Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maybank sasarkan SEZ Johor-S’pura bagi pertumbuhan 

Nov 21, 2024 | 1:27 PM
Menurut Encik Alvin Lee, ketua eksekutif negara Maybank Singapore, menjalankan perniagaan di Singapura sekarang  sangat mahal untuk syarikat kecil dan sederhana (SME), dan tenaga kerja, tanah serta sumber Malaysia yang agak murah boleh menawarkan penyelesaian.
Menurut Encik Alvin Lee, ketua eksekutif negara Maybank Singapore, menjalankan perniagaan di Singapura sekarang sangat mahal untuk syarikat kecil dan sederhana (SME), dan tenaga kerja, tanah serta sumber Malaysia yang agak murah boleh menawarkan penyelesaian. - Foto MAYBANK SINGAPORE

Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) boleh memacu pertumbuhan 10 hingga 20 peratus dalam pinjaman oleh Maybank Singapore dalam tahun pertama operasinya, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara Maybank Singapura, Encik Alvin Lee.

Beliau juga memberitahu The Business Times (BT) pemberi pinjaman terbesar Malaysia itu, menyasarkan operasi Singapuranya menyumbang 25 peratus kepada pendapatan kumpulan menjelang tahun kewangan 2027, meningkat daripada 18 peratus pada tahun kewangan 2023.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, Maybank melaporkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM12.5 bilion ($3.8 bilion), meningkat daripada RM11.9 bilion pada 2022.

Operasinya di Singapura – pasaran kedua terbesar bank itu – mencatatkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM2.3 bilion pada tahun kewangan 2023, peningkatan 39.4 peratus daripada RM1.7 bilion pada tahun kewangan 2022.

Mencapai peningkatan tujuh peratusan mata dari sumbangan itu tidak mudah, akui Encik Lee, yang mengetuai Maybank Singapore pada 1 Januari 2024.

“Untuk mencapainya, saya perlu melakukan beberapa perkara: Saya perlu mengubah pertubuhan ini supaya kami lebih berhemat, lebih berkesan (dan) lebih cekap.”

Beliau bercakap kepada BT pada 15 November dalam satu acara untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam menerima pakai amalan mampan, dan menambah baik akses pembiayaan bagi usahawan wanita.

Mengenai JS-SEZ, perniagaan dan bank sedang menunggu butiran zon yang dicadangkan itu, dengan perjanjian antara Singapura dengan Malaysia dijangka akan ditandatangani pada Disember.

Bergantung pada syarat, syarikat Singapura boleh mendapat akses kepada tanah, tenaga dan sumber tenaga kerja Johor, lantas menjana keperluan pembiayaan – bidang yang ingin sangat disokong Maybank.

“Taikun Singapura, ahli perniagaan, sangat positif dan optimis tentang JS-SEZ,” kata Encik Lee.

SME Singapura boleh mendapat manfaat dengan memindahkan beberapa operasi, seperti kilang dan bengkel, ke zon itu untuk mengurangkan kos.

“Menjalankan perniagaan di Singapura sekarang sangat mahal – bahan mentah, sewa (dan) akses kepada tenaga kerja semuanya merupakan hal yang bermasalah untuk SME,” jelas Encik Lee.

Tenaga kerja, tanah dan sumber Malaysia yang agak murah menawarkan penyelesaian.

“Jika kami tidak menyediakan sumber dan tanah yang lebih murah kepada SME, mereka tidak boleh bersaing di Singapura,” tambahnya.

Maybank sudah bersiap sedia bagi JS-SEZ itu dengan melatih pengurus perhubungannya untuk membimbing pelanggan tentang potensi kelebihan zon itu.

Di luar JS-SEZ, bank itu juga merancang “menggandakan” usaha untuk melibatkan SME Singapura, kata Encik Lee.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg