Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Meta: Usah terlalu bimbang tentang bahaya AI

May 30, 2025 | 4:56 PM
Panel, Meta, AI
(Dari kiri) Cik Alamelu Subramaniam dari Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA); Encik Andy Parsons dari Adobe; Baroness Jones dari Whitchurch, Encik Simon Milner dari Meta; dan Cik Lim Sun Sun dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), semasa perbincangan ‘ATxSummit 2025’ pada 29 Mei. - Foto ST

Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, merendahkan kebimbangan terhadap kesan kecerdasan buatan (AI), mendesak penggubal dasar dan orang ramai supaya memberi tumpuan kepada hasil sebenar dan bukan senario terburuk.

Komen oleh Naib Presiden Dasar Awam Asia Pasifik, Encik Simon Milner, mengundang bantahan keras di ATxSummit 2025, pada 29 Mei, yang menyaksikan rakan panel berkata penyebaran pesat AI mempunyai akibat dunia nyata, seperti bahaya dalam talian yang menjejas belia dan kanak-kanak.

Semasa panel di Capella Singapura, Encik Milner menyebut 2024 sebagai “tahun demokrasi” kerana lebih ramai orang di sebilangan besar negara telah mengundi berbanding masa lain dalam sejarah.

Walaupun terdapat kebimbangan meluas mengenai palsu mendalam (deepfakes) dan AI generatif (GenAI) mengganggu pilihan raya, beliau berkata tiada bukti ditemui mengenai gangguan sebegitu – malah di negara demokrasi utama seperti Amerika Syarikat, India atau Indonesia.

“Walaupun sejumlah besar GenAI telah digunakan merentasi platform, kesannya tidaklah sangat buruk,” tambahnya.

Bagaimanapun, pandangannya tidak dikongsi oleh anggota panel yang membincangkan topik melindungi masyarakat dalam dunia dalam talian.

Berdasarkan hasil kerjanya, Profesor Komunikasi dan Teknologi Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Cik Lim Sun Sun, berkata ramai ibu bapa berasa bimbang dan kurang pasti tentang cara membimbing anak-anak mereka dalam mengemudi peningkatan pesat GenAI.

“Walaupun data tersebut tidak memberikan gambaran yang membimbangkan secara keseluruhan, realitinya orang ramai bergelut untuk memahami teknologi ini,” kata Profesor Lim.

Guru-guru turut menghadapi dilema: Menggalakkan eksperimentasi dengan AI sambil memberi amaran tentang risikonya. “Ia adalah keseimbangan yang sukar,” tambahnya.

Baroness Jones dari Whitchurch (Cik Margaret Beryl Jones), Setiausaha Rendah Parlimen United Kingdom (UK) untuk ekonomi digital masa depan dan keselamatan dalam talian, menyuarakan kebimbangan yang sama tentang bahaya dalam talian yang menjejas belia dan kanak-kanak.

Beliau menunjuk ke arah perdebatan umum yang berterusan di UK tentang kesan merosakkan beberapa platform dalam talian terhadap pengguna muda.

“Sebagai contoh, kanak-kanak mengakses forum tentang bunuh diri secara dalam talian, lalu membunuh diri. Ini menyayat hati, dan kami mempunyai beberapa cerita yang mengerikan mengenainya,” katanya.

Pada Mei 2024, Vlad Nikolin-Caisley, 17 tahun, dari Hampshire di tenggara England, meninggal dunia selepas dikatakan digalakkan oleh ahli kumpulan probunuh diri dalam talian.

Keluarganya percaya interaksi dalam talian yang berbahaya itu memainkan peranan dalam kematiannya, meningkatkan seruan untuk peraturan yang lebih ketat bagi platform sedemikian.

Baroness Jones menekankan keperluan untuk syarikat teknologi bekerjasama rapat dengan pemerintah untuk mengehadkan bahaya seperti itu, tetapi mengakui bahawa tidak semua syarikat bersefahaman sepenuhnya kerana pemerintah “meletakkan jangkaan tinggi di wilayah baru”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg