Melihat suaminya bekerja berjam-jam lamanya setiap hari demi menyara enam anak mereka mendorong suri rumah, Cik Nuraishah Rosli, mengusahakan perniagaan tauhu bergedel dari rumah secara kecil-kecilan sebagai usaha sampingan membantu kewangan keluarga.

Walaupun pendapatannya sederhana dan jarang melebihi $200 sebulan, beliau menyerahkan apa sahaja hasil yang diperoleh kepada suaminya untuk membantu menampung perbelanjaan harian.

Dengan harapan dapat meningkatkan pendapatannya, Cik Nuraishah, 39 tahun, pernah bekerjasama dengan pertubuhan tidak mengaut untung, Her Rise Above, dan mengikuti beberapa kursus bagi mempelajari kemahiran baru untuk mengembangkan usaha sampingannya itu.

Namun, beliau tidak dapat meneruskan sepenuhnya rancangan tersebut akibat sakit pinggang kronik yang sering menyukarkannya untuk berdiri lama.

Keadaan itu juga menjejas keupayaannya menyediakan dan menjual tauhu bergedel secara tetap.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, beliau tetap meneruskan usahanya itu apabila keadaan kesihatannya mengizinkan, dan menyumbang apa sahaja yang termampu bagi membantu menyara keluarganya.

Pasangan suami isteri yang saling menyokong, Encik Abdul Samad Mohamed dan Cik Nuraishah Rosli, terus melangkah bersama dalam menghadapi tekanan kos sara hidup sambil membesarkan lima anak berusia antara empat dengan 19 tahun di flat sewa dua bilik mereka.
Pasangan suami isteri yang saling menyokong, Encik Abdul Samad Mohamed dan Cik Nuraishah Rosli, terus melangkah bersama dalam menghadapi tekanan kos sara hidup sambil membesarkan lima anak berusia antara empat dengan 19 tahun di flat sewa dua bilik mereka. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Meskipun pendapatan tambahan itu tidak dapat mengatasi sepenuhnya cabaran kewangan yang dihadapi keluarga, ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban mereka dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Cik Nuraishah, yang tinggal di flat sewa dua bilik bersama suaminya, Encik Abdul Samad Mohamed, 43 tahun, serta empat anak berusia antara empat dengan 20 tahun, berkata usaha itu dilakukan ketika keluarganya berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sebagai seorang pemandu sebuah syarikat pembersihan di Jurong, Encik Samad meluangkan masa berjam lamanya untuk menghantar pekerja pembersihan, menggunakan van dengan 13 tempat duduk.

Walaupun syarikatnya menyediakan elaun petrol bulanan sebanyak $1,000, beliau berkata jumlah itu semakin tidak mencukupi susulan kenaikan harga bahan api.

Ini memandangkan satu isian penuh 50 liter boleh menelan kos hampir $300 dan hanya bertahan sekitar tiga hari.

“Apabila had kad habis sebelum hujung bulan, saya terpaksa bayar dulu guna wang sendiri sebelum menuntut kos itu semula,” ujar Encik Samad.

“Keadaan ini memang jadi sukar kerana masih ada bil dan perbelanjaan sekolah yang perlu dibayar,” tambah Cik Nuraishah.

Tekanan aliran tunai bagi keluarganya turut menjejas perbelanjaan harian yang kecil.

“Ada bulan di mana yuran pusat jagaan selepas sekolah sebanyak $10 pun terasa berat untuk dilunaskan,” katanya perlahan.

Seperti banyak isi rumah lain yang berdepan peningkatan kos sara hidup, keluarga itu kini lebih berhemat dalam berbelanja, termasuk mengurangkan kegiatan luar, makan di luar serta perbelanjaan bukan keperluan.

Cik Nuraishah menambah, keluarganya kini mengutamakan memasak di rumah dan hanya membeli barangan yang benar-benar perlu bagi mengurus perbelanjaan harian dengan lebih baik.

Selain kos petrol, mereka turut terkesan dengan kenaikan harga barangan dapur dan api air.

“Semua harga benda asas pun sudah naik.

“Telur, mi segera, minyak masak, minuman untuk anak-anak, semuanya semakin mahal,” ujarnya.

Bagi menjimatkan perbelanjaan, Cik Nuraishah sering membandingkan harga barangan dan sanggup berjalan lebih jauh untuk mendapatkan barangan dapur lebih murah walaupun dengan kesakitannya.

Keluarga itu juga telah mengurangkan perbelanjaan riadah dan makan di luar dengan ketara.

“Dulu mungkin sekali-sekala kami boleh bawa anak-anak makan di luar.

“Sekarang, saya pun sudah tidak ingat bila kali terakhir kami keluar makan bersama,” jelasnya.

Sebaliknya, makanan lebih kerap disediakan di rumah, dan anak-anak sudah terbiasa dengan pengurangan yang dibuat dalam juadah dan kegiatan luar.

Keluarga itu turut mendapatkan bantuan melalui pelbagai skim sokongan masyarakat dan pendidikan, termasuk bantuan kewangan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) serta baucar makanan daripada inisiatif masyarakat, selain program yang menyokong pembangunan perniagaan Cik Nuraishah.

Encik Samad, yang pernah melalui tempoh dipenjara sehingga 2020 dan membina semula kehidupannya melalui program pemulihan serta peluang pekerjaan sebagai pemandu, berkata beliau kini sangat mementingkan kesinambungan pekerjaan.

“Kalau saya berhenti kerja, semuanya terhenti.

“Nak bekerja perlukan petrol. Tapi nak bayar petrol, saya perlu terus bekerja lebih,” jelasnya.

Walaupun berdepan tekanan, pasangan suami isteri itu terus berusaha melindungi anak-anak mereka daripada tekanan kewangan keluarga.

“Kami hanya buat apa yang mampu setiap hari, perlahan-lahan, sehari demi sehari,” kata Cik Nuraishah.