BH komited bangun masyarakat inklusif, bakti bukan hanya melalui laporan harian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

BH komited bangun masyarakat inklusif, bakti bukan hanya melalui laporan harian

Majlis iftar BH turut disertai 40 penerima bantuan Project Hills
Mar 12, 2026 | 7:19 PM

BH komited bangun masyarakat inklusif, bakti bukan hanya melalui laporan harian

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar (tengah) menemani penerima bantuan Project Hills membeli baju Melayu di butik  A’NIZ di Golden Landmark. Turut bersama ialah Ketua Jabatan Perbankan Islam Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi (dua dari kiri).
Editor Berita Harian (BH), Encik Nazry Mokhtar (tengah) menemani penerima bantuan Project Hills membeli baju Melayu di butik  A’NIZ di Golden Landmark. Turut bersama ialah Ketua Jabatan Perbankan Islam Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi (dua dari kiri). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Lebih daripada sekadar melaporkan berita, Berita Harian (BH) sebagai sebuah organisasi berita yang berakar dalam masyarakat perlu memainkan peranan dalam berbakti kepada masyarakat yang kisah mereka diceritakan setiap hari, kata Editor BH, Encik Nazry Mokhtar.

Berucap semasa majlis iftar tahunan anjuran BH di Red Velvet Ballroom kendalian The Landmark Restaurant, di Village Hotel Bugis, pada 12 Mac, Encik Nazry berkata acara tersebut merupakan bukti komitmen organisasi berita itu dalam membina masyarakat terangkum.

“Sebagai sebuah organisasi berita yang berakar dalam masyarakat, kami percaya peranan kami melangkaui sekadar melaporkan berita.

“Kami juga perlu memainkan peranan dalam menyumbang semula kepada masyarakat yang kisahnya kami ceritakan setiap hari... majlis berbuka puasa ini adalah simbol komitmen kami untuk membina masyarakat yang inklusif.

“Kehadiran kami di sini adalah untuk menyatakan bahawa anda semua adalah sebahagian daripada keluarga besar kami,” kata Encik Nazry kepada tetamu yang hadir termasuk 40 penduduk flat sewa dari Bukit Merah dan Tiong Bahru di bawah inisiatif badan sukarela, Project Hills.

Turut menyerikan majlis tersebut ialah tetamu kehormat, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; selain Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH, Encik Kuek Yu Chuang; Ketua Editor Kumpulan Media Inggeris/Melayu/Tamil SPH Media, Encik Wong Wei Kong; Ketua Jabatan Perbankan Islam Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Hospitality Group, Encik Ali Abbas.

Kumpulan amal Project Hills adalah satu gerakan sukarela yang membantu golongan kurang bernasib baik dan keluarga yang tinggal di flat sewa.

Diasaskan bersama empat beradik, Encik Zulfeqar Zulkifli, Encik Zulhaqem Zulkifli, Cik Zulayqha Zulkifli dan Cik Zulastri Zulkifli, serta teman mereka, Encik Abdullah Ahmad, pada 2020, Project Hills, antara lain, telah menjalankan pelbagai kegiatan seperti projek rintis umrah ‘hanya untuk wanita’ dan pengagihan makanan dan keperluan rumah sempena Ramadan 2026.

Dalam pada itu, Maybank Singapura telah menyumbang $10,000 kepada penerima bantuan Project Hills; sementara Red Velvet Ballroom kendalian The Landmark Restaurant juga merupakan penaja.

Sebahagian sumbangan itu membolehkan peserta Project Hills membeli sepasang baju Melayu dari Butik A’NIZ di Golden Landmark.

Kepada kanak-kanak yang hadir, Encik Nazry turut berkongsi nasihat yang boleh dijadikan panduan berguna dalam kehidupan.

Jati diri, amanah, yakin dan azam, yang membentuk kekata J.A.Y.A, adalah satu peringatan tentang nilai penting dalam kehidupan, kata beliau.

“Jati diri mengingatkan kita agar jangan lupa asal usul kita, hormati ibu bapa, dan sentiasa buat perkara yang baik manakala amanah menuntut kita untuk melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan bersungguh-sungguh supaya sentiasa dipercayai.

“Yakin menggalakkan kita untuk tidak cepat putus asa kalau sesuatu itu susah pada mulanya dan azam mengingatkan kita untuk memasang matlamat yang baik seperti rajin belajar, membantu ibu bapa atau mencapai cita-cita pada masa depan,” katanya.

Memanjatkan doa, Encik Nazry berkata:

“Semoga semangat J.A.Y.A dapat menyuntik semangat baharu dalam hidup anda.

“Kami di Berita Harian akan sentiasa mendoakan dan menyokong perjalanan anda.”

Selain menganjurkan majlis berbuka puasa sebagai sebahagian usaha mendekati masyarakat, BH juga telah memeterai satu dermasiswa bersama AMP Singapura.

Encik Nazry berharap dermasiswa itu dapat menyokong pelajar yang memerlukan dan sedang mengikuti pengajian dalam bidang Pengajian Melayu atau Media dan Komunikasi di universiti serta politeknik setempat.

Sebanyak $8,000 akan disalurkan bagi dermasiswa itu setiap tahun sehingga 2030.

Bantuan kewangan bernilai $1,500 seorang akan disampaikan kepada dua pelajar politeknik.

Dua lagi mahasiswa universiti akan menerima $2,500 setiap seorang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg