Pengerusi Income Insurance, Encik Ronald Ong, 69 tahun, akan bersara daripada jawatannya, selepas menerajui syarikat itu selama tujuh tahun, menurut syarikat itu pada 9 Jun.
Lembaga pengarah syarikat penyedia insurans tersebut telah memulakan proses untuk melantik pengerusi barunya.
Butiran lanjut akan dikongsi semasa mesyuarat agung tahunan (AGM) akan datang pada 24 Jun, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Pengerusi syarikat induk Income, NTUC Enterprise, Encik Lim Boon Heng, mengucapkan terima kasih kepada Encik Ong atas kepimpinannya sepanjang tujuh tahun lalu di Income.
“Ronald kekal sebagai anggota lembaga NTUC Enterprise dan akan mengemudi portfolio pelaburan swasta dalam NTUC Enterprise pada masa hadapan.
“Ini dengan memanfaatkan kepakaran mendalam, rangkaian luas, dan komitmen kukuh beliau untuk mencipta nilai bagi para pelanggan dan pemegang saham,” tambah Encik Lim.
Encik Ong berkhidmat dalam lembaga Income Insurance sejak 2018 dan dilantik sebagai pengerusinya pada 2019.
Beliau memimpin syarikat itu melalui proses pengkorporatan daripada sebuah koperatif – NTUC Income Insurance Co-operative – kepada syarikat Income Insurance pada 2022.
Beliau turut memimpin Income Insurance mengharungi pandemik Covid-19, di samping membantu mempertingkat keupayaan digital syarikat tersebut, lapor The Business Times (BT).
Sebelum ini, Income Insurance menyatakan bahawa Encik Ong, telah mengecualikan diri apabila bank pelaburan, Morgan Stanley, dilantik sebagai penasihat kewangan bagi cadangan penjualan Income kepada syarikat insurans Jerman, Allianz.
Pada masa pelantikannya sebagai pengerusi Income, Encik Ong telah berkhidmat dengan Morgan Stanley selama 20 tahun.
Pada Februari 2023, beliau dilantik sebagai pengerusi perniagaan bank tersebut di Asia Tenggara.
Bagaimanapun, perjanjian penjualan saham Income Insurance bernilai $2.2 bilion yang diumumkan pada 2024, dibatalkan apabila pemerintah meminda Akta Insurans untuk menghalang penjualan tersebut pada Oktober 2024.
Pemerintah memutuskan untuk tidak meneruskan perjanjian itu “dalam bentuknya sekarang kerana tidak memenuhi kepentingan awam”.
Namun, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-undang ketika itu, Encik Edwin Tong, menambah bahawa pemerintah tetap terbuka kepada perjanjian baru antara Income dengan Allianz atau rakan kongsi lain, sekiranya keprihatinan pemerintah dapat ditangani sepenuhnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg