Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MAS raih untung bersih $3.8b

Keuntungan diraih berikutan nilai lemah dolar S’pura, pemulihan pasaran sejagat
Jul 18, 2024 | 7:00 PM
Menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS), keuntungan yang diperolehi dibantu oleh laba pelaburan sebanyak $12.7 bilion dan kesan terjemahan mata wang positif sebanyak $1.7 bilion, 
Menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS), keuntungan yang diperolehi dibantu oleh laba pelaburan sebanyak $12.7 bilion dan kesan terjemahan mata wang positif sebanyak $1.7 bilion,  - Foto ST

Pasaran bon dan saham yang melantun semula di seluruh dunia serta nilai dolar Singapura yang lebih lemah telah membantu bank pusat republik ini mencatat keuntungan bersih $3.8 bilion.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dalam laporan tahunannya bagi tahun kewangan 2023-2024 berakhir 31 Mac 2024, berkata keuntungan itu dibantu hasil keuntungan pelaburan $12.7 bilion dan kesan terjemahan mata wang positif $1.7 bilion, menghasilkan untung keseluruhan $14.4 bilion.

Pada tahun kewangan 2022-2023, MAS merekodkan kerugian bersih $30.8 bilion, kerugian terbesar pernah direkodkan.

Ini kerana kesan negatif daripada terjemahan mata wang dan perbelanjaan faedah yang tinggi.

Keuntungan dan kerugian bank pusat itu muncul daripada pengendalian operasi kewangannya untuk menguruskan dolar Singapura berbanding dagangan dengan sekumpulan mata wang asing – juga dikenali sebagai kadar pertukaran efektif nominal dolar Singapura (S$Neer) – bertujuan mencapai kestabilan harga dalam jangka masa sederhana.

Sebagai sebahagian operasi kewangannya, MAS mungkin membeli atau menjual mata wang dalam pasaran tukaran asing. Ia juga menguruskan mudah tunai dolar Singapura dalam sistem perbankan melalui operasi pasaran wang.

Operasi kewangan itu mungkin mengakibatkan pengumpulan atau penyusutan rizab asing rasmi (OFR), yang berjumlah $497.6 bilion pada akhir tahun kewangan 2023-2024.

Jika pengumpulan OFR melangkaui saiz optimum kira-kira 65 peratus hingga 75 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), MAS mungkin melanggan Sekuriti Pengurusan Rizab Pemerintah (RMGS) untuk pengurusan jangka panjang oleh dana kekayaan negara, GIC.

Ini membolehkan aset asing tersebut dilaburkan dalam aset jangka panjang yang hasilnya lebih tinggi.

Memandangkan keputusan kewangan MAS dilaporkan dalam dolar Singapura, pergerakan mata wang dolar Singapura berbanding mata wang asing OFR akan mengakibatkan kesan-kesan terjemahan dalam penyata kewangan MAS.

MAS berkata kesan terjemahan mata wang adalah akibat dasar kewangan berasaskan kadar pertukaran dan tiada kesan ke atas kuasa membeli antarabangsa OFR, atau ke atas keupayaan MAS menjalankan dasar kewangan dan menyokong kestabilan kewangan.

Kesan terjemahan mata wang adalah positif pada tahun kewangan 2023-2024 apabila dolar Singapura susut berbanding mata wang utama lain seperti dolar AS, Euro dan paun British, lapor akhbar The Straits Times.

Laporan tahunan yang dikeluarkan pada 18 Julai menunjukkan MAS memindahkan $22.5 bilion kepada pemerintah untuk pengurusan oleh GIC, dengan pegangan RMGS tertunggak meningkat daripada $237.6 bilion kepada $260.1 bilion.

MAS menerima pendapatan faedah $9.7 bilion daripada pegangan RMGS.

Walau bagaimanapun, selepas mengimbangi pendapatan faedah daripada RMGS, ia menanggung kos bersih $9.2 bilion dalam pengendalian operasi pasaran wangnya.

MAS berkata keuntungan pelaburan pada tahun kewangan 2023-2024 – yang membentuk sebahagian besar keuntungan bagi tahun kewangan itu – terhasil apabila pasaran sejagat pulih, terutama pada separuh kedua tahun kewangan, dalam keadaan pertumbuhan global yang berdaya tahan dan inflasi yang semakin sederhana.

MAS percaya pertumbuhan sejagat akan kekal stabil pada 2024, walaupun kesan mengetatkan dasar kewangan yang lalu dan dasar fiskal yang kurang menyokong terus memberi kesan pengekangan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg