Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Anak Melayu dari CAAS ketuai pasukan petugas antarabangsa, semak had tinggi bangunan berhampiran lapangan terbang

Jul 7, 2025 | 12:24 AM
Pegawai Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Encik Fadzil Mohamed Jakaria, mengetuai pasukan halangan permukaan penerbangan dan aktiviti udara di CAAS. Beliau juga pengerusi pasukan petugas Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (Icao) bagi semakan had ketinggian bangunan berhampiran lapangan terbang.
Pegawai Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Encik Fadzil Mohamed Jakaria, mengetuai pasukan halangan permukaan penerbangan dan aktiviti udara di CAAS. Beliau juga pengerusi pasukan petugas Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (Icao) bagi semakan had ketinggian bangunan berhampiran lapangan terbang. - Foto ST

Selepas 10 tahun, pegawai Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), Encik Fadzil Mohamed Jakaria, akhirnya melihat kerja kerasnya membuahkan hasil apabila Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (Icao) mengumumkan semakan had ketinggian bangunan berhampiran lapangan terbang pada 28 Mac.

Perjalanan itu merupakan satu proses yang “amat susah”, kata Encik Fadzil yang juga pengerusi pasukan petugas Icao bagi semakan tersebut.

Icao ialah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengawasi piawaian dan amalan penerbangan di peringkat global.

Semakan itu mengambil masa 10 tahun kerana ia melibatkan pengumpulan data pelbagai jenis pesawat, prestasi penerbangan, prosedur penerbangan di lapangan terbang berbeza, serta ketersediaan peralatan penerbangan.

Ini bagi membentuk peraturan yang lebih mengikut kesesuaian dan keperluan lapangan terbang yang semakin berubah, lapor The Straits Times (ST).

Selain semua 14 negara anggota dalam pasukan petugas itu perlu menyumbang kepada semakan berkenaan, kesemua 193 anggota Icao juga perlu mencapai kata sepakat mengenai perubahan yang dicadangkan.

“Tetapi akhirnya, apabila anda lihat sesuatu itu diluluskan dan pada masa yang sama orang nampak dan peroleh manfaat daripadanya, ia amat berbaloi untuk menjadi sebahagian daripada keseluruhan proses ini,” kata Encik Fadzil.

Dengan perubahan tersebut, bangunan yang terletak di sekitar lapangan terbang di Singapura kini boleh dibina dengan ketinggian lebih tinggi – berpotensi naik sehingga 15 tingkat lebih tinggi bagi bangunan kediaman, dan sehingga sembilan tingkat lebih tinggi bagi bangunan perusahaan atau komersial.

Pemerintah berkata langkah ini boleh membuka peluang baru kepada perniagaan serta berpotensi meningkatkan jumlah bekalan perumahan secara keseluruhan.

Sekatan ketinggian penerbangan awam yang telah disemak semula itu akan mula diterima pakai di Singapura pada Ogos. 

Pemerintah seterusnya akan mengkaji bagaimana bangunan di sesetengah kawasan boleh dibina dengan ketinggian lebih tinggi pada masa hadapan, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 25 Jun.

Encik Fadzil, yang mengetuai pasukan halangan permukaan penerbangan dan aktiviti udara di CAAS, menyertai pasukan petugas tersebut sejak ia mula ditubuhkan pada 2015.

CAAS mengambil alih kepimpinan pasukan itu daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat pada 2017. 

Encik Fadzil berkata penglibatan Singapura dalam pasukan petugas itu adalah penting, terutama untuk mengetengahkan kekangan yang dihadapi negara dalam usaha memaksimumkan penggunaan tanah.

Pelonggaran had ketinggian bangunan boleh membantu membebaskan ruang di permukaan tanah untuk kegunaan lain.

Kemajuan teknologi pesawat, peningkatan dalam sistem pengemudian udara, serta perubahan dalam jenis operasi penerbangan juga bermakna pesawat moden memerlukan ruang udara lebih kecil untuk berlepas dan mendarat.

Encik Fadzil memperjuangkan pendekatan yang lebih cekap untuk melindungi ruang udara kerana beliau berpendapat bahawa peraturan halangan permukaan penerbangan yang mula dibangunkan sejak 1950-an tidak lagi sesuai digunakan pada masa kini.

Encik Fadzil berkata meyakinkan anggota lain dalam pasukan petugas merupakan “tugas yang besar” kerana beliau perlu mempelajari cara interaksi yang berbeza dengan wakil-wakil dari pelbagai negara.

“Dalam pembentukan kata sepakat, ini adalah sesuatu yang kami banggakan – bahawa sebuah negara kecil seperti Singapura mampu mengajak negara lain bersama dalam sesuatu yang bersifat evolusi,” tambah beliau.

Sepanjang dekad lalu, Encik Fadzil telah mengimbangi tugas hariannya di CAAS dengan tanggungjawabnya dalam pasukan petugas Icao.

Beliau mengambil sekurang-kurangnya tiga penerbangan 24 jam setiap tahun ke Montreal, Canada, untuk menghadiri mesyuarat penting secara bersemuka di ibu pejabat Icao. 

Mesyuarat dalam talian dua minggu sekali pula dijalankan pada waktu tengah malam, memandangkan waktu Montreal lewat 12 jam daripada Singapura.

Menceritakan detik apabila pasukan petugas itu buat julung-julung kalinya mengetahui bahawa usul semakan itu telah diluluskan pada Mac di Montreal, Encik Fadzil berkata mereka “amat teruja” dan mengadakan jamuan untuk meraikannya.

Kini beliau memberi tumpuan kepada pengendalian kursus untuk melatih tenaga pengajar cara menggunakan sistem halangan permukaan penerbangan yang baru, sebelum mereka menyebarkan maklumat itu kepada negara anggota Icao yang lain.

Singapura menyertai Icao pada 1966 dan telah menjadi ahli Majlis Icao – badan penggubal dasar dan pembuat keputusan pertubuhan itu – sejak 2003, serta anggota Suruhanjaya Pengemudian Udara sejak 2006.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg