Chee Hong Tat, memberitahu Parlimen pada 6 Ogos 2024 bahawa “cadangan perjanjian itu masih tertakluk kepada kelulusan kawal selia MAS”.

MAS menegaskan pada 23 Jun bahawa ia telah menerima pelan perniagaan awal Allianz untuk Income pada pertengahan Julai 2024.

Pelan tersebut merangkumi ramalan perniagaan dan kewangan, termasuk satu rancangan bagi kecekapan dan pengurangan modal.

“Tiada permohonan dikemukakan kepada MAS untuk meluluskan pelan pengurangan modal tersebut dan MAS juga tidak memberikan kelulusan sedemikian.

“Sebarang pengurangan modal memerlukan kelulusan MAS yang berasingan dan khusus,” kata pengawal selia itu.

Rancangan pengurangan modal tersebut menjadi halangan utama dalam perjanjian tersebut.

Pada 2023, Income telah membawa lebihan sekitar $2 bilion selepas ia dikorporatkan.

Ini memerlukan pengecualian daripada Seksyen 88 Akta Koperasi, yang telah diluluskan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) ketika itu.

Namun cadangan pengurangan modal Allianz bertentangan dengan premis di mana pengecualian tersebut diberikan, kata Menteri MCCY yang juga Menteri Kedua Undang-Undang ketika itu, Encik Edwin Tong.

Jika tidak kerana pengecualian itu, jumlah $2 bilion tersebut akan disalurkan ke Akaun Pembubaran Koperasi untuk memberi manfaat kepada pergerakan di Singapura secara keseluruhan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg