Pernah dua kali terbabit dalam kemalangan motosikal ketika bekerja di Singapura, Cik Nur Syahidah Senin, 29 tahun, berharap skim insurans yang dicadangkan kerajaan Malaysia untuk warga yang bertugas di Singapura dapat dilaksanakan segera bagi melindungi kebajikan kira-kira 480,000 rakyat negara itu yang berulang-alik merentasi sempadan setiap hari.

Cik Nur Syahidah Senin berharap perlindungan terhadap kemalangan bukan sekadar soal pampasan, malah, jaminan mereka tidak dibiarkan menanggung beban kewangan dan sukar mendapatkan rawatan apabila ditimpa musibah.
Cik Nur Syahidah Senin berharap perlindungan terhadap kemalangan bukan sekadar soal pampasan, malah, jaminan mereka tidak dibiarkan menanggung beban kewangan dan sukar mendapatkan rawatan apabila ditimpa musibah. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Bagi pekerja yang bergantung kepada motosikal untuk mencari rezeki di republik itu, perlindungan terhadap kemalangan bukan sekadar soal pampasan, malah, jaminan bahawa mereka tidak dibiarkan menanggung beban kewangan dan kesukaran mendapatkan rawatan apabila ditimpa musibah.

Cik Nur Syahidah, yang berasal dari Larkin, Johor dan sudah hampir empat tahun bekerja di Singapura, berkata kemalangan pertamanya berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Saya pernah kemalangan dua kali. Yang pertama paling teruk kerana saya terpaksa menggunakan kad perubatan dengan kos rawatan lebih RM30,000 ($940).

“Masa itu, saya hanya tinggal lima minit lagi hendak sampai ke tempat kerja.

“Selepas kemalangan, saya pulang sendiri dalam keadaan kaki terhincut-hincut melalui pusat pemeriksaan kerana tidak tahu siapa yang boleh dihubungi untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Pembantu dapur di sebuah sekolah di Sembawang itu berkata pengalaman berkenaan menyedarkannya tentang kepentingan perlindungan khusus bagi pekerja rentas sempadan.

“Percepatkanlah Skim Pengembara ini. Kita sudah lama mendengar tentangnya tetapi sampai sekarang masih belum boleh mencarum.

“Dalam tempoh menunggu, macam-macam perkara boleh berlaku. Kita perlukan perlindungan apabila sesuatu yang tidak diingini terjadi,” katanya.

Skim sukarela untuk 480,000 pekerja

Kerajaan Malaysia sebelum ini mengumumkan cadangan Skim Pengembara bagi memperluas perlindungan sosial kepada kira-kira 480,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari.

Kementerian Sumber Manusia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut mengadakan sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan dan pekerja Malaysia di Singapura bagi membincangkan pelaksanaan skim berkenaan.
Kementerian Sumber Manusia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut mengadakan sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan dan pekerja Malaysia di Singapura bagi membincangkan pelaksanaan skim berkenaan. - Foto FACEBOOK FAZLI SALLEH

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, pada 17 Oktober berkata skim berkenaan akan dibawa ke Parlimen bagi membolehkan pelaksanaannya direalisasikan.

Menurut beliau, penyertaan skim itu adalah secara sukarela dan tidak diwajibkan terhadap semua pekerja yang layak.

“Skim Pengembara ini dikhususkan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan berulang-alik setiap hari.

“Mereka yang memenuhi syarat layak menyertai skim ini, namun caruman tidak diwajibkan dan terpulang kepada pilihan masing-masing,” katanya.

Kementerian Sumber Manusia bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) turut mengadakan sesi dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan dan pekerja Malaysia di Singapura bagi membincangkan pelaksanaan skim berkenaan.

Bagaimanapun, kadar caruman, syarat kelayakan, manfaat perlindungan dan prosedur tuntutan masih memerlukan penjelasan lanjut.

Seorang pekerja penyediaan makanan penerbangan di Changi, Encik Nazrul Farizan, 31 tahun, berkata beliau berharap skim itu menawarkan perlindungan yang setanding dengan manfaat Perkeso kepada pekerja di Malaysia.

Encik Nazrul Farizan berkata ketidakpastian mengenai tempoh pekerjaan di Singapura turut membuatkannya memikirkan kebajikan keluarga.
Encik Nazrul Farizan berkata ketidakpastian mengenai tempoh pekerjaan di Singapura turut membuatkannya memikirkan kebajikan keluarga. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau yang sudah sekitar sembilan tahun mencari rezeki di Singapura berkata pekerja perlu mengetahui jumlah caruman dan pampasan yang bakal diterima sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim tersebut.

“Kalau boleh, perlindungannya sama seperti yang diterima pekerja di Malaysia. Kalau ada kemalangan ketika pergi atau balik kerja, sekurang-kurangnya ada bantuan.

“Kita hendak tahu juga berapa perlu bayar dan berapa pampasan yang akan diterima,” katanya.

Encik Nazrul, yang mempunyai perlindungan insurans persendirian, berkata ketidakpastian mengenai tempoh pekerjaan di Singapura turut membuatkannya memikirkan kebajikan keluarga.

“Kita tidak tahu sampai bila boleh bekerja di Singapura kerana permit pekerjaan perlu diperbaharui.

“Kalau sesuatu berlaku kepada kita, sekurang-kurangnya ada perlindungan yang boleh membantu keluarga di rumah,” katanya.

Jangan tunggu nahas baru bertindak

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Pengguna Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Pendidikan Keselamatan Jalan Raya, Encik Jamil Manan Supri, berkata Skim Pengembara perlu melangkaui pemberian pampasan selepas kemalangan.

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Pengguna Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Pendidikan Keselamatan Jalan Raya, Encik Jamil Manan Supri.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Pengguna Jalan Raya serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Pendidikan Keselamatan Jalan Raya, Encik Jamil Manan Supri. - Foto ihsan JAMIL MANAN SUPRI

Menurut beliau, perjalanan awal pagi, kesesakan sempadan, keletihan selepas bekerja, cuaca buruk dan penggunaan motosikal meningkatkan pendedahan pekerja kepada risiko kemalangan.

“Pekerja yang mencari rezeki perlu dilindungi bukan sahaja ketika menjalankan tugas, tetapi juga daripada risiko yang dihadapi dalam perjalanan untuk mencari rezeki.

“Pampasan dapat membantu mangsa dan keluarga, tetapi ia tidak dapat mengembalikan nyawa yang terkorban atau menghapuskan penderitaan akibat kecederaan kekal,” katanya dalam kenyataan pada 20 Oktober.

Beliau mencadangkan skim berkenaan disertai pendidikan keselamatan jalan raya, latihan penunggangan selamat dan kesedaran mengenai bahaya keletihan.

Pada masa sama, beliau mahu kerajaan mempertimbangkan perkongsian caruman antara majikan dengan pekerja bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.

“Jangan sekadar memberikan perlindungan selepas kemalangan. Usahakan pencegahan sebelum kemalangan berlaku,” katanya.

Mangsa mahu bantuan berterusan

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bantuan Kemalangan Malaysia-Singapura, Cik Janey Wong, pula berkata pertubuhannya menyediakan bantuan kepada pekerja Malaysia di republik itu, termasuk nasihat undang-undang, urusan kemasukan ke hospital, penghantaran pulang dan pengurusan jenazah.

Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Bantuan Kemalangan Malaysia-Singapura, Cik Janey Wong, berkata pihaknya membantu pemegang permit kerja Malaysia di Singapura, khususnya mereka yang berulang-alik dan berdepan risiko tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Bantuan Kemalangan Malaysia-Singapura, Cik Janey Wong, berkata pihaknya membantu pemegang permit kerja Malaysia di Singapura, khususnya mereka yang berulang-alik dan berdepan risiko tinggi. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Menurutnya, bantuan berkenaan disediakan secara percuma, termasuk melalui saluran yang boleh dihubungi sepanjang masa.

“Kami membantu pemegang permit kerja Malaysia di Singapura, khususnya mereka yang berulang-alik dan berdepan risiko tinggi.

“Perlindungan dan pampasan yang diterima di Singapura mungkin dapat membantu selepas sesuatu kemalangan, tetapi bagaimana pula dengan keperluan jangka panjang mereka apabila kembali ke Malaysia?” katanya.

Bagi Encik Saiful Nizam Abdul Rahman, 42 tahun, yang cedera dalam kemalangan motosikal dengan kereta di Kallang pada Ogos lalu, bantuan pemulihan selepas kemalangan amat diperlukan.

Encik Saiful Nizam Abdul Rahman berkata beliau menjalani pembedahan pada September dan memerlukan tempoh pemulihan sebelum dapat kembali bekerja.
Encik Saiful Nizam Abdul Rahman berkata beliau menjalani pembedahan pada September dan memerlukan tempoh pemulihan sebelum dapat kembali bekerja. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau menjalani pembedahan pada September dan memerlukan tempoh pemulihan sebelum dapat kembali bekerja.

“Saya cuba mendapatkan pemulihan di Malaysia kerana susah hendak berulang-alik ke Singapura dalam keadaan bertongkat.

“Pegawai Perkeso sendiri datang ke rumah untuk membantu urusan dokumen. Jadi saya tidak perlu pergi ke pejabat. Itu sangat membantu,” katanya.

Seorang lagi bekas pekerja sektor makanan dan minuman di Yishun, Encik Muhammad Hairul Nizam Soyod, 37 tahun, yang pernah terbabit dalam nahas dengan sebuah treler pada November 2024, turut menyokong pelaksanaan skim tersebut.

Encik Muhammad Hairul Nizam Soyod berkata beliau terlibat kemalangan sehari selepas dinaikkan pangkat sebagai pengurus di sebuah kedai makan di Yishun.
Encik Muhammad Hairul Nizam Soyod berkata beliau terlibat kemalangan sehari selepas dinaikkan pangkat sebagai pengurus di sebuah kedai makan di Yishun. - Foto BH oleh REMAR NORDIN

Beliau berkata kemalangan itu berlaku sehari selepas beliau menerima kenaikan pangkat.

“Bagi saya skim ini memang sangat bagus dan berguna kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Kalau sesuatu berlaku di sana, sekurang-kurangnya kita tahu siapa yang boleh membantu dan bagaimana hendak mendapatkan perlindungan apabila kembali ke Malaysia,” katanya.

Bagi pekerja yang ditemui, keutamaan mereka kini bukan hanya melihat Skim Pengembara mendapat kelulusan, tetapi memastikan perlindungan yang diperkenalkan kelak mudah dicapai, mampu dicarum dan benar-benar membantu mangsa kemalangan serta keluarga mereka.