Sumbangan Maybank, BH bantu keluarga dalam persiapan Raya
Sumbangan Maybank, BH bantu keluarga dalam persiapan Raya
Dengan sumbangan $10,000, jumlah terbesar dalam tempoh tiga tahun, Maybank telah bekerjasama dengan Berita Harian (BH) untuk membantu keluarga memerlukan membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya ini.
Melalui sumbangan tersebut, lebih 40 penduduk flat sewa di kawasan Bukit Merah dan Tiong Bahru berpeluang membeli baju kurung di Butik A’NIZ di Golden Landmark pada 12 Mac menggunakan baucar sebanyak $60 setiap seorang.
Ia di samping baucar $100 yang boleh dibelanjakan bagi barangan keperluan Hari Raya dari pasar raya Sheng Siong.
Bantuan itu diharapkan dapat meringankan beban perbelanjaan mereka menjelang musim perayaan, kata Ketua Jabatan Perbankan Islam Maybank, Encik Sazzali Sabandi.
Menurut beliau, kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bank itu untuk menyokong golongan memerlukan dalam masyarakat.
Beliau berkata demikian sebelum acara berbuka puasa anjuran BH bersama inisiatif kemasyarakatan Project Hills pada 12 Mac di Red Velvet Ballroom, kendalian The Landmark Restaurant, di Village Hotel Bugis.
Acara itu merupakan tradisi tahunan BH sejak 2024 bagi menyokong golongan kurang berkemampuan sebagai sebahagian usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam mendekati dan membantu masyarakat yang memerlukan.
Selain penduduk tersebut, turut hadir di acara berbuka puasa itu ialah tetamu kehormat, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang; serta Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; dan Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Hospitality Group, Encik Ali Abbas.
Berucap semasa majlis itu, Encik Nazry berkata:
“Di Berita Harian, kami percaya kekuatan masyarakat bukan hanya terletak pada cerita yang kami laporkan, tetapi pada hubungan yang kita bina bersama.”
Ketika ditanya mengenai perancangan Maybank bagi tempoh lima tahun akan datang dalam membantu golongan memerlukan, Encik Sazzali berharap lebih banyak pihak akan tampil berganding bahu dalam memastikan setiap keluarga berpeluang menyambut Hari Raya dengan penuh bermakna dan bermaruah.
“Kami berharap dapat terus menjadi penghubung amalan baik yang menggalakkan individu dan syarikat untuk bersama-sama melakukan kebaikan serta membantu organisasi masyarakat memperluaskan lagi impak program mereka,” katanya.
Tambah beliau, peluang bekerjasama dengan BH yang secara konsisten mendekati pelbagai segmen masyarakat melalui program kemasyarakatan adalah sesuatu yang amat dihargai.
“Kami amat menghargai peluang bekerjasama ini kerana setiap tahun BH berusaha mendekati pelbagai segmen masyarakat serta melibatkan penerima manfaat secara langsung dalam program seperti ini,” katanya.

