Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Ekonomi & Kerja
29
0

PANDANGAN : PROSPEK DAN HARAPAN PENIAGA DALAM TAHUN BARU

Melangkah lebih yakin berbekal pendigitalan dan teknologi

Jan 01, 2022 | 05:30 AM



"Ada turun, ada naik. Tapi lebih banyak turun dari naik."



Bunyinya selamba tetapi ungkapan ini - yang boleh dikatakan agak sering diucapkan oleh para peniaga apabila ditemui atau ditinjau mengenai perniagaan sepanjang 2021 - memendam seribu kepahitan.



Bagi sesetengah peniaga, tahun kedua pandemik Covid-19 ini telah memanjangkan 'keparahan' yang dialami sejak 2020.



Ini khususnya bagi mereka dalam sektor yang paling terkesan oleh langkah-langkah pengurusan keselamatan dan sekatan lebih ketat ekoran pandemik.



Ini seperti perniagaan dalam makanan dan minuman (F&B), penyedia khidmat katering untuk perkahwinan dan pelancongan - yang terpaksa berdepan dengan sekatan yang diibaratkan 'hulur dan tarik'.



Namun bagi segelintir peniaga, 2021 telah memberikan sedikit kelegaan selepas mengharungi masa mencabar pada tahun sebelumnya, hasil daripada perkembangan menggalakkan dalam pasaran global dan program vaksinasi yang berjalan lancar.



Bantuan dan sokongan pemerintah kepada masyarakat peniaga sepanjang tempoh ini juga mampu sedikit sebanyak meringankan bebanan yang dipikul.



Bagaimana pula agaknya sentimen dan prospek perniagaan pada tahun baru ini?



Pandangan saya, ini banyak bergantung kepada tahap ekonomi keseluruhan Singapura mahupun ekonomi sejagat.



Menurut ramalan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), ekonomi negara ini dijangka tumbuh di antara 3 peratus dengan 5 peratus pada tahun ini.



Peluang pertumbuhan bagi sektor luaran seperti kewangan dan perhubungan dijangka kekal kukuh.



Tetapi sektor seperti khidmat F&B, kelautan dan binaan diramalkan tidak akan pulih pada tahap sebelum pandemik, walaupun di akhir 2022 nanti.



Ini bermakna tahap pemulihan ekonomi akan terus tidak rata.



Makanya, pepatah 'turun naik' akan lebih dirasakan oleh sesetengah sektor disebabkan oleh situasi yang sukar dielakkan ini.



Satu lagi faktor penting yang bakal mencorak laluan pertumbuhan mahupun kemerosotan peniaga pada tahun ini, ialah sejauh mana program vaksinasi negara dan suntikan penggalak akan bergerak.



Fikiran saya, masyarakat peniaga boleh melihat sedikit sinar harapan pada tahun baru ini.



Sejak kali pertama vaksin Covid-19 dilaksanakan di negara ini, kini sekitar 87 peratus bilangan penduduk sudah divaksin sepenuhnya manakala 39 peratus penduduk sudah menerima suntikan penggalak.



Sehingga bulan lalu, Singapura mempunyai antara kadar penduduk divaksin tertinggi di dunia, menurut projek Our World in Data di Universiti Oxford.



Perangkaan ini dianggarkan terus meningkat pada 2022.



Lantas, kadar vaksinasi Singapura yang tinggi di samping usaha giat untuk melaksanakan suntikan penggalak untuk warga, akan memudahkan usaha pemerintah untuk melonggarkan sekatan dalam dan luar negara.



Ini sekaligus akan menyokong pemulihan kebanyakan sektor yang berhadapan dengan pengguna serta meredakan kekurangan tenaga pekerja dalam industri yang bergantung kepada pekerja asing.



Ini pastinya satu berita gembira yang dinanti-nantikan ramai peniaga, yang sekian lama tidak keruan.



Walau demikian, kini kita dibayangi dengan varian baru, Omicron, yang belum begitu jelas kesan dan padahnya pada usaha pemerintah untuk membuka semula ekonomi dengan lebih luas.



Pada peringkat awal sekarang, ia telah menggugat skim Laluan Perjalanan bagi yang Sudah Menjalani Vaksinasi (VTL).



Sementara ada pengamat menganggap ini satu tamparan kepada usaha pembukaan semula ekonomi, tetapi saya yakin ini satu kegenjotan sementara, yang mampu diatasi pemerintah mahupun masyarakat peniaga.



Dari mana datangnya rasa optimis saya ini?



Pemerhatian dan perkongsian dengan peniaga sepanjang dua tahun ini telah menyedarkan saya tentang semangat kental masyarakat peniaga tempatan.



Memang tepat dengan jenama 'Singapura' - umumnya, peniaga kita rajin berusaha, tidak mudah putus asa dan giat mencari huraian.



Kalaupun ada yang gulung tikar dalam krisis, ini berlaku sebagai pilihan terakhir, setelah pelbagai usaha dijalankan untuk bertakat dan mempertahankan perniagaan.



Satu perkara yang begitu terserlah daripada pandemik ini ialah usaha pendigitalan dalam kalangan peniaga.



Tidak salah kalau saya katakan, ramai peniaga ibarat terbangun dari mimpi yang akhirnya sedar tentang nilai teknologi dan pendigitalan, lebih-lebih lagi di tengah-tengah krisis terbesar dalam generasi ini.



Perniagaan dari pelbagai industri - dari F&B ke barangan runcit ke khidmat profesional - telah meneroka teknologi dan memanfaatkan pelbagai saluran pendigitalan.



Hasilnya, peniaga kita menyesuaikan diri kepada saiz perniagaan yang tepat, huraian perniagaan yang sejajar dengan cabaran masa kini serta menimba kemahiran dan kepakaran yang relevan dengan keadaan semasa.



Semoga, sikap dan semangat sedia berubah dan menyesuaikan diri menerusi teknologi dan inovasi ini akan berterusan pada tahun baru ini.



Ini kerana krisis akan datang dan pergi, bantuan pemerintah akan dihulur dan ditarik balik bila-bila masa sahaja.



Namun hanya iltizam dan kemahuan untuk bertakat serta wawasan untuk mengecapai kejayaan jangka panjang, akan membolehkan peniaga untuk terus bertahan dalam era pasca-pandemik Covid-19.



Saya yakin, ini bukan hanya memanfaatkan perniagaan dari segi 'bottom line' (akaun keseluruhan syarikat) sahaja, tetapi memberi kesan domino kepada tenaga pekerja, yakni masyarakat am Singapura.



Selamat menjalankan transformasi dan berinovasi di Tahun Baru!




HARAPAN PENIAGA



“Saya berharap para peniaga akan sentiasa bersedia untuk menghadapi segala rintangan yang datang. Kita perlu menerima kekecohan dan terus maju ke hadapan. Jika perlu, jangan ragu untuk mengubah perniagaan supaya kekal relevan. 

 Sebagai persediaan untuk Tahun Baru ini, syarikat kami telah membuat pelbagai peningkatan edureachlearn.com, iaitu sistem pengurusan pembelajaran untuk meningkatkan prestasi guru-guru dalam kelas-kelas di pusat tuisyen dan kelas dalam talian. 

 Kami bercadang untuk terus melabur dalam teknologi untuk memberi yang terbaik kepada murid-murid. Kami berharap untuk melibatkan diri dalam lebih banyak program membantu masyarakat; seperti program Sudoku yang dianjurkan bersama ‘Raikan Ilmu Mendaki’. 

 Semoga 2022 memberi peluang untuk kita semua cemerlang dalam bidang masing-masing.”
- Pengarah EduReach Pte Ltd, Sharifah Md Kassim.



“Bagi Tahun Baru ini, kami mengharapkan kemajuan yang positif dalam pandemik Covid-19, khususnya bagi varian Omicron. Ini agar membolehkan perniagaan makanan dan minuman (F&B) seperti kami, dapat mengalami pemulihan lebih cepat. Ini akan meninggalkan kesan yang positif terhadap kami, memandangkan kami juga membekalkan barangan kepada perniagaan F&B dan penyedia khidmat katering bagi majlis perkahwinan. 

Dengan ini semua, ia akan membolehkan kami meningkatkan pendapatan kami secara dalam negeri, di samping meluaskan produk dan perkhidmatan kami. Kami berharap dengan langkah melonggarkan sekatan sempadan akan membolehkan kami untuk meneruskan operasi di Malaysia dan memulakan program eksport kami.’
- Pengarah Urusan Pondok Abang, Encik Hasan Abdul Rahman.



"Harapan saya ialah agar ekonomi dunia akan pulih dan keadaan Covid-19 akan menjadi lebih stabil. Ini akan membolehkan gangguan rantai bekalan menjadi reda dan menyebabkan kos kiriman lebih rendah. Dalam negara pula, saya harap skim sokongan pemerintah akan diteruskan, seperti Sokongan Pinjaman Perniagaan, Skim Bantuan Pekerjaan dan Insentif Pertumbuhan Pekerjaan. Ini akan membantu peniaga seperti saya.

Pada masa sama, sebab saya mempunyai operasi di luar negara, saya berharap sekatan pergerakan akan diredakan jadi akan memudahkan pergerakan. Secara keseluruhan, saya berharap pendapatan dan kesihatan perniagaan akan lebih baik tahun ini dan saya dapat mempelbagaikan lagi perniagaan."
- Pemilik Banama Corporation Pte Ltd itu, Encik Khaled Banama.



"Tahun lalu, banyak cabaran perlu diatasi dan kami harapkan tahun lebih baik tahun ini.

​Kami sudah ada perancangan bermula Januari 2022 dan kami berdoa ia berjaya. Kami sudah merancang untuk melancarkan pakej umrah hingga Ramadan 2022...harapan saya agar menerima sokongan dari jemaah untuk teruskan kehidupan. Kita merancang tetapi Allah menentukan segalanya.

Saya harap warga Singapura akan berani untuk meneruskan kehidupan walaupun di tengah-tengah pandemik ini. Dengan ini, saya juga harap kita semua akan terus maju tanpa sebarang gangguan mengikut peraturan dalam norma baru.''
- Pengarah Hagel Travel and Tours, Syed Agil Syed Hamid Alkaff.



"Saya berharap 2022 akan menjadi tahun yang lebih baik kerana saya akan membuka perniagaan baru Irmaya Travel and Tours Pte Ltd tidak lama lagi. Ia telah didaftarkan sejak 2019 namun disebabkan Covid-19, kami terpaksa menangguh perniagaan agensi pelancongan ini.

Dengan anugerah yang telah saya terima baru-baru ini (Anugerah Kelas Berprestij Singapura, Anugerah Mutu Khidmat Singapura dan Anugerah Usahawan Wanita Beraspirasi), saya lebih berazam untuk bekerja lebih keras untuk masa depan bagi memberikan yang terbaik untuk semua pelanggan terutama kepada mereka yang telah menyokong kami sejak pembukaan Irmaya Wedding Gallery sehingga hari ini.''
- Pemilik Irmaya Wedding Gallery, Normaya Mohd Salleh.



"Tahun 2021 seperti menaiki 'roller coaster'. Saya telah membuat beberapa keputusan pada 2021 untuk memastikan perniagaan saya kekal hingga kini. Keputusan itu tidak mudah dan menyakitkan, namun perlu dilaksanakan untuk elak kerugian yang lebih besar.

Melangkah ke hadapan, saya hanya ingin pastikan Kafe I Am masih terus berkhidmat kepada semua pengunjung yang telah menyokong kami sepanjang lapan tahun ini. Saya harap negara kita maju dan berjaya mengatasi semua rintangan dan halangan pada masa depan.''
- Pemilik Kafe I Am Cafe, Encik Jamuri Busori.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >