Mulai Mei, mereka yang mempunyai rancangan ambil angin di Sentosa boleh menempah penginapan dalam satu hotel mewah baru, The Laurus, yang menampilkan semua bilik suite – bilik mewah yang biasanya menampilkan ruang tamu berasingan, bilik tidur peribadi dan bilik mandi eksklusif, menawarkan lebih banyak ruang dan keselesaan kepada tetamu.
Hotel mewah yang terletak dalam perkarangan resort bersepadu Resorts World Sentosa itu merupakan hartanah pertama di Singapura di bawah ‘The Luxury Collection’, jenama di bawah konglomerat perhotelan Marriott International.
Hotel yang menampilkan 183 bilik suite itu akan dibuka pada suku ketiga 2025.
Ia direka dengan tujuan menyatukan tarikan tropika Singapura dengan keanggunan sejarah kolonial sambil menyediakan sekitaran mewah.
Dikelilingi kehijauan, The Laurus, bangunan lima tingkat, menampilkan kediaman yang menenangkan, jauh daripada hiruk pikuk bandar.
Suite deluxe dan premier bermula dengan keluasan 72 meter persegi dengan harga dari $1,200 untuk satu malam.
Setiap suite direka secara teliti dengan perincian halus, tidak kira tempat tidur mewah mahupun perabot tersusun sehinggalah sentuhan warna monokromatik.
Selain bilik, terdapat juga ruang berhalaman dan bilik majlis untuk berhimpun.
Ia turut menyediakan kolam renang, spa dan restoran konsep makan sepanjang hari.
Firma reka bentuk dalaman berpangkalan di Bangkok, BP49 Deesign – yang telah menyuntik sentuhan mereka di hartanah seperti JW Marriott Hangzhou, W Hotel Samui dan Six Senses Laamu di Maldives – bertanggungjawab mewujudkan suasana indah merentas zaman di seluruh resort.
Pelancaran hotel itu merupakan sebahagian daripada projek Genting Singapore bernilai $6.8 bilion untuk menaik taraf RWS.
Projek tersebut akan menambah keluasan keseluruhan RWS sebanyak 50 peratus.
Kerja-kerja penambahbaikan fasa pertama, yang tertumpu kepada tarikan bukan permainan, bermula sejak 2022.
Antara tarikan baru yang dibuka termasuk Harry Potter: Visions of Magic yang dilancarkan pada 22 November 2024; dan Minion Land di Universal Studios Singapore pada 14 Februari 2025.
Tarikan Singapore Oceanarium dijadualkan dibuka pada separuh pertama 2025.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg