Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) telah menganugerahkan kontrak bernilai $999 juta untuk pembinaan terowong intra-terminal di Terminal 5 (T5) kepada usaha sama antara Penta-Ocean Construction dan Koh Brothers Building & Civil Engineering Contractor.
Pengarah Urusan CAG bagi Changi East, Encik Ong Chee Chiau, berkata penganugerahan kerja terowong intra-terminal T5 menandakan satu lagi perkembangan penting dalam pembinaan T5 dan projek Changi East yang lebih luas.
Terowong itu, yang dijangka mengambil masa lebih empat tahun untuk siap, akan membolehkan pergerakan penumpang, bagasi dan perkhidmatan yang lancar dan cekap, tambahnya.
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan dua syarikat binaan yang bereputasi tinggi dalam projek itu – Penta-Ocean, diiktiraf kerana kepakarannya yang luas dan kecekapan teknikal dalam melaksanakan projek berskala besar seperti tebus guna tanah di Singapura dan di peringkat antarabangsa…
“...dan Koh Brothers, pemain utama dalam membentuk pembangunan prasarana Singapura dengan rekod prestasi yang kukuh dalam menyampaikan projek berskala besar yang kompleks di dalam negara,” kata Encik Ong.
Terowong intra-terminal akan berfungsi sebagai sambungan bawah tanah dalam T5, menyokong pemindahan penumpang dan bagasi yang cekap merentasi ruang legar terminal, sambil juga memudahkan laluan utiliti biasa.
Sistem terowong itu terdiri daripada satu siri sub-terowong yang akan menempatkan prasarana utama untuk menyokong operasi lapangan terbang yang cekap.
Ia termasuk Sistem Pemindah Orang Automatik dan Sistem Pengendalian Bagasi, serta Terowong Perkhidmatan Biasa (CST) yang akan mengandungi utiliti kering dan basah seperti kuasa elektrik, sistem komunikasi dan perkhidmatan air.
Kerja-kerja itu juga terdiri daripada bangunan pengudaraan yang menyokong CST, dan peruntukan untuk terowong infrastruktur bawah tanah masa hadapan, menurut CAG.
T5 ialah sebahagian daripada pembangunan Changi East yang lebih besar yang merangkumi landasan ketiga Lapangan Terbang Changi, serta kompleks kargo dan prasarana penerbangan dan pengangkutan darat sokongan lain.
Projek itu dijangka siap pada pertengahan 2030-an dan akan tingkatkan kapasiti dan keupayaan operasi Lapangan Terbang Changi dengan ketara untuk memenuhi permintaan masa hadapan.
Direka bentuk untuk mengendalikan kira-kira 50 juta penumpang setahun, T5 akan membantu Lapangan Terbang Changi menangani 140 juta penumpang setiap tahun - meningkat daripada kapasiti semasanya sebanyak 90 juta.
Pada Mei, CAG mengumumkan bahawa Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan Laluan Rentas Pulau (CRL) juga akan dilanjutkan untuk menghubungkan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi ke pusat bandar dan hab serantau yang lain.
Stesen TEL dan CRL di T5 akan ditempatkan di dalam pusat pengangkutan darat terminal, yang akan menyatukan perkhidmatan kereta api, bas, teksi dan pengangkutan lain.
CAG berkata TEL akan menghubungkan T5 terus ke pusat bandar, dan seterusnya ke terminal Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura di Woodlands North.
Sambungan T5 ke CRL akan memudahkan perjalanan ke hab utama lain seperti Daerah Digital Punggol dan Daerah Tasik Jurong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg