Topik diikuti
Pergi ke BHkuMistral AI buka ibu pejabat serantau di S’pura, rancang isi 200 jawatan di Asia Pasifik
Mistral AI buka ibu pejabat serantau di S’pura, rancang isi 200 jawatan di Asia Pasifik
Mistral AI buka ibu pejabat serantau di S’pura, rancang isi 200 jawatan di Asia Pasifik
Firma kecerdasan buatan (AI) dari Perancis, Mistral AI, membuka ibu pejabat Asia Pasifik miliknya di Singapura pada 20 November bagi menempatkan sebahagian besar daripada 200 kakitangan yang dirancang untuk diambil bekerja di rantau ini menjelang 2027.
Syarikat itu mempunyai sekitar 40 kakitangan di Singapura pada Mei. Ketua Pegawai Eksekutif Mistral AI (CEO), Encik Arthur Mensch, memberitahu The Business Times (BT) bahawa firma tersebut merancang untuk mempunyai 100 pekerja menjelang akhir 2026.
Naib Presiden Keuntungan bagi Asia Pasifik di Mistral, Encik Geoff Soon, memberitahu BT bahawa operasi di Singapura “bukan sekadar pasukan jualan dan pemasaran”.
“Saya boleh katakan sekitar 70 peratus daripadanya melibatkan keupayaan dalam penugasan barisan hadapan,” katanya.
Encik Soon menambah bahawa syarikat itu akan menggabungkan pengambilan jurutera barisan hadapan dan saintis bagi melengkapkan jumlah tenaga kerja di Singapura.
Beliau menambah bahawa Mistral akan mencari bakat daripada “universiti terkemuka” untuk mengisi peranan berkenaan.
Penugasan barisan hadapan atau forward deployment – istilah yang semakin mendapat perhatian kebelakangan ini susulan kebangkitan kecerdasan buatan (AI) – merujuk kepada amalan yang membolehkan jurutera berkomunikasi secara langsung dengan pelanggan.
Menurut Encik Soon, berbeza dengan firma teknologi lain di mana jurutera lazimnya hanya memperhalusi model AI, individu yang diambil oleh Mistral akan terlibat secara langsung dalam proses pembangunan produk.
“Saintis membangunkan model, manakala jurutera mengendalikan keupayaan berasaskan ejen,” jelasnya.
Faktor bakat menjadi antara sebab utama syarikat itu menubuhkan ibu pejabat serantaunya di Singapura.
Encik Soon menarik perhatian bahawa negara ini sudah lama menjadi tuan rumah kepada beberapa firma perkilangan berbilang negara, sekali gus menyediakan kumpulan bakat sedia ada yang boleh dimanfaatkan oleh Mistral.
Namun, beliau mengakui bahawa syarikat itu juga perlu mendapatkan tenaga kerja dari luar Singapura bagi mengisi jawatan yang tidak dapat diisi oleh pekerja setempat.
Sehubungan itu, syarikat berkenaan akan berusaha mengambil bilangan bakat setempat dan antarabangsa secara seimbang.
Encik Soon turut menyatakan bahawa Singapura “menawarkan budaya yang amat menarik”, yang akan memudahkan usaha meyakinkan bakat luar untuk berhijrah dan bekerja di sini.
Mistral membangunkan model bahasa besar (LLM) sumber terbuka dan pemberat terbuka (open-weight), yang membolehkan parameter terlatihnya diakses serta diubah suai secara umum.
Pendekatan ini membolehkan model AI berkenaan dijalankan secara setempat pada pelayan (server) di premis milik syarikat sendiri, sekali gus menjamin kawalan penuh dan keselamatan data lebih tinggi.
Encik Soon berkata syarikat itu akan memanfaatkan kelebihannya dalam aspek keselamatan data untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan bagi industri yang dikawal selia seperti perkhidmatan kewangan dan sektor awam.
Kehadiran Mistral di Singapura bukanlah sesuatu yang baharu, syarikat itu sebelum ini telah bekerjasama dengan Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) serta Makmal Nasional Pertubuhan Sains Pertahanan (DSO).
Syarikat itu turut mempunyai “pelanggan lain yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan model tersuai bagi memastikan kawalan penuh ke atas keupayaan sistem mereka”, kata Encik Soon.
Ketika ditanya mengenai kebimbangan terbesarnya berhubung pelan pengembangan Mistral, Encik Soon berkata lebih banyak pelaburan perlu dibuat dalam aspek prasarana digital.
Ini merangkumi akses kepada lebih banyak keupayaan pengkomputeran seperti pusat data dan cip.
“Kami memerlukan banyak prasarana bagi menjalankan eksperimen dan membangunkan keupayaan baharu ketika kami mula beralih kepada ejen AI yang beroperasi untuk tempoh lebih panjang,” tambahnya.