Maybank hargai sumbangan 800 pekerja junior dengan bayaran khas
Maybank hargai sumbangan 800 pekerja junior dengan bayaran khas
Apabila Maybank Singapore mengumumkan pemberian bayaran khas sekali sahaja kepada lebih 800 kakitangan junior, Cik Fauziah Jusoh, antara yang berpeluang menikmati makna di sebalik penghargaan tersebut.
Pegawai Khidmat Pelanggan Kanan berusia 58 tahun itu, yang telah berkhidmat selama lebih 37 tahun bersama bank tersebut, berkata beliau “amat menghargai dan bersyukur” atas inisiatif itu, yang menurutnya mencerminkan budaya kerja yang mementingkan kebajikan pekerja.
“Sokongan seperti ini mengingatkan saya mengapa saya terus setia di sini selama lebih tiga dekad. Maybank sentiasa mengutamakan pekerja sebagai sebuah keluarga,” katanya.
Pengumuman yang dibuat pada 4 Mac itu mendedahkan sekitar 200 eksekutif kesatuan akan menerima bayaran $1,250 seorang.
Selain itu, lebih 600 kakitangan junior lain pula akan menerima bayaran tambahan bersamaan suku bulan gaji mereka.
Menurut pihak bank, bayaran khas diberikan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan pekerja, di samping membantu mereka menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Difahamkan, Maybank Singapore menggajikan lebih 2,000 kakitangan di Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif, Maybank Singapore, Encik Alvin Lee, berkata para pekerja telah menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bagi meskipun berdepan persekitaran operasi yang mencabar.
“Bayaran ex gratia (pemberian yang bukan diwajibkan di sisi undang-undang) ini mencerminkan penghargaan kami serta komitmen untuk terus menyokong rakan sekerja yang lebih terkesan dengan perbelanjaan harian,” katanya.
Beberapa bank lain di Singapura, termasuk DBS Bank dan UOB, turut mengumumkan bayaran serupa.
DBS, pada 9 Februari, menyatakan ia akan memberi bonus sekali sahaja sebanyak $1,000 kepada lebih 23,000 kakitangan junior di seluruh dunia, manakala UOB pada 24 Februari mengumumkan bayaran setengah bulan gaji asas kepada lebih 6,000 kakitangan junior.
“
“Bayaran ex gratia (pemberian yang bukan diwajibkan di sisi undang-undang) ini mencerminkan penghargaan kami serta komitmen untuk terus menyokong rakan sekerja yang lebih terkesan dengan perbelanjaan harian.”
