Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MBS rancang pinjaman terbesar di S’pura sebanyak $12b

Nov 19, 2024 | 2:27 PM
Peluasan resort Marina Bay Sands, yang merangkumi pembinaan menara keempat baru, dijangka siap pada awal 2031.
Peluasan resort Marina Bay Sands, yang merangkumi pembinaan menara keempat baru, dijangka siap pada awal 2031. - Foto MARINA BAY SANDS

Marina Bay Sands (MBS) merancang mendapatkan pinjaman kira-kira $12 bilion, yang akan jadi pembiayaan terbesar dari Singapura, sedang syarikat itu berusaha membiayai rancangan pengembangan resort kasinonya di republik ini.

DBS Bank, Malayan Banking, OCBC Bank dan UOB sedang menyelaras pinjaman itu, menurut sumber dekat dengan perkara itu yang meminta tidak dikenal pasti kerana membincangkan maklumat privet.

Kemudahan pinjaman itu, yang bertempoh tujuh tahun, akan disindiketkan kepada pembiaya lain, kata mereka, sambil menambah bahawa syaratnya belum dimuktamadkan dan mungkin berubah apabila rundingan diteruskan.

Pinjaman itu akan digunakan untuk membiayai semula pinjaman tujuh tahun sebanyak $4 bilion yang sedia ada dari Ogos 2019, kata sumber itu.

Hasilnya juga akan membantu membiayai pengembangan yang dicadangkan bagi resort bersepadu MBS syarikat itu, yang kosnya telah meningkat lebih dua kali ganda sejak ia mula dicadangkan, kata sumber itu.

Seorang wakil di MBS berkata syarikat itu tidak mempunyai “apa-apa maklumat lanjut untuk diberikan pada masa ini” apabila ditanya mengenai perjanjian itu, manakala syarikat induknya, Las Vegas Sands, enggan mengulas.

Rancangan pengembangan resort kasino Singapura yang dirancang Las Vegas Sands dijangka menelan belanja AS$8 bilion ($10.7 bilion) pada masa ini, berbanding anggaran asal kira-kira AS$3.4 bilion yang dibuat pada 2019.

Peluasan pusat peranginan MBS itu, termasuk pembinaan menara keempat baru, dijangka siap pada awal 2031, tertakluk pada kelulusan pemerintah, kata syarikat itu dalam laporan pendapatan pada Oktober.

Penambahan itu juga akan merangkumi sebuah arena 15,000 tempat duduk yang direka untuk menjadi tempat hiburan secara langsung dan sebuah ruang persidangan.

Loan Pricing Corp sebelum ini melaporkan rancangan MBS untuk mendapatkan pinjaman hingga $12 bilion.

Rekod pinjaman bergabung di Singapura sebelum ini ialah kemudahan pinjaman sebanyak $9.3 bilion yang ditandatangani pada 2012, yang membiayai pemerolehan pembuat makanan dan minuman Fraser & Neave oleh TCC Assets milik jutawan Thai, Encik Charoen Sirivadhanabhakdi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg