Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memperuntukkan $30 juta bagi membantu syarikat insurans membina kepakaran melabur dalam projek utama seperti grid elektrik dan pusat data.

Bank pusat itu turut mencadangkan pengurangan modal yang perlu disediakan bagi pelaburan tertentu berdasarkan tahap risikonya.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, mengumumkan langkah itu pada 2 November di Persidangan Insurans Semula Antarabangsa Singapura ke-22 di Pusat Ekspo dan Konvensyen Sands.

Persidangan anjuran Persatuan Insurans Semula Singapura (SRA) itu menarik lebih 4,300 perwakilan dari 85 negara dan wilayah.

Syarikat insurans semula menyediakan perlindungan insurans kepada syarikat insurans.

Encik Chee, juga Timbalan Pengerusi MAS, berkata syarikat insurans boleh membantu membiayai pertumbuhan Asia selain melindungi perniagaan dan masyarakat daripada risiko.

Peruntukan daripada Dana Pembangunan Sektor Kewangan itu membantu menampung kos pembentukan pasukan pelaburan, latihan kakitangan dan perkhidmatan karyawan untuk mengembangkan kegiatan pelaburan di Singapura.

Menurut Encik Chee, Asean memerlukan lebih AS$200 bilion ($256 bilion) setahun bagi projek jalan raya, pelabuhan, tenaga boleh diperbaharui dan rangkaian telekomunikasi.

Namun, kajian terdahulu menganggarkan pelaburan sedemikian hanya sekitar 1 hingga 2 peratus daripada aset syarikat insurans, walaupun bahagiannya meningkat.

“Aset prasarana bermutu tinggi boleh menjana aliran tunai jangka panjang yang mantap, sejajar dengan tanggungan jangka panjang syarikat insurans, khususnya insurans hayat,” kata Encik Chee.

Hasil pendapatan projek itu boleh membantu syarikat insurans membayar pemegang polisi pada masa depan.

MAS mencadangkan keperluan modal lebih rendah bagi pelaburan hutang projek yang layak dan mempunyai penarafan kredit, tertakluk pada syarat tertentu.

Pelaburan dengan ciri pengurangan risiko, seperti pendapatan kontrak mantap, mungkin mendapat pengurangan tambahan.

MAS juga mencadangkan pengurangan modal bagi pelaburan tertentu yang mempunyai penarafan dan disokong kumpulan aset, tertakluk pada keutamaan pembayaran balik, kemudahan perdagangan dan perlindungan struktur.

Rundingan awam berlangsung dari 2 November hingga 18 Disember.

Encik Chee berkata pemain industri sedang membangunkan kemudahan insurans bagi pusat data yang berpangkalan di Singapura, dengan perlindungan awal bernilai AS$200 juta.

Kemudahan ini membolehkan beberapa syarikat insurans menggabungkan kemampuan mereka menanggung risiko tertentu melalui perjanjian yang dimeterai lebih awal.

Pesertanya termasuk MSIG, Gallagher Re, SCOR, Samsung Re dan Persatuan Keselamatan Siber Singapura.

Perlindungan dijangka merangkumi risiko pembinaan, operasi, rantaian bekalan, reka bentuk dan siber.

Secara berasingan, SRA melancarkan buku panduan untuk membantu syarikat insurans semula menilai risiko kecerdasan buatan (AI).

Panduan itu membincangkan ketepatan data dan keputusan AI, kebergantungan pada penyedia luar serta kesannya terhadap keputusan perlindungan dan tuntutan insurans.

Pengerusi SRA, Encik Glen Riddell, berkata:

“AI membuka peluang baharu dalam industri insurans, namun turut menimbulkan risiko baharu yang perlu diteliti oleh syarikat insurans dan insurans semula.”

Beliau berkata syarikat insurans semula perlu memahami kesan AI terhadap risiko yang dilindungi dan hasil tuntutan.

“Buku ini menyediakan panduan berguna berasaskan prinsip bagi membantu syarikat insurans semula menilai risiko tersebut dan mengambil kiranya dalam membuat keputusan berkaitan insurans semula.

“Persidangan berlangsung hingga 5 November, membincangkan perubahan politik sejagat dan ekonomi, perlindungan bencana serta kemahiran diperlukan ketika teknologi mengubah industri insurans,” tambahnya.

“

“Aset prasarana bermutu tinggi boleh menjana aliran tunai jangka panjang yang mantap, sejajar dengan tanggungan jangka panjang syarikat insurans, khususnya insurans hayat.”
Menteri Pembangunan Negara, yang juga Timbalan Pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Encik Chee Hong Tat.