OCBC Bank menambah jumlah pinjaman kepada $5 bilion daripada $1.5 bilion bagi usahawan yang memiliki beberapa perniagaan kecil di peringkat awal, dan memperluaskan khidmat pembiayaan ini luar dari Singapura, ke Malaysia, Indonesia, dan Hong Kong.
Skim pinjaman untuk usahawan berbilang perniagaan ini unik kerana ia menilai kelayakan pinjaman berdasarkan individu itu sendiri serta kekuatan kolektif syarikat, bukan berdasarkan setiap perniagaan yang dijalankan.
Bank ini juga menyediakan pengurus khusus dan perkhidmatan nasihat kepada para pemilik perniagaan.
OCBC menyasarkan pemberian pinjaman sebanyak $5 bilion kepada segmen ini menjelang 2028, lapor The Straits Times (ST).
Jumlah itu termasuk $1.5 bilion yang telah disalurkan kepada lebih 1,800 pengasas perniagaan di Singapura dan Malaysia sejak bank ini memulakan skim tersebut pada 2019.
Dalam taklimat media pada 7 Julai, eksekutif OCBC berkata walaupun persekitaran perdagangan tidak menentu, mereka menjangkakan pemilik perniagaan akan terus mencapai kemajuan.
OCBC mula menawarkan skim ini kepada usahawan Malaysia pada awal Julai selepas tempoh perintis selama sembilan bulan, dan merancang untuk memperluaskannya ke Hong Kong pada lewat 2025, diikuti Indonesia.
Ketua Pasaran Sederhana dan Perkhidmatan, Perbankan Komersial Global OCBC, Cik Anna Chang, berkata berdasarkan portfolio bank, syarikat yang dikendalikan usahawan berbilang perniagaan adalah 30 peratus kurang berisiko gagal membayar pinjaman mereka berbanding usahawan dengan perniagaan tunggal.
Beliau menambah, hanya syarikat di mana “individu utama” memegang saham majoriti yang akan dinilai untuk tujuan pembiayaan.
Jaminan pinjaman hanya ditanggung oleh entiti yang mengambil pinjaman, dan tempoh pinjaman adalah antara empat dan 18 tahun, mengikut status cagaran.
OCBC turut menawarkan penyelesaian khusus mengikut sektor bagi bidang seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, serta makanan dan minuman (F&B), yang biasanya menarik minat usahawan berbilang perniagaan.
Pengasas sembilan perniagaan acara di bawah Unearthed Group, Encik Adam Piperdy, berkata beliau sering kali perlu mengulang maklumat yang sama kepada pelbagai pengurus hubungan semata-mata untuk mendapatkan pinjaman, serta meluangkan banyak masa untuk mendapat kelulusan transaksi bagi setiap syarikat di bawah kendaliannya.
Dengan sokongan OCBC, kumpulan beliau – yang menganjurkan Festival Krismas Orchard Road – telah mencatatkan pertumbuhan keuntungan lebih 30 peratus setiap tahun dalam dua tahun terakhir, dan melihat peningkatan sembilan kali ganda dalam jumlah acara yang diuruskan dari 2020 hingga 2024.
Pengarah Westpoint Transit, Encik Lionel Lee, berkata beliau berdepan cabaran memperluas bilangan bas keluarganya yang melibatkan lima syarikat dalam sektor logistik dan pengangkutan, serta sering dipersoal tentang kemampuan kewangan memandangkan syarikatnya sudah lama tidak mengambil pinjaman.
Selepas bertemu pasukan OCBC yang menunjukkan minat sebenar terhadap perancangannya, mereka berjaya memperoleh sokongan kewangan yang diperlukan untuk membeli 30 bas pada 2024 dan mengembangkan bilangan pemandu.
Ketua Perbankan Komersial Global OCBC, Encik Linus Goh, berkata pemahaman yang lebih menyeluruh tentang pendedahan risiko dan portfolio perniagaan pelanggan membolehkan bank menawarkan sokongan lebih baik serta memperkukuh kepercayaan antara mereka.
Beliau berkata: “Apabila hubungan perniagaan dapat dilihat secara menyeluruh, individu utama dalam syarikat biasanya akan lebih bersikap terbuka.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg