Topik diikuti
Pergi ke BHkuSuami isteri letak tepi kemewahan, jual kereta demi pelaburan masa depan anak
Suami isteri letak tepi kemewahan, jual kereta demi pelaburan masa depan anak
Suami isteri letak tepi kemewahan, jual kereta demi pelaburan masa depan anak
Selama lebih sedekad, sepasang suami isteri membina kehidupan keluarga berlandaskan satu matlamat utama.
Encik Muhammad Faizal Abdullah, 38 tahun, dan isterinya, Cik Noor Shaheerah Sudan, 40 tahun, mengutamakan usaha memberikan peluang pendidikan dan kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak mereka, sesuatu yang tidak pernah mereka kecapi ketika membesar.
Kini, di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup dan perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat, pasangan itu sedang bersiap sedia menjual kereta keluarga mereka dan beralih kepada motosikal demi terus membiayai pendidikan anak-anak.
Dengan tiga anak remaja berusia 13, 16 dan 17 tahun, keluarga itu membelanjakan sekitar $1,300 sebulan bagi tuisyen sahaja.
Anak sulung mereka kini menuntut di Institusi Raffles (RI) dan aktif dalam olahraga di balapan dan padang, manakala anak perempuan mereka mengikuti program pengayaan.
Ketika ditemui Berita Minggu (BM), Cik Shaheerah berkata pengalaman membesar beliau dan suami banyak membentuk pegangan terhadap pendidikan anak-anak.
“Suami saya membesar di rumah kebajikan kanak-kanak dari usia enam hingga 16 tahun.
“Itu yang membentuk pegangan kami, pendidikan anak-anak perlu diutamakan. Saya pula tidak dapat meneruskan pelajaran selepas Menengah 4.
“Kesusahan dari segi kewangan membuka mata kami tentang pentingnya pendidikan anak-anak,” katanya.
Encik Faizal, yang bekerja sehingga 11 jam sehari sebagai pemandu bas, berkata mereka sedaya upaya memastikan anak-anak tidak melalui kesukaran yang sama.
“Kami tidak mahu mereka melalui kehidupan seperti kami. Kami lihat sendiri bagaimana generasi ibu bapa kami bergelut dengan kesulitan hidup,” jelasnya.
Kereta keluarga yang sebelum ini digunakan untuk menghantar anak ke sekolah, tuisyen dan latihan sukan kini menjadi beban kewangan, dengan bayaran ansuran bulanan sekitar $1,230, tidak termasuk petrol, bayaran meletak kereta dan penyelenggaraan.
“Dulu, kereta memudahkan kehidupan. Sekarang, ia seperti kemewahan yang terpaksa kami lepaskan,” kata Cik Shaheerah, seorang pendidik prasekolah.
Selain itu, kenaikan kos bahan api dan harga barangan harian turut menambah tekanan, terutama selepas pandemik Covid-19 dan peningkatan harga makanan serta api air kebelakangan ini.
Bagi menjimatkan perbelanjaan, keluarga itu kerap ke Johor Bahru dua kali sebulan untuk membeli barangan dapur seperti beras, minyak masak dan telur secara pukal.
Mereka juga mengurangkan makan di luar dan lebih banyak memasak di rumah.
“Anak-anak tetap dapat duit belanja dahulu, itu yang kami pastikan. Selepas itu, baru kami kira barang dapur dan lain-lain,” jelas Cik Shaheerah.
Walaupun berdepan tekanan kewangan, pasangan suami isteri itu tetap mengutamakan pendidikan dan kegiatan anak-anak, termasuk sukan seperti olahraga balapan dan padang.
“Kami melihatnya sebagai pelaburan untuk masa depan mereka.
“Walaupun kami perlu berkorban, kami tahu ia penting untuk mereka,” ujar Encik Faizal.
Namun, beliau mengakui beban kerja dan kewangan turut memberi kesan emosi.
“Masa bersama keluarga sekarang sangat terhad kerana waktu kerja panjang. Kadangkala kami rasa penat untuk pastikan semuanya berjalan lancar,” jelasnya.
Namun bagi pasangan itu, segala pengorbanan itu berpunca daripada pengalaman hidup mereka sendiri, serta harapan agar anak-anak tidak perlu melalui kesusahan yang sama.
