Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menentang arus: Pemilik syarikat rakaman kembalikan piring hitam

Pengasas label bebas S’pura jadi jambatan pencinta muzik, yakin potensi pelaburan rekod vinil
Aug 11, 2025 | 5:30 AM
Azri Ali, mosta records
Pemilik syarikat Mosta Records, Encik Azri Ali, menjual piring hitam dan kini bekerjasama dengan artis antarabangsa dan tempatan untuk menerbit dan mengeluarkan piring hitam sejak 2016. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Piring hitam pernah dianggap usang apabila era penstriman mengambil alih industri muzik sejagat.

Namun bagi Encik Azri Ali, pengasas label bebas Mosta Records, format klasik itu bukan alat nostalgia, malah merupakan simbol ketukangan seni dan penghargaan terhadap muzik sebagai karya fizikal.

Selain nilai sentimental, piring hitam turut mempunyai potensi pelaburan.

Bagi Encik Azri Ali, budaya piring hitam adalah lebih daripada nostalgia. Ia adalah tentang mengembalikan cara mendengar muzik, dalam masa yang sama menjalin dan mengembangkan masyarakat peminat muzik dan muzik piring hitam.
Bagi Encik Azri Ali, budaya piring hitam adalah lebih daripada nostalgia. Ia adalah tentang mengembalikan cara mendengar muzik, dalam masa yang sama menjalin dan mengembangkan masyarakat peminat muzik dan muzik piring hitam. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Nilainya boleh melonjak, terutama jika ia edisi terhad atau mempunyai tandatangan artis.

“Kalau ada tandatangan pada kulit album, harganya boleh mencecah hingga $700,” ujar Encik Azri, 52 tahun, kepada Berita Harian (BH).

“Kalau ia cetakan pertama dan belum pernah dicetak semula, sudah tentu lebih mahal dan boleh mencapai hingga $3,000, ” tambahnya.

Dalam tempoh 10 tahun, Mosta Records, telah mengeluarkan 10 piring hitam, dengan kebanyakannya artis tempatan. Dalam gambar adalah antara piring hitam yang telah dikeluarkan syarikat itu.
Dalam tempoh 10 tahun, Mosta Records, telah mengeluarkan 10 piring hitam, dengan kebanyakannya artis tempatan. Dalam gambar adalah antara piring hitam yang telah dikeluarkan syarikat itu. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Encik Azri turut memiliki piring hitam Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dari era 1950-an yang tidak lagi dikeluarkan, dan nilainya kini dianggarkan mencecah sekitar $700.

Dengan semangat ini, beliau menubuhkan Mosta Records, sebuah label bebas yang kini merupakan antara penerbit muzik tempatan yang mencetak dan menjual piring hitam barisan artis tempatan serta antarabangsa.

Mosta Records juga mencatat sejarah apabila ia menjadi pengedar rasmi pertama di Asia Tenggara bagi Third Man Records, syarikat rakaman milik ikon rok Amerika Syarikat, Jack White.

Oleh kerana Mosta Records mendapatkan label antarabangsa tanpa melalui pihak ketiga, ini memberikannya kemampuan untuk menawarkan harga yang lebih rendah kepada pelanggan.

Menurut bapa dua anak berusia 19 dan 25 tahun itu, pendekatan itu bukan sahaja menjimat kos, malah memastikan pelanggan dapat membeli produk pada harga yang lebih berpatutan.

Mosta Records terus berkembang menjadi hab pengedaran rasmi bagi beberapa label terkenal.

“Oleh sebab saya beli secara langsung, saya boleh jual lebih murah kepada pelanggan.

“Kalau melalui pihak ketiga, mark-up atau tambahan kosnya lain. Kami satu-satunya pengedar sah di Asia Tenggara. Itu satu pencapaian besar,” ujar Encik Azri.

Antara penyanyi yang telah mengeluarkan piring hitam melalui syarikat itu termasuk artis antarabangsa seperti kumpulan hip-hop Amerika, Arrested Devleopment, dan artis tempatan seperti, Huda Ramdzan dan Yanto Sani.

Baru-baru ini, Mosta Records turut mengumumkan pelancaran piring hitam untuk album berjudul, Midlife Tunes, oleh artis tempatan Iman, vokalis utama kumpulan punk tempatan, Iman’s League.

Album itu dijadual keluar pada November 2025.

“Dengan ini, ia akan menjadi pengeluaran piring hitam ke-10 kami dalam tempoh lima tahun,” tambah Encik Azri, yang bertindak sebagai penerbit, jurutera bunyi dan kadangkala juga pereka visual.

“Saya lihat piring hitam sebagai bentuk seni yang lengkap.

“Daripada bunyi, susunan lagu, hingga ke reka bentuk kulit album. Ia juga memberi penghargaan yang lebih mendalam kepada karya artis,” jelasnya.

Kedai fizikal Mosta Records mula dibuka pada 2016 di Peninsula Plaza, sebelum berpindah ke Arab Street pada 2020 apabila pandemik Covid 19 melanda.

Akibat cabaran operasi dan ketidaktentuan ekonomi, Encik Azri, yang kini mempunyai pejabat di Suntec, akhirnya menutup kedai fizikalnya dan meneruskan operasinya secara bebas.

Beliau menumpukan perhatian kepada pengedaran, penerbitan dan penghasilan piring hitam.

Walaupun bergerak secara bebas, Mosta Records, telah berjaya menembusi pasaran serantau dengan kerjasama artis dari Malaysia dan Indonesia, serta jualan piring hitam yang mendapat sambutan di luar negara.

Namun, perjalanan itu bukan tanpa cabaran.

Kos pengeluaran yang tinggi, keraguan pasaran tempatan terhadap format fizikal, dan kekangan sumber menjadi halangan yang perlu diatasi saban tahun.

“Ramai masih anggap piring hitam ini mahal dan minat tukikan.

“Tapi apabila mereka pegang dan dengar sendiri, baru mereka faham nilai dan pengalaman unik memiliki piring hitam,” tambah Encik Azri.

Pasaran piring hitam semakin berkembang dan ia menjadi lambang cita rasa peribadi dan kian diminati artis tempatan.

“Dengan industri sejagat dijangka mencecah $4.12 bilion menjelang 2030, Asia Tenggara berpotensi menjadi pemain utama dalam penerbitan dan pasaran muzik fizikal,” tambahnya.

Apabila ditanya makna di sebalik nama syarikatnya, Mosta Records, Encik Azri menjelaskan nama itu sebenarnya diilhamkan daripada jambatan di Bosnia yang dikenali sebagai Mostar.

Menurut beliau, bandar itu cukup dikenali dengan jambatan ikonik yang pernah runtuh akibat peperangan tetapi dibina semula dan menjadi lambang perpaduan dan penyatuan masyarakat.

“Saya suka maksud di sebalik jambatan itu. Simbolisme itulah yang menarik perhatian saya juga. Jadi saya ambil nama itu untuk syarikat saya,” katanya.

Kini, beliau sedang sibuk merancang acara ‘Side A’, satu inisiatif anjuran Mosta Records, untuk menghimpunkan pencinta muzik, penggiat seni, serta masyarakat peminat piring hitam.

Acara itu bakal diadakan di Pusat Konvensyen Suntec pada 1 November, menampilkan jualan piring hitam, persembahan langsung, serta sesi perbincangan tentang industri muzik bebas.

Bagi Encik Azri, misi Mosta bukan sahaja menjual muzik, malah memelihara budaya mendengarnya secara perlahan, teliti dan penuh hormat terhadap seni.

“Budaya piring hitam adalah lebih daripada nostalgia.

“Ia adalah tentang mengembalikan cara kita mendengar muzik, dalam masa yang sama menjalin dan mengembangkan masyarakat peminat muzik dan muzik piring hitam.

“Mosta Records berhasrat menjadi peneraju gerakan ini sambil mengekalkan akar budaya dan penghargaan terhadap muzik serantau,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg