Anthropic dijangka membuka sebuah pejabat di Singapura pada Oktober — pejabat kecerdasan buatan (AI) kelimanya di rantau Asia-Pasifik, selepas Tokyo, Bengaluru, Seoul dan Sydney. 

Pejabat baharu itu bakal terletak di Raffles Place, kata syarikat tersebut kepada The Straits Times (ST).

Dalam satu kenyataan pada 16 September, syarikat itu berkata langkah itu didorong oleh permintaan korporat yang kukuh terhadap Claude, siri model bahasa besar termaju dan pembantu AI syarikat itu.

Menurut Indeks Ekonomi terkini Anthropic, Singapura menduduki tangga kedua daripada 121 negara dari segi penggunaan Claude.ai berbanding saiz populasi. 

Penggunaannya adalah 5.81 kali lebih tinggi berbanding jangkaan berdasarkan saiz populasi negara ini.

Pengarah urusan antarabangsa Anthropic, Encik Chris Ciauri, berkata pembukaan pejabat di Singapura merupakan “langkah seterusnya yang wajar.”

“Kehadiran di sini bermakna kami dapat mengambil pekerja yang paling mengenali pasaran ini, serta bekerjasama rapat dengan pelanggan dan rakan kongsi setempat yang membangunkan penyelesaian menggunakan Claude.”

Pengurus besar Asean syarikat itu, Encik Dale Finlay, akan menerajui operasi Anthropic di Singapura. Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan kepimpinan di beberapa syarikat teknologi di rantau Asia-Pasifik, termasuk Google.

“Daripada pengalaman bekerjasama dengan pelanggan di seluruh Asia Tenggara, saya melihat bahawa cita-cita bukanlah penghalang kepada penerimaan AI — kepercayaan yang menjadi penghalang sebenar. Sebaik sahaja kepercayaan itu wujud, kerja sebenar ialah menerapkan AI ke dalam cara operasi perniagaan yang sebenar,” kata Encik Finlay.

Anthropic merancang untuk bekerjasama dengan organisasi pelbagai saiz di Singapura, daripada syarikat permulaan dan syarikat digital asli, sehingga perusahaan besar dan sektor awam.

Syarikat itu berkata Singapura dipilih kerana negara ini “mempunyai ramai pakar teknikal, perniagaan global, institusi penyelidikan dan ekosistem inovasi yang kukuh.” 

Ia menambah bahawa Singapura turut berkongsi matlamat yang sama dengan Anthropic untuk memperkukuh tenaga kerja menerusi AI, sambil turut memberi penekanan kuat terhadap penerimaan AI secara bertanggungjawab.