SAN FRANCISCO: Meta Platforms bersetuju membeli Manus, sebuah syarikat pemula kecerdasan buatan (AI) yang berpangkalan di Singapura.
Langkah ini menambah ejen AI baru ke dalam portfolio Meta, mengukuhkan usaha syarikat membina perniagaan melalui pelaburan besar dalam teknologi AI.
The Wall Street Journal, memetik sumber rapat, melaporkan Meta sedang memuktamadkan pengambilalihan Manus pada nilai melebihi AS$2 bilion ($2.56 bilion).
Namun, butiran kewangan perjanjian itu tidak didedahkan.
Gergasi teknologi seperti Meta kini giat melabur dalam AI melalui pengambilalihan syarikat dan pengambilan bakat, demi kekal bersaing.
Awal 2025, Meta, syarikat induk Facebook, melabur dalam firma penandaan data Scale AI.
Nilai syarikat itu mencecah AS$29 bilion.
Pelaburan itu turut membawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Scale AI, Encik Alexandr Wang, 28 tahun, dalam jaringan Meta.
Manus adalah antara syarikat teknologi China yang memilih Singapura sebagai pangkalan operasi, mengelak potensi gangguan akibat ketegangan Amerika Syarikat dan China.
Syarikat induk Manus, Beijing Butterfly Effect Technology, mendapat dana awal 2025 dengan penilaian hampir AS$500 juta dalam pusingan pelaburan yang diketuai firma modal usaha niaga Amerika, Benchmark.
Ketika itu, Benchmark dikritik ahli politik dan pelabur lain kerana menyokong sebuah syarikat AI yang terkait dengan China.
Manus, dengan kadar keuntungan tahunan sebanyak AS$125 juta pada awal 2025, menjual ejen AI secara langganan kepada perniagaan.
Ini berpotensi memberikan pulangan segera kepada Meta daripada pelaburan AI mereka.
Ejen AI ini berfungsi seperti pekerja digital, melaksanakan tugas digital tertentu hanya dengan sedikit arahan dan tanpa perlu pengawasan manusia.
Manus melancarkan ejen AI mereka pada awal 2025, mendakwa ia mampu mengatasi DeepResearch milik OpenAI.
Syarikat itu memasarkan produknya dengan menyelesaikan puluhan tugasan untuk pengguna di wadah media sosial X secara percuma.
Syarikat perisian perusahaan seperti Salesforce dan ServiceNow turut mempromosikan ejen AI versi mereka sebagai kaedah paling cekap bagi perniagaan manfaatkan teknologi yang semakin maju.
Ini berbeza dengan ciri AI generatif (genAI) seperti ‘chatbot’, yang memerlukan arahan pengguna.
Meta menyatakan ia akan terus mengendalikan dan menjual perkhidmatan Manus, serta akan menyepadukan ejen daripada syarikat permulaan itu ke dalam produk pengguna dan perniagaannya, termasuk Meta AI.
Meta sedang mengambil alih pasukan teknologi dan kepimpinan Manus, walaupun lokasi pasukan baru itu dalam organisasi tidak diendahkan.
Encik Wang, kini Ketua Pegawai AI Meta, mengalu-alukan pasukan Manus ke Meta dalam satu hantaran di X.
Pengasas bersama dan CEO Manus, Encik Xiao Hong, dalam catatannya berkata perjanjian itu akan membantu syarikatnya meluaskan capaian ejen AI mereka.
“Era AI yang bukan sekadar bercakap, tetapi bertindak, mencipta dan menyampaikan, baru sahaja bermula,” tulisnya.
“Dan kini, kami berpeluang membangunkannya pada skala yang sebelum ini tidak pernah dapat kami bayangkan,” tambah beliau.
Meta giat berbelanja untuk bersaing dalam perlumbaan AI dengan pesaing seperti OpenAI, Microsoft dan Alphabet milik Google.
CEO Meta, Encik Mark Zuckerberg, mengumumkan akan membelanjakan AS$600 bilion bagi projek prasarana di Amerika dalam tempoh tiga tahun akan datang, kebanyakannya dijangka berkaitan dengan AI. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg