Firma pemula AI undang-undang, Harvey buka pejabat di S’pura
Firma pemula AI undang-undang, Harvey buka pejabat di S’pura
Syarikat pemula teknologi undang-undang yang mempunyai ibu pejabat di San Francisco, Harvey AI, kini membuka pejabat di Singapura.
Syarikat itu, yang mempunyai pelanggan termasuk beberapa firma undang-undang terkemuka di negara ini, juga merancang mengambil lebih 32 kakitangan bagi jawatan dalam bidang jualan, operasi dan kejuruteraan undang-undang.
Pejabat di Singapura yang dijadualkan dibuka pada Jun 2026 adalah sebahagian daripada rancangan pembuat perisian kecerdasan buatan (AI) tersebut untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada lebih 100 pelanggan di rantau Asia Pasifik.
Ia adalah penubuhan serantau ketiga selepas syarikat itu mengembangkan operasinya ke Bengaluru, India, dan Sydney, Australia, dalam enam bulan yang lalu.
“Kami mempunyai asas pelanggan yang kukuh di Singapura, jadi menyokong mereka adalah amat penting,” kata Ketua Pegawai Operasi Harvey, Cik Katie Burke, dalam temu bual melalui e-mel.
Menyedari kemajuan progresif Singapura dalam AI undang-undang, Cik Burke berkata permintaan terhadap bantuan AI di rantau ini adalah ketara, dan syarikat itu ingin lebih dekat dengan pelanggan di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Harvey, Encik Winston Weinberg, berkata: “Asia-Pasifik adalah enjin pertumbuhan utama bagi kami, dan Singapura terletak di persimpangan antara undang-undang, kewangan dan inovasi teknologi.”
Dinamakan sempena Harvey Specter, peguam bijak dan sangat yakin dalam siri drama Suits, syarikat pemula yang berusia empat tahun itu membangunkan platform AI yang membantu peguam meringkaskan dokumen, menyusun dan mengkaji semula fail undang-undang, serta menjawab soalan undang-undang.
Wadah AI mereka menggunakan model bahasa besar daripada OpenAI, Anthropic dan Google, yang kemudiannya dilatih dengan data undang-undang hak milik dan kes mahkamah.
Pelanggan mereka di Singapura termasuk firma undang-undang terkemuka seperti Rajah & Tann, Drew & Napier dan WongPartnership.
Di Rajah & Tann, Harvey digunakan sebagai repositori bagi dokumen yang telah didraf oleh firma itu, dan peguam pertikaian boleh mencari bahan tersebut menggunakan bahasa yang mudah.
Badan Kehakiman Singapura juga merupakan pelanggan mereka, setelah melancarkan alat AI generatif untuk membantu individu yang mewakili diri mereka sendiri di Tribunal Tuntutan Kecil (SCT) pada 2025.
Alat AI itu menghasilkan ringkasan kes yang mudah dibaca serta fakta dan bukti yang digunakan oleh pihak terlibat dan membenarkan penterjemahan dokumen mahkamah ke dalam bahasa Cina, Melayu dan Tamil.
Harvey AI, yang kini mempunyai 12 pejabat di seluruh dunia, adalah salah satu syarikat pemula AI undang-undang yang paling terkemuka.
Ia dinilai pada AS$8 bilion ($10.2 bilion) pada Disember 2025, dan kini dilaporkan menyasarkan penilaian yang lebih tinggi iaitu sekitar AS$11 bilion dalam perbincangan pembiayaan terbarunya.
Menurut laman web syarikat itu, lebih 100,000 peguam di 60 negara telah menggunakan platform AI mereka.

