Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi menawarkan peluang niaga yang sangat besar untuk usahawan dan ahli perniagaan dengan keluasannya dianggarkan mencecah antara tiga dengan empat kali ganda saiz Singapura, kata pakar ekonomi dan Ketua Bersama Rantau, Penyelidikan Makro Kumpulan Perbankan Pelaburan Maybank, Dr Chua Hak Bin.
Menurutnya, walaupun sempadan fizikal JS-SEZ masih belum ditentukan, kawasan yang sedang dikenal pasti, dan jika diluluskan oleh kedua-dua negara, boleh menarik pelaburan asing secara langsung (FDI) baru dengan menyepadukan kekuatan dan kelebihan kedua-dua negara.
“Berdasarkan apa yang Menteri Besar Johor nyatakan, ia boleh merangkumi Iskandar Puteri, Johor Bahru, Pasir Gudang, Kulai, Pontian dan Pengerang di Kota Tinggi, yang jika dicampurkan, boleh menjadi tiga hingga empat kali ganda saiz Singapura. Itu cukup besar.
“Alangkah baiknya jika ia adalah satu zon yang berterusan dan berdampingan. Saya fikir itu mungkin keprihatinan pemerintah Singapura juga. Tetapi itu masih dalam perbincangan,” kata Dr Chua.
Encik Chua berkata demikian kepada sekitar 160 tetamu yang terdiri daripada pelanggan perbankan sejagat dan syarikat kecil dan sederhana (SME) di acara, Akses Johor-Singapura, anjuran Maybank di Hotel Jen pada 8 Julai.
Semasa ucapannya, beliau berkongsi bahawa sokongan padu daripada Sultan Malaysia dan juga hubungan rapat antara Singapura dengan Malaysia adalah antara pemangkin yang akan menjayakan projek JS-SEZ.
Beliau menambah ketersambungan darat yang lebih baik seperti menerusi Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura juga akan memberi manfaat kepada penumpang Singapura dan Malaysia, yang kini perlu mengharungi kesesakan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan darat setiap hari.
“RTS kini sudah kira-kira 70 peratus siap dan akan dibuka pada penghujung 2026. Dengan RTS, kita boleh mengadakan satu hentian untuk pemeriksaan imigresen di kedua-dua belah pihak, dan lebih ramai orang boleh melaluinya dengan cepat.
“RTS juga akan mengurangkan kesesakan di kedua-dua pusat imigresen dengan mengambil kira-kira 40,000 orang sehari pada permulaannya, dan kemudian sekitara 100,000 orang setiap hari pada hari sesak,” kata Dr Chua.
Lebih 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura setiap hari melalui kedua-dua pusat pemeriksaan, kata Dr Chua. Dengan RTS Link, purata masa perjalanan kereta api hanya enam minit dengan kapasiti 10,000 orang sejam pada setiap arah.
Dr Chua menambah bahawa Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Johor adalah kira-kira 9 peratus daripada GDP Malaysia dan 7.5 peratus daripada GDP Singapura.
Ekonomi Johor juga meningkat 8.2 peratus pada 2022 sejajar dengan pertumbuhan 8.6 peratus Malaysia, menunjukkan potensi pertumbuhan untuk perniagaan melabur dalam JS-SEZ, kata Dr Chua.
Semasa ucapannya, Dr Chua menambah pemangkin lain yang akan menjayakan JS-SEZ termasuk peralihan rantaian bekalan di tengah-tengah ketegangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berterusan, kos operasi yang lebih rendah dan dolar Singapura yang lebih kukuh.
Beliau menambah projek JS-SEZ juga akan membantu mengatasi kadar kekurangan tenaga kerja dan kemahiran serta menjadikan matlamat Singapura ke arah peralihan hijau lebih berdaya maju.
Ketua Pegawai Eksekutif Negara Maybank Singapura, Encik Alvin Lee, berkata dalam ucapan pembukaannya, bahawa persaingan sejagat untuk pelaburan telah meningkat dengan dorongan yang semakin meningkat bagi negara-negara untuk mengalih pelaburan mereka.
Beliau menambah di tengah-tengah persaingan Amerika-China yang sedang berterusan, banyak syarikat berbilang negara (MNC) mempelbagaikan tumpuan rantaian bekalan mereka dari China dan mencari pangkalan alternatif.
“Berlatarbelakangkan ini, Singapura sebagai hab kewangan sejagat dengan keupayaan pembuatan termaju yang dilengkapi dengan akses Johor kepada kos yang berdaya saing, sumber tenaga dan tanah yang banyak misalnya, akan menarik FDI baru daripada MNC ke rantau ini.
“Kami boleh menjangkakan perdagangan dan perkongsian rentas sempadan yang lebih besar antara kedua-dua negara kerana JS-SEZ akan menambah baik lagi ekosistem kedua-dua negara, membawa sinergi positif untuk pelbagai sektor, serta mengukuhkan kesalinghubungan dan kerjasama ekonomi,” kata Encik Lee.
Singapura dan Malaysia adalah rakan dagangan kedua terbesar antara satu sama lain, dengan perdagangan dua hala berkembang 18.9 peratus tahun ke tahun kepada $153 bilion pada 2022.
Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar Johor dan menyumbang kepada hampir 70 peratus daripada jumlah FDI dalam sektor pembuatan pada 2022.
Johor mencatatkan pelaburan bernilai RM70.6 bilion ($20.26 bilion) pada 2022 merentasi pelbagai sektor seperti elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, pembuatan makanan dan pusat data.
“Kita boleh menjangkakan perdagangan dan perkongsian rentas sempadan yang lebih besar antara kedua-dua negara kerana JS-SEZ akan meningkatkan lagi ekosistem kedua-dua negara, membawa sinergi positif untuk pelbagai sektor, serta mengukuhkan kesalinghubungan dan kerjasama ekonomi.
“Sebagai bank terbesar Malaysia dan sebagai bank terkemuka di Singapura selama lebih 60 tahun, Maybank akan memainkan peranan penting di samping koridor Malaysia-Singapura berkembang dan JS-SEZ menjadi realiti,” kata Encik Lee.
Semasa acara itu, Encik Lee turut mengambil bahagian dalam dialog dengan beberapa pakar lain untuk membincangkan peluang pelaburan untuk perniagaan yang ingin berkembang di JS-SEZ.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg